BAB 1

577 10 0
                                    


Bab 1

Diana memandang sekeliling. Bunyi bingit lagu yang diputarkan oleh DJ langsung tidak diendahkan. Pandangan mata ditala ke segenap penjuru, mencari kelibat seseorang.

Sesekali dia memejamcelikkan mata apabila kepala mula sakit kerana lampu neon yang tergantung di atas kepala mula bertukