Bab 10

546 14 0
                                    

Usai solat isyak, Afifa mencapai kitab suci al-Quran yang terletak elok di atas meja. Dia menyelak lembaran al-Quran pada bahagian yang ditandanya semalam.

Mulutnya mula mengalunkan ayat suci dengan taranum dan makhraj yang betul. Selesai membaca satu ayat, dia akan merujuk maksud ayat tersebut. Dia selalu ingat pesanan abahnya.

Membaca al-Quran bukan setakat membaca sahaja, tetapi perlu menghayati maksud di sebalik ayat yang dibaca. Baru la terasa manisnya membaca ayat-ayat yang diturunkan Allah kepada hamba-Nya melalui Nabi Muhammad saw.

"Robbisy rohlii shodrii, wa yassirlii amrii, wahlul 'uqdatan min lisaani, yafqohuu qoulii."

Afifa menghentikan bacaan dari surah Thaha, ayat 25-28 untuk menghayati maksud di sebalik ayat-ayat itu.

"Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskan kekakuan lidahku, supaya mereka memahami perkataanku."

Ayat ini adalah salah satu doa yang dibaca oleh Nabi Musa a.s. untuk dimudahkan segala urusan. Abahnya selalu berpesan untuk membaca doa ini ketika sedang menghadapi masalah ataupun ketika ingin mengambil peperiksaan ketika dia masih belajar dulu.

Doa ini juga sering dibacanya sebelum menghadiri temu duga kerja supaya Allah melancarkan pertuturannya. Afifa sekali lagi menuturkan doa itu apabila dia mengingati kesulitan yang dihadapi oleh Naufal.

Semoga doanya didengari oleh Sang Pencipta. Dia turut membacakan satu lagi doa yang juga dibacakan oleh Nabi Musa a.s. ketika dalam kesusahan.

"Allahumma lakal hamdu, wa ilaikal musytakaa, wa antal musta'an, wa laa haula, wa laa quwata, illa billahil 'aliyil adhiim."

Afifa menyambung dengan maksud doa.

"Ya Allah, segala puji bagi-Mu. Hanya kepada-Mu, Ya Allah, kami berkeluh kesah. Engkaulah tempat meminta pertolongan. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung."

Doa ini dibacakan Nabi Musa a.s. ketika beliau dan Bani Israil menghadapi jalan buntu saat dikejar oleh tentera firaun. Ketika itu, mereka berada di hadapan lautan yang luas dan Nabi Musa memohon pertolongan Allah agar diberi jalan untuk menyeberang.

Lantas, Nabi Musa memukul tongkatnya ke laut dan terbelahlah laut dengan izin Allah. Maka, Nabi Musa dan kaumnya dapat menyeberang dan menyelamatkan diri dari tentera firaun yang dilaknat.

Afifa menutup lembaran al-Quran setelah membaca lagi dua helai dari ayat suci itu. Kemudian, telekung dilipat dan disidai ke penyangkut. Dia melabuhkan duduk di birai katil dan mencapai telefon pintar di tepi bantal.

Dia membuka ruangan contacts dan menghubungi abahnya di kampung. Saat suara salam abahnya menampar gegendang telinga, hilang rindunya pada abah yang jauh di utara tanah air.

"Waalaikumussalam. Abah sihat ka?" soal Afifa ceria. Dia sudah boleh membayangkan senyuman di bibir abahnya saat ini.

"Alhamdulillah, sihat. Anak abah sihat?" Giliran Pak Cik Hamid pula menyoal anaknya, Afifa.

"Sihat. Anak kambing abah macam mana? Mesti dah besaq, kan?" Afifa menyoal sambil membayangkan anak kambing abahnya yang baru lahir ketika dia mula-mula datang ke Kuala Lumpur dulu.

"Dah boleh melompat dah. Abah pun tak laghat dah nak hambat."

Afifa melepaskan tawa mendengar kata-kata abahnya. Dia sudah boleh membayangkan anak kambing yang riang melompat ke sana ke mari.

"Afifa kerja macam mana?" Pak Cik Hamid menyoal setelah tawa Afifa reda. Dia cukup kenal dengan sikap anaknya yang menggemari haiwan. Apa sahaja yang tidak dipeliharanya di rumah. Ayam, kambing, kucing, arnab. Rumah mereka sudah seperti zoo jadinya. Sejak Afifa pergi ke Kuala Lumpur, dia la yang perlu menjaga haiwan-haiwan tersebut.

"Kerja okey. Cuma sekarang ni tak banyak projek yang masuk," jelas Afifa. Tidak banyak bantuan yang boleh diberikannya memandangkan bidang itu bukan bidang kepakarannya.

"Afifa doa banyak-banyak moga Allah mudahkan semua urusan. Apa-apa yang jadi semua kehendak Allah. Kalau Allah kata jadi, maka jadilah. Yang penting kita kena terus usaha. Jangan sesekali putus asa," pesan Pak Cik Hamid.

"Betui tu, abah. Abah nak tau dak, pembantu eksekutif kewangan kat pejabat Afifa kena tangkap polis sebab dia pukui ayah dia."

"Astaghfirullahalazim. Macam mana boleh jadi macam tu?" Pak Cik Hamid beristighfar panjang di hujung talian. Terkejut dengan berita yang didengarnya.

"Apa yang Afifa dengaq dari officemate Afifa, ayah dia selalu pukui mak dia. Dah lama dah dia hidup macam tu. Hari tu, dia tak tahan sangat kut. Dia pun tak sedaq apa yang dia buat. Ayah dia la ni kat hospital. Tak sedaq lagi." Afifa melepaskan keluhan apabila mengingati apa yang terjadi kepada Naufal.

"Ya Allah! Kesian dia hidup dalam keluarga macam tu. Abah doakan moga urusannya dipermudahkan. Afifa pun jangan lupa berdoa. Insya-Allah, Allah akan tolong hamba-Nya. Allah takkan bebankan seseorang dengan ujian yang dia tak mampu nak tanggung."

Pak Cik Hamid menggelengkan kepala mendengar cerita anaknya. Isteri dan anak itu anugerah daripada Allah untuk seorang lelaki bergelar suami dan ayah. Tanggungjawab lelaki untuk memberi kasih sayang kepada isteri dan anak-anak. Bukan untuk menjadi tempat untuk melepaskan kemarahan.

"Doa aja la yang Afifa mampu buat pun. Terima kasih abah sebab tolong doakan."

Afifa menarik senyuman nipis. Dia sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang abah yang penyayang dan memahami.

Walaupun dia tidak mempunyai ibu, tetapi kasih sayang yang diterima daripada abahnya tidak pernah tidak mencukupi. Malahan, melimpah ruah. Dalam hati dia berdoa semoga Allah melembutkan hati ayah Naufal dan memberinya hidayah untuk berubah ke jalan yang benar. Amin!

"Abah, Afifa nak tanya sikit boleh?" soal Afifa teragak-agak.

"Tanya la," jawab Pak Cik Hamid di hujung talian.

"Abah pernah tak jumpa dengan orang yang dari luar kita nampak dia seorang yang berjaya, ada pengaruh besaq. Tapi bila kita tengok dalam mata dia, kita rasa sedih?"

Afifa mula membayangkan mata Hanif tadi. Hatinya turut berasa sedih apabila pandangan mata mereka bertemu tadi.

"Afifa ingat tak abah ada cerita pasal seorang pemuda yang abah jumpa kat depan masjid hari tu? Abah boleh rasa kesedihan daripada mata anak muda tu. Abah rasa terkilan sebab tak pegang tangan dia bawa masuk dalam masjid. Abah rasa macam dia perlukan bantuan," bicara Pak Cik Hamid panjang. Sehingga ke hari ini, dia masih mengingati wajah anak muda itu.

"Afifa pun rasa macam dia perlukan bantuan," ujar Afifa perlahan.

"Afifa cakap pasai sapa ni?" soal Pak Cik Hamid.

"Bos Afifa. Abah rasa dia ada masalah ka?" soal Afifa lagi. Terbit rasa risau dalam hatinya.

"Hanya dia dan Allah sahaja yang tau. Mungkin dia ada kisah hidup yang dia sembunyikan daripada orang lain," jawab Pak Cik Hamid tenang.

"Abah rasa apa yang Afifa patut buat?"

"Berdoa moga Allah bagi yang terbaik untuk dia," ujar Pak Cik Hamid ringkas.

Afifa menganggukkan kepala mengeyakan kata-kata abahnya. Itu sahaja yang boleh dilakukan buat masa ini.

Mereka meneruskan perbualan sebelum Afifa mematikan talian dek kelopak matanya yang semakin memberat. Dia ingin melelapkan mata untuk memastikan dia mempunyai tenaga yang cukup untuk bekerja pada esok hari.

Sebelum melelapkan mata, dia sempat berdoa untuk Naufal dan Hanif. Sesungguhnya Allah mempunyai perancangan terbaik untuk hamba-hamba-Nya.

PEMBURU BAHAGIAWhere stories live. Discover now