NADIA melepaskan keluhan kecil, menumbuk-numbuk paha dan betis yang sudah lenguh berjalan. Shila yang endah tak endah, masih membelek kuku di jarinya. Tidak peduli tentang Fadhli yang masih tidak ditemui di mana-mana.
"Kau serius sangat nak cari dia tu kenapa?" Shila menghampiri Nadia. "Kau suka dia eh?"
Nadia kerut dahi pandang Shila. "Apa ni, Shila?"
"Kan?"
"Jangan mengarutlah!" Nadia memeluk tubuh.
Shila mencemik. "Mengaku ajelah."
Mereka sama-sama berdiam. Berhenti dan duduk di situ untuk berehat seketika. Adlan, Jun dan Riana entah mencari di ceruk mana.
"Ke mana sangatlah dia nak pergi? Takkan nak masuk dalam hutan kat belakang rumah tu? Li tu walaupun berlagak berani, dia sebenarnya penakut. Lepas tu menyusahkan orang."
Shila masih memprotes kerana terpaksa turut mencari Fadhli.
"Apa kata kita tanya Nek Yah atau Firdaus aje? Dia orang mesti tahu selok-belok kawasan ni. Kenapa kita kena cari sendiri?"
"Takkan nak ganggu Nek Yah? Nek Yah mesti dah tidur," balas Nadia.
"Firdaus?"
Nadia diam seketika.
"Kau tengok Firdaus tu, daripada cara dia, mahu ke dia tolong kita? Nak bercakap pun malu. Takkan dia nak tolong kita cari Li? Tak apa, Shila. Kita cari lagi kat sini. Kalau tak jumpa juga, kita balik ajelah. Manalah tahu dia dah balik dan tengah membuta kat bilik sekarang."
Shila memandang sekitar. Seram sejuk dengan suasana yang amat gelap dan hanya bersumberkan cahaya malap dari rumah penginapan yang agak jauh dari situ dan lampu suluh pada telefon pintar.
"Cuba tengok? Dah ada isyarat ke belum?" Shila melihat telefon pintar di tangan Nadia.
Nadia hanya menggeleng. Shila mengeluh perlahan.
"Aku tak pernah duduk rumah penginapan atau mana-mana hotel atau motel yang tak ada isyarat telefon macam ni. Bukan ke sepatutnya siap dengan Wi-Fi percuma sekali?"
"Padanlah dengan harganya yang murah tu. Satu malam 30 ringgit satu bilik. Mana ada harga macam ni kat tempat lain," ujar Nadia.
"Hmm, tapi, aku masih tak puas hati. Walaupun aku cuma nak tidur aje, sekurang-kurangnya..."
"Dah, dah... Lagi kau membebel, sampai esok pagi takkan habis. Jom, sambung cari Li."
Nadia bangun dan memaut tangan Shila untuk turut bangun.
"Sepatutnya kita semua jangan berpecah. Aku dah rasa tak sedap hati bila Lan suruh kita bergerak berasingan tadi. Dahlah tempat ni..." Shila gosok leher sendiri.
Bahu Shila ditampar perlahan. "Jangan fikir bukan-bukan."
Nadia turut pandang sekitar. "Aku pula tak faham kenapa kau orang nak juga bermalam kat sini. Apa salahnya kita tidur dalam kereta kat tepi jalan tu aje? Tempat ni..."
Nadia memeluk tubuh sambil menggosok kedua-dua bahu sendiri. "Lain macam."
"Seram sejuk, kan?" Shila berbisik.
Nadia mengangguk perlahan.
"Eh, dahlah, jom." Dia menarik tangan Shila untuk beredar dari situ.
"Mak!" Jeritan Shila mengejutkan Nadia.
"Apa? Apa?"
"Ba... batu nisan..." Terketar-ketar suara Shila apabila tangannya terpegang sesuatu seperti seketul batu.
YOU ARE READING
MURAL
HorrorTajuk: MURAL Penulis: ZARINI MANSOR Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-63-9 🍀Untuk melanggan http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069 www.dearnovels.my