JUN tidak berkelip memandang wanita berkenaan yang sudah berdiri kira-kira tiga kaki daripadanya. Dia memerhatikan wanita itu dari atas ke bawah. Wanita berbaju kurung hijau tua dengan corak bunga melur berwarna kuning itu tersenyum lagi. Usianya mungkin dalam anggaran lewat 60-an.
"Kamu semua ni buat apa di sini?"
Jun terdiam mendengar pertanyaan wanita tersebut.
"Kenapa dengan kereta tu?" soal wanita itu lagi.
"Err... tayar pancit," jawab Jun.
Pelik memikirkan kemunculan seorang wanita di kawasan yang agak terpencil itu pada waktu begini.
"Oh..." Wanita itu merenung wajah Jun, membuatkan Jun tertunduk-tunduk, cuba mengelak daripada bertemu pandangan.
"Kawan-kawan kamu?"
Jun hanya mengangguk. "Mak cik ni..."
"Nama nenek... Rogayah. Panggil Nek Yah."
Jun mengangguk sekali lagi. "Nenek buat apa kat sini?"
"Kucing nenek hilang. Kamu ada nampak?"
"Kucing?"
"Mana pergi Si Itam ni? Suka hilangkan diri."
Nek Yah terintai-intai ke beberapa sudut di sekitar kawasan itu.
Jun cuba meyakinkan dirinya bahawa itu adalah manusia, bukan seperti sangkaan awalnya.
"Mungkin dah lari sebab takut dengan kereta tadi."
Nek Yah memandang Jun.
"Itam memang suka main atas jalan. Nasib baik tak kena langgar dengan kereta." Nek Yah ketawa perlahan.
"Nenek tinggal kat mana?" Jun mula berani bertanya.
"Dekat situ..."
Perbualan tersebut terhenti apabila pintu kereta di tempat penumpang di belakang dibuka. Terpacul kepala Fadhli. Dengan mata separuh terbuka, Fadhli memandang Jun. Sebaik ternampak Nek Yah, matanya terbuka luas. Fadhli melangkah turun mendekati Jun. Wanita yang berdiri tidak jauh daripada Jun dipandang atas bawah.
"Nak tidur dalam kereta ke?" tanya Nek Yah.
Mereka berdua terdiam. Fadhli yang masih bingung, mengangkat kening ke arah Jun.
"Susah nak cari bengkel malam-malam ni, nek. Nampaknya terpaksalah kami tidur dalam kereta," ujar Jun.
"Takkan ramai macam ni nak tidur dalam kereta? Apa kata kamu semua bermalam dulu kat rumah nenek?"
Jun dan Fadhli saling berpandangan.
"Rumah nenek?" soal Jun.
"Ya. Dekat saja. Berjalan lima minit dah sampai. Dekat situ."
Nek Yah memuncungkan bibir ke satu arah. Memang benar, terdapat sebuah rumah tidak jauh dari situ. Kelihatan agak besar seperti rumah banglo dua tingkat. Lampu yang terpasang di sekitarnya terang-benderang.
Anehnya, mereka tidak menyedari kewujudan rumah tersebut sebelum ini.
Fadhli tersengih-sengih, menarik Jun bergerak jauh sedikit daripada Nek Yah.
"Siapa orang tua tu?" soalnya separuh berbisik.
"Aku tak tahu. Dia muncul tiba-tiba kat sini."
Fadhli menggosok belakang leher. "Entah-entah..."
Jun menyiku lengan Fadhli, sebelum kembali semula kepada Nek Yah.
"Tak apalah, nek. Sekejap lagi dah pagi. Kami... tidur dalam kereta saja pun tak apa."
YOU ARE READING
MURAL
HorrorTajuk: MURAL Penulis: ZARINI MANSOR Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-63-9 🍀Untuk melanggan http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069 www.dearnovels.my