Bab 15

986 22 4
                                    

Nazhirul Hanif mengesat peluh di dahi dengan tuala yang tergantung di leher. Nafas ditarik dalam. Dia keletihan selepas bermain dua pusingan badminton.

Rasanya sudah lama dia tidak mengeluarkan peluh kerana sibuk dengan kerja. Dia memandang sekilas ke arah Nabil yang sedang meneguk air mineral di sebelahnya.

"Lepak mamak jom lepas ni." Syafi memberi cadangan sambil membuang pandang ke arah dua orang pemuda yang sedang rancak bermain badminton.

"Aku on." Nabil menjawab sambil tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun kemas. Abid dan Affan mengangkat ibu jari tanda bersetuju.

"Aku ikut Halim," ujar Naufal. Dia datang ke sini bersama Halim memandangkan mereka tinggal bersama di dalam satu rumah.

"Boleh. Aku pun tak ada buat apa-apa hari ni." Halim menjawab sambil mengikat tali kasut.

"Hanif?" Abid menyoal sepatah. Hanif hanya mengangguk memberi persetujuan.

"Sebelum tu, aku ada benda nak beritahu."

Semua mata tertumpu kepada Hanif selepas dia menghabiskan sebaris ayat itu.

"Afifa kat ofis sekarang ni." Hanif bersuara tenang. Dia perlu memberitahu mereka yang lain memandangkan bukan dia seorang sahaja yang bekerja di situ. Dia perlu mendapatkan persetujuan bersama untuk membenarkan gadis itu tinggal di Black Knight buat sementara waktu.

"Dia buat apa kat ofis hujung minggu ni? Takkan kau suruh dia kerja kut?" Berkerut dahi Abid mendengar kenyataan yang keluar dari mulut sahabatnya itu.

"Dia kena halau keluar dari rumah." Nada suara Hanif masih lagi tenang walaupun hatinya masih lagi marah apabila mengingati layanan Farhana pada Afifa. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia melaporkan kejadian itu kepada pihak polis. Tetapi Afifa berkeras untuk tidak memanjangkan cerita.

"Kenapa?" Giliran Syafi pula menyoal.

Hanif mula bercerita apa yang didengarnya dari mulut Afifa. Pelbagai reaksi ditunjukkan oleh kawan-kawannya sepanjang dia bercerita.

"Astaghfirullahalazim. Kesian Afifa." Nabil beristighfar panjang. Dia yakin yang Afifa terlalu baik untuk dilabel sebagai seorang perempuan murahan.

"Dah buat laporan polis?" soal Halim prihatin.

"Afifa tak nak." Hanif meneguk air mineral yang masih berbaki separuh botol selepas menjawab soalan Halim.

"Jantan mana yang sanggup buat Afifa macam tu?" Abid mengepal penumbuk menahan rasa geram. Andai sahaja lelaki itu berada di hadapannya kini, pasti sudah lunyai lelaki itu dibelasahnya.

"Aku cadang nak biar Afifa tinggal kat bilik kosong kat tingkat atas Black Knight kalau kau orang setuju." Hanif memandang satu per satu wajah staf merangkap sahabatnya meminta persetujuan.

"Aku tak kesah, tapi bilik atas tu dah lama terbiar. Nak kena bersihkan dulu tu," kata Abid.

Naufal, Syafi dan Affan serentak mengangguk bersetuju dengan kata-kata Abid. Buat seketika mereka diam memikirkan apa yang patut dibuat untuk membantu Afifa.

"Haaa, aku ada cadangan!" Nabil yang sejak tadi diam tiba-tiba bersuara.

"Apa dia?" Abid menyoal pendek. Enam pasang mata memandang tepat ke arah Nabil menanti cadangannya.

"Nanti aku cerita kat kedai mamak. Aku lapar ni." Nabil tersengih seperti kerang busuk melihat wajah-wajah kecewa enam orang sahabatnya itu.

Tanpa membantah, mereka mula bangun menuju ke bilik mandi untuk membersihkan badan yang berbau dan dibasahi peluh.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 01, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

PEMBURU BAHAGIAWhere stories live. Discover now