RIANA melepaskan keluhan berat apabila mendapati Nadia dan Shila tidak berada di dalam bilik mereka. Dia mengintai melalui jendela untuk melihat halaman depan Melor Senja, namun kelibat rakan-rakannya itu tidak kelihatan.
Riana duduk seketika di katil, kemudian bangun, mencapai tuala kecil dan menuju ke bilik mandi untuk mencuci muka.
Wajahnya di dalam cermin dibelek. Riana ternampak seutas gelang getah di atas singki. Dia menarik nafas lega dan mengambil getah pengikat barang tersebut. Mungkin milik rumah penginapan.
Rambut yang panjang melepasi bahu, akhirnya boleh diraup dan diikat kejap. Dia memandang wajahnya sekali lagi di dalam cermin. Berlengas dan berminyak.
Usai mencuci muka, pergerakan Riana terhenti apabila dia terdengar bunyi seperti kaki perabot diseret di tingkat atas siling batu. Dia mendongak, mengerut dahi.
Menurut Nek Yah, tiada sesiapa yang menyewa bilik pada malam ini melainkan mereka berenam. Malah tiada sebarang kenderaan yang diparkir di hadapan rumah penginapan itu kecuali kereta yang dinaiki mereka. Itu pun diletak di bahu jalan.
Mengenangkan cerita-cerita berkenaan bunyi tersebut, membuatkan bulu roma Riana tegak berdiri, meremang.
"Biasanya tu bukan bunyi kat atas, tapi kat dalam rumah kita sedang duduk tu. Bunyi benda tu memang gitu. Ia macam jauh aje, tapi sebenarnya sangat dekat dengan kita. Mungkin berada di sebelah kita saja..."
Lamunan Riana dikejutkan dengan bunyi lain pula. Kali ini seperti seketul batu terjatuh dan bergolek di atas lantai jubin. Riana terus melangkah keluar dari bilik mandi dan menyangkut tuala di tempatnya semula.
"Kalau dengar, lebih baik buat tak tahu. Jangan tanya bunyi apa. Banyakkan baca ayat Kursi dan ayat-ayat al-Quran yang kita boleh hafal."
Riana berlalu duduk di katil. Banyak pesanan arwah opah yang dia sudah lupa. Menyesal juga kerana tidak bertanya lebih lanjut tentang pengalaman opah bertemu dan berbual dengan pelbagai makhluk selain manusia dan binatang yang tidak dapat dilihat oleh manusia.
Hanya insan-insan terpilih seperti opah saja yang diizinkan Allah terbuka hijab pandangannya.
Isy! Tak payahlah benda-benda gitu nak muncul kat depan aku. Aku rela tak nampak, tak dengar, tak terbayang, tak rasa, tak sentuh dan tak ada kaitan langsung dengan semua tu. Tolonglah jangan tunjukkan diri 'kau' kat depan mata aku.
Walaupun Riana bukan jenis yang suka mengambil tahu tentang hal-hal makhluk ghaib, tetapi pengetahuan tentangnya perlu juga diambil kira. Tidaklah dia menggelabah apabila bertembung dengan situasi yang ganjil, misalnya seperti malam ini.
Riana memandang jendela kemudian beralih ke pintu bilik.
"Shila, Nad, kau orang ni pergi mana? Dah tengah malam ni. Tak nak balik tidur ke?" Dia mengeluh.
"Takkan nak pergi selfie kat mana-mana tiba-tiba kut?"
"Huu... huu..."
Riana tersentak dan terus memandang sekitar. Bunyi itu seperti burung hantu, namun nadanya lebih perlahan dan lebih kepada suara manusia.
"Shila, Nad, kau orang dah balik ke? Janganlah main-main dengan aku. Tak lawaklah." Dia memandang sekeliling.
"Nak bergurau pula malam-malam macam ni..."
"Huu..."
Riana terus bangkit dari katil, terkebil-kebil memandang sekeliling. Nampaknya itu bukan suara manusia biasa. Dia hendak mendekati jendela, namun perasaan takut membuatkan dia membatalkan niat tersebut. Bimbang jika bukan kelibat rakan-rakannya pula yang muncul di luar.
YOU ARE READING
MURAL
HorrorTajuk: MURAL Penulis: ZARINI MANSOR Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-63-9 🍀Untuk melanggan http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069 www.dearnovels.my