Kisah 6

11.4K 123 6
                                    

Izrael dan Mak Cik Jenab Kepoh

Izrael terasa badannya sangat panas. Dia membuka matanya perlahan-lahan. Keadaan di wad telah gelap kerana jururawat telah memadamkan lampu. Memang dia terasa badannya sangat panas. Mungkin kesan ubat kimo yang dimasukkan ke dalam badannya. Dia cuba bangun tetapi badannya lemah. Tekaknya terasa amat kering.

"Misi... misi," panggilnya perlahan.

Seketika menunggu tetapi tidak ada jururawat yang datang. Dipanggilnya sekali lagi tetapi seperti tadi tidak ada jururawat yang datang. Tiba-tiba dia teringatkan pesanan Misi Linda.

"Kalau nak panggil akak seru nama," kata-kata yang terngiang di kepalanya.

"Misi Linda... tolong Izrael," serunya perlahan.

Secara pantas angin sejuk menyapa tubuhnya.

"Ya dik. Ada apa panggil kakak?" soal seseorang di tepi.

Hampir melompat Izrael melihat Misi Linda dengan rambut panjang mengurai tiba-tiba berada di tepi katilnya. Wajahnya tidak beberapa nampak kerana gelap.

"Tolong, adik haus misi. Badan panas sangat," rayu Izrael.

Misi Linda mengambil botol air lalu membantu Izrael yang lemah untuk bangun. Izrael terasa tangan Misi Linda yang memegang belakang badannya untuk membantu dia bangun sejuk. Dingin seperti ais. Dalam keadaan mai mai Izrael menghirup air masak yang disuakan. Tetapi tekaknya terasa payau air masak tersebut. Tapi kerana terlalu haus dia minum juga.


Sementara itu Mak Cik Jenab yang tidur ayam di katil sebelah terjaga apabila mendengar Izrael memanggil. Dia hanya mendiamkan diri apabila mendengar Izrael memanggil jururawat. Itulah, mak bapak entah ke mana. Anak sendiri masuk wad bukan dipedulikannya. Tahu sedap tapi bila anak sakit biar je dalam wad. Mentang ada misi. Biar dia... malas aku nak tolong. Kata Mak Cik Jenab dalam hati.

Tiba-tiba dia terdengar Izrael bercakap seorang diri. Tetapi tidak ada pula kedengaran suara yang membalas.

"Budak ni cakap dengan siapa?" soal Mak Cik Jenab.

Perlahan-lahan dia bangun lalu menjenguk di sebalik tabir langsir. Malam agak gelap pula selepas lampu ditutup. Dia nampak dengan jelas Izrael minum air botolnya.

"Terima kasih Misi Linda," ucap Izrael lalu meletakkan tangan kanan seolah-olah memberikan botol kepada seseorang.

Mak Cik Jenab terkejut apabila melihat botol itu terawang-awang bergerak sendiri di udara lalu mendarat di atas meja simpanan pesakit. Mak Cik Jenab menekup mulutnya dari menjerit. Dia terlalu takut lalu menarik mukanya dari melihat.

"Ke... ke? Ke? Si... si? Siapa to.... to... tolong budak tu?" katanya takut.

"Misi... badan saya panas sangat," suara Izrael mengadu kedengaran.

Tidak kedengaran lagi suara balasan di sebelah. Mak Cik Jenab mula ketakutan. Dia menampar pipinya takut dia berada di alam mimpi. Tapi pipinya terasa sakit ditampar. Dia kembali duduk di kerusinya. Dia memandang anaknya. Dia tidak berani lagi menjenguk Izrael.


Misi linda kembali dengan membawa sehelai kain yang basah lalu diletakkan di dahi Izrael. Izrael berasa lega kerana kain itu sangat sejuk. Badannya yang panas lantas menurun suhunya.

"Kakak Tiap-tiap malam ke kerja malam?" soal Izrael.

Dia terasa selesa dengan layanan Misi Linda. Kalau boleh biarlah Misi Linda bekerja malam. Senang dia minta bantuan. Kerana sebelum ini ada seorang misi yang sangat garang bekerja malam. Dia tidak mahu misi tersebut.

