JUN menghabiskan tegukan terakhir jus oren. Fadhli tersandar kekenyangan. Shila sudah membasuh tangan. Adlan dan Riana masih meratah daging bakar yang tinggal separuh. Manakala Nadia sedang berbual dengan seseorang menerusi telefon.
"Kau ni bela saka ke apa? Makan banyak, tapi keding."
Shila menegur Fadhli yang kembali meratah daging bakar bersama Adlan.
"Kau tu, makan sikit dah gemuk. Boo... gemuk!"
Shila mengetap bibir apabila diusik oleh Fadhli.
Fadhli mengunyah daging bakar dengan penuh berselera. Seumur hidupnya, ini kali pertama dia dapat menikmati hidangan daging bakar yang sungguh sedap. Ditambah dengan lelehan sos berwarna merah pekat yang keenakannya sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
"Hidup aku lebih baik daripada kau. Tak pernah pula aku pinjam duit orang, lepas tu liat nak bayar."
Shila menjuih bibir.
"Jangan nak bandingkan hidup kau dengan hidup aku. Pengalaman kita tak sama."
"Memanglah tak sama. Aku perempuan, kau lelaki. Aku bersunat masa umur aku sebulan. Kau bersunat bila dah naik sekolah rendah."
Shila menjelir lidah, tidak mahu mengalah.
"Eh, dahlah. Macam budak-budak. Aku nikahkan kau orang berdua nanti baru tahu."
Adlan meneguk jus limau sehingga licin kemudian melepaskan sendawa dan tersandar akibat sengkak.
"Dengan dia ni? Euw!" Shila mencebik.
Fadhli sempat menjelir lidah. Kesedihan atas kehilangan Cik Seroja seolah-olah lenyap seketika.
"Kau orang..." Nadia kembali duduk dan mencelah.
"Aku nak minta maaf. Pak uda aku outstation. Dia tak dapat datang."
"Tak apalah, Nad. Kita pun tak sangka tayar tu nak pancit. Aku sendiri pun terlupa pasal tayar ganti. Berehat sekejap kat sini, dapat makan sedap-sedap ni. Tak apa."
Fadhli kenyit sebelah mata.
Shila menyentuh bahu Nadia. "Mungkin ini peluang kita untuk tenangkan fikiran kat sini. Mungkin, kita boleh ambil cuti lagi beberapa hari?"
Nadia tersenyum dan mengangguk. Lima sahabatnya itu adalah antara yang paling mengambil berat tentang neneknya. Terutama Adlan dan Riana yang sudah menjadi cucu angkat Cik Seroja.
"Err... eh, kau orang tak rasa pelik ke?" Riana menyoal tiba-tiba.
Dia mendekatkan muka kepada Adlan dan yang lain seperti hendak berbisik.
"Kalau ada pekan dekat-dekat sini, tak hairan sangat. Tapi pekan terakhir yang kita jumpa tadi, satu jam dari sini. Stesen minyak, aku rasa lagi jauh kut. Macam mana Nek Yah dapatkan bahan untuk memasak?"
Mereka semua terdiam dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Riana.
"Kau ni, dah makan kenyang-kenyang, baru nak tanya. Biasalah ada rumah penginapan sebiji kat sini. Kalau ada rumah penginapan yang lain, kan dah ada persaingan tu? Tak peliklah Nek Yah buka tempat ni. Sesiapa yang melalui kawasan ni, adalah business untuk Nek Yah. Cuba fikir positif."
Fadhli menghabiskan minumannya.
"Tapi..."
"Anak-anak sekalian..."
Shila tergamam apabila suara Nek Yah tiba-tiba kedengaran begitu dekat di tepi telinganya.
"Dah habis makan? Nenek dah sediakan bilik. Katanya tadi... nak dua bilik saja, kan?"
YOU ARE READING
MURAL
HorrorTajuk: MURAL Penulis: ZARINI MANSOR Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-63-9 🍀Untuk melanggan http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069 www.dearnovels.my