fifteen : apology

219 27 2
                                    

Loceng rumah ditekan.

Beberapa ketika kemudian, daun pintu terkuak dari dalam. Yoongi melarik senyuman lembut pada anak kecil yang membukakan pintu buatnya. Sebaik sahaja ibu bapa anak tersebut mendekat, dia menunduk hormat pula. Sejambak bunga dipegang kemas di tangan.

"Selamat sejahtera, uncle, aunty."

Sapaannya hanya mendapat sahutan dari Puan Jung sahaja, manakala Encik Jung langsung berlalu masuk meninggalkan hanya isterinya untuk melayan tamu. Wajahnya tegang, tidak menunjukkan sebarang keramahan. Membuat Yoongi berasa kedatangannya tidak dialu-alukan.

"Masuklah, Yoongi." Pelawa Puan Jung, bibirnya tidak lekang tersenyum.

Melawan kejanggalannya, Yoongi melangkah masuk selepas memberikan Puan Jung buah tangannya tadi.

Apabila Puan Jung berlalu untuk ke dapur, dia melabuhkan punggungnya ke atas sofa sambil matanya memerhatikan di sekeliling. Keadaannya masih sama dengan kali terakhir dia menjejak kaki di sini, sudah bertahun lamanya. Pandangan dia leretkan melihat gambar-gambar yang tersusun di atas kabinet.

Lalu dia merenung lama, anak kecil tadi, yang sedang ralit melukis-lukis dan mewarna. Mengingatkan dia pada seseorang.

Terlalu tekun memerhati dan mengelamun, sehingga tidak menyedari yang Puan Jung telah kembali bersama dulang minuman yang ditatang.

Melihat Yoongi, Puan Jung tersenyum sayu. Jauh sekali dia ingin membenci atau menyalahkan, kerana dia reda akan ketentuan takdir. Jika dia rasa sakit, dia percaya Yoongi juga merasakan hal yang sama. Lagipula, anaknya sangat-sangat menyayangi lelaki ini, jadi mana mungkin dia mampu untuk berbuat sesuatu yang hanya akan meninggalkan perit dan sesal.

"Dia, Jung Angel. Kamu mesti masih ingat kan, aunty melahirkan dia seminggu selepas Miracle pergi." Puan Jung dahulu membuka cerita. Menghilangkan kejanggalan yang ada.

Mendengarkan itu, Yoongi pantas menoleh sambil membalas senyuman yang diberikan. "Saya ingat."

Puan Jung tertawa kecil, sebaik satu memori lama bermain dalam fikirannya. "Dulu, waktu aunty sampaikan berita gembira yang aunty mengandung pada Miracle, dia langsung tak gembira. Nak tahu apa yang dia cakap?"

"Apa dia?"

"Dia cakap, dia tak nak ada adik yang hanya bakal menjadi kantung darah buatnya. Miracle tak nak hidup Angel cuma terikat padanya. Dia tak suka. Dan rasanya, dia benar-benar kotakan kata-katanya, kan?" Sambung Puan Jung. Matanya sudah terlihat mula dibanjiri dengan cecair jernih.

"Saya minta maaf aunty," Yoongi menundukkan wajahnya, memandang tangan yang saling berkait antara satu sama lain. Tekak terasa perit, sakit menahan tangis. "Semua yang berlaku, sebab saya. Saya bersalah."

Puan Jung masih menguntum senyuman, meskipun air mata sudah jatuh ke pipi. "Jika dibandingkan kamu yang dapat menjadi orang terakhir bersamanya, aunty jauh lebih menebal perasaan bersalah. Aunty yang halang dia dari mengejar sesuatu yang dapat membahagiakan dia. Bahkan pagi sebelum dia pergi, juga aunty masih berkeras dengannya. Aunty terlalu ego, sampai-sampai aunty terlepas kata yang aunty tak nak tengok-" Sebelum sempat Puan Jung menghabiskan kata-katanya, esak tangis semakin menjadi-jadi. Terimbas semula kenangan yang menyakitkan itu semula di layar memorinya.

"A-aunty, benar-benar menyesal. Kalau boleh berulang semula, aunty nak tarik balik semua kata-kata yang dapat menyinggung perasaan Miracle. Aunty mahu dia kembali pada aunty."

"Miracle akan faham situasi aunty. . Dia juga mungkin tak nak jika aunty begini."

Entah apa yang bermain di dalam fikirannya, hanya dia dapat melihat refleksi dirinya selama ini. Apa perasaan orang-orang yang selalu menasihatinya. Dia laluinya sekarang bila Puan Jung bertingkah menyalahkan diri atas kematian Miracle.

Seketika kemudian, tiada lagi perbualan antara mereka bila Puan Jung masih menangis perlahan. Tidak disedari mereka, Tuan Jung kembali ke situ lantas meletakkan sesuatu ke atas meja di hadapan Yoongi.

"Dari hari pengebumian Miracle lagi uncle cuba bagi kamu rakaman tu, tapi kamu asyik mengelak sampailah ke hari ini. Rakaman tu, mendiang berharap untuk berikan pada kamu, Yoongi."

Min Yoongi hanya terkaku.

After We Broke Up ✔Where stories live. Discover now