FADHLI merebahkan badan di atas tilam empuk. Terasa tulang belakang yang duduk membongkok sepanjang hari seperti lurus semula.
Dia melepaskan keluhan kecil sambil memerhati kipas yang berputar di siling. Ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Ada perkara yang membuatkan hatinya tidak sedap. Namun, dia tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan perasaan aneh itu.
Adlan mengerling Fadhli. "Yang kau tiba-tiba diam macam kena tegur dengan hantu raya ni, kenapa? Tadi kecoh sangat."
Fadhli mengerut dahi. "Aku rasa macam ada yang tak kena."
Dia pandang Adlan. "Apa kata kita kemas barang, tidur dalam kereta."
Adlan melempar kemeja-T miliknya ke arah Fadhli. "Tadi beria sangat nak tidur sini. Sekarang dah takut pula?"
Fadhli diam seketika. "Budak bisu tu... saka Nek Yah tak?"
"Isy! Jangan sebut. Mulut kau tu tolong jaga sikit."
Riana yang sedang mencari sesuatu di dalam beg galas abangnya, menjegil ke arah Fadhli.
Fadhli berbaring mengiring bertongkatkan sebelah tangan.
"Nek Yah kata, Firdaus bukan cucu dia. Dia cuma tolong Nek Yah jagakan rumah ni. Rumah ni pun..."
Dia pandang sekeliling. "Tak nampak macam rumah penginapan atau hotel. Sunyi. Macam rumah ahli sihir..."
Dia memetik jari. "Ataupun..."
Berbisik. "Budak tu penunggu. Manalah tahu, dia tak pandai cakap bahasa manusia..."
Adlan menampar paha Fadhli, menolaknya sedikit ke tepi dan duduk di birai katil sambil membetulkan urat.
"Banyaklah kau punya penunggu. Pergi tidur. Esok bangun awal, kita blah. Tak payah cakap banyak."
"Setahu aku, saka adalah makhluk yang jadi pendamping dan melindungi tuannya."
Jun yang baru keluar dari bilik mandi, mencelah. Dia menyangkut tuala mandi selepas mengesat rambut yang basah.
"Kenapa orang lain yang tak ada saka tu takut dengan benda tu?" Tangannya mencapai telefon pintar yang belum terdapat tanda isyarat talian.
"Kau jangan main-main. Ada orang takut dengan benda-benda gitu sampai tak dapat tidur lena waktu malam. Contoh terdekat, aku ni ha. Boleh bawa ke dalam mimpi oi!"
Adlan ketawa sinis. "Tak adanya sampai termimpi. Kau yang terbawa-bawa sangat."
Jun menepuk bahu Fadhli. "Belum sampai sejam kita singgah, kau dah takut?"
Dia duduk di sebelah Fadhli dan bersandar di kepala katil. Telefon pintar diletak di sisi bantal.
Fadhli bangun dan duduk bersila.
"Aku bukan takut. Aku cuma..." Fadhli pandang sekitar bilik hotel itu. "Rasa sejuk semacam."
Riana yang tidak menemui barang yang dicari, bangun berdiri.
"Kau cakap besar aje depan Shila rupanya." Dia tergelak kecil sambil menggeleng.
"Mana boleh cakap kecik dengan dia tu." Fadhli mencebik.
"Oh, mak kau lipas!" Riana tersandar ke dinding sambil memegang dada.
"Ah, lipas ni! Kurus semangat aku."
Dia menggosok dada sambil tercari-cari ke mana terbangnya lipas yang hinggap di mukanya tadi. Apa yang pasti, lipas itu sangat besar.
Fadhli mengeluh perlahan.
YOU ARE READING
MURAL
HorrorTajuk: MURAL Penulis: ZARINI MANSOR Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-63-9 🍀Untuk melanggan http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069 www.dearnovels.my