BAB 5

40 0 0
                                    

FADHLI menghembus asap ke ruang udara di hadapannya.

Setelah hampir setengah jam tidak berjaya melelapkan mata, dia keluar mengambil angin dan melepaskan gian merokok sejak petang tadi. Maklumlah, Shila dan Nadia anti dengan bau asap rokok. Puas mencari tempat yang sesuai, di tepi pagar rumah yang sudah berlumut dan dipenuhi tumbuhan menjalar itu saja yang ditemui.

Fadhli menghela nafas panjang. Puntung rokok yang sudah tidak bernyala, dijentik ke dalam sebuah perigi di situ. Dia mengintai perigi tersebut, namun keadaan di dalamnya terlalu gelap dan langsung tidak kelihatan apa-apa. Fadhli memeluk tubuh.

"Tak sangka ada perigi kat sini. Entah ada air atau tak..."

Fadhli mengerut dahi sambil hidungnya terkemut-kemut apabila terhidu sesuatu.

"Alah... apa pula ni? Busuknya..." Dia mencari di sekitar sambil menutup hidung dengan tangan.

Tiba-tiba dia terfikir sesuatu. Fadhli tunduk melihat Sneakers yang tersarung di kaki.

"Ha?" Dia mengangkat kaki kiri dan meneliti lebih dekat. "Seriuslah..."

Bau najis kucing semakin kuat apabila dia cuba mengesatnya pada dinding luar perigi.

"Apa malang sangat ni? Mana datang tahi kucing kat sini? Aku tak nampak sekor kucing pun tadi. Aduhai..."

Fadhli mendengus kecil. "Okey, cukuplah. Aku patut tidur dah sekarang ni."

Baru hendak membuka langkah kembali semula ke bilik, Fadhli tergamam melihat Nek Yah yang berdiri di situ entah sejak bila.

"A... apa nenek buat kat sini? Tak tidur lagi?"

Nek Yah senyum, menampakkan barisan giginya yang tersusun cantik dan putih bersih bak mutiara. "Kamu tak dapat tidur ya?"

"Hmm..." Fadhli menggeliat.

"Badan terlampau letih kut, nek. Sebab tu susah nak lelap. Itu yang saya turun ambil angin ni."

"Oh..." Nek Yah mengangguk, memandang kasut yang tersarung di kaki Fadhli, kemudian menoleh ke arah rumah.

"Firdaus. Firdaus..."

Sebentar kemudian, Firdaus muncul dari kawasan belakang rumah.

"Ambilkan kasut lain untuk Fadhli ni. Kasut dia dah kotor."

"Eh, tak payahlah, nek. Nanti saya bersihkan. Tahi kucing aje ni."

"Dah kotor sangat tu, sampai ke atas kasut kamu, susah nak hilang. Kena bersih betul-betul dan jemur."

"Tapi..."

"Tak apa. Nanti dah kering, kamu boleh ambil."

Fadhli teragak-agak. Firdaus hanya mengangguk dan berlalu. Nek Yah kembali menghadap Fadhli.

"Tanggalkan, biar nenek bersihkan."

"Tak apalah, nek..."

"Bagi sini. Biar nenek basuh."

Mahu tidak mahu, Fadhli menanggalkan kasut dan hulurkannya kepada Nek Yah. Sebentar kemudian Firdaus kembali ke situ bersama sepasang kasut sukan. Nek Yah mengambilnya dari tangan Firdaus dan dihulurkan kepada Fadhli.

"Pakai yang ni dulu."

Masih teragak-agak, Fadhli mengambil kasut sukan berwarna putih itu.

"Nenek tak nak tetamu rasa tak selesa. Kalau perlukan apa-apa lagi, boleh beritahu nenek atau Firdaus," kata Nek Yah kemudian tersenyum lagi.

MURALWhere stories live. Discover now