"Malam memang akak aktif dik. Kalau lepas tengah malam lagilah," kata Misi LInda sambil membalikkan kain yang diletakkan di atas kepala Izrael.

"Bolehlah kakak tolong saya ek malam-malam?" soal Izrael mengharap.

"Akak akan temani Izrael. Jangan bimbang. Seru je nama kakak, Misi Linda."

Izrael tersenyum.

Mak Cik Jenab mendengar setiap butir kata Izrael. Misi LInda? Siapa Misi Linda? Aku tak nampak sesiapa pun misi kat sebelah. Nampak budak tu cakap seorang diri. Baik aku tengok.

Perlahan-lahan Mak Cik Jenab bangun mendekatkan diri ke tirai. Dia menyelak tirai. Tetapi dia nampak Izrael telahpun tidur semula. Tidak ada sesiapa berada di katil Izrael. Nampak kain putih macam kain kapan di dahi Izrael. Bau kapur barus kuat menyucuk hidung.

"Bau kapur barus?"

Tiba-tiba dia mencium sesuatu yang amat busuk.

"Kakak cari saya ke?" soal seseorang dari belakang.

Serta merta dia menoleh ke belakang. Dia terkejut melihat seseorang berpakaian misi yang penuh dengan darah berada di belakangnya. Rambutnya panjang mengerbang. Matanya memerah. Kulitnya pucat lesi dan putih seputihnya. Wajahnya mengerikan.

"Kau... kau siapa?" soalnya ketakutan.

"Akulah Misi Linda ! Ha.. ha... ha.." Misi LInda mengilai.

Mak Cik Jenab menjerit ketakutan.

Satu wad kecoh pagi itu apabila Mak Cik Jenab menjerit. Jururawat di kaunter serta merta bangun mendapatkan Mak Cik Jenab. Lampu wad dibuka. Mak CIk Jenab dijumpai menggigil ketakutan di kerusinya. Matanya memandang ke satu arah.

"Mak Cik Jenab ! Mak Cik!" panggil seorang jururawat.

"Han... han... ha... wad ini ada hantu!" kata Mak Cik Jenab menggigil ketakutan.

"Mana ada... kami je ada dalam wad ni," pujuk seorang lagi jururawat.

Mak Cik Jenab menunjukkan ke arah katil Izrael. Seorang jururawat bangun lagu menyingkap tabir kain Izrael. Izrael masih lena tidur. Jururawat itu memandang ke arah dahi Izrael. Dia merasa pelik. Ada bau yang sangat dia kenal datangnya dari kain itu. DIambilnya kain itu perlahan dari dahi Izrael. Sangat perlahan supaya Izrael tidak terkejut dari tidur. Kain itu basah dan sejuk.

Dia mencium kain tersebut. Kemudian mengamati kain tersebut.

"Kapur barus? Kain kapan? Mana budak ni dapat?" soalnya sendiri.

Izrael membuka matanya perlahan. Dia terasa ada sesuatu yang memegang dahinya tadi. DIa melihat jururawat lain pula yang berada di sisinya memegang kainnya.

"Adik okey?" soal jururawat itu lembut.

Izrael mengangguk kepalanya.

"Kain ini adik dapat dari mana?" soal jururawat tersebut ingin tahu.

"Misi Linda," jawab Izrael lembut.

"Misi Linda! Misi hantu tu! Misi Hantu!" jerit Mak Cik Jenab tidak keruan.

Izrael berasa pelik melihat Mak Cik Jenab menjerit dan meronta-ronta. Berulang kali dia mengatakan Misi LInda itu hantu. Nampaknya keadaan Mak Cik Jenab semakin tidak terkawal. Walaupun cuba ditenangkan oleh kedua jururawat Mak Cik Jenab bertindak semakin agresif. Malah cuba pula untuk mendapatkan Izrael yang terbaring lemah. Akhirnya doktor terpaksa dipanggil untuk memberi bius menenangkan Mak Cik Jenab. Sedangkan Izrael yang berada dalam keadaan lemah terus tidur tanpa mempedulikan apa yang berlaku.

MISI LINDAWhere stories live. Discover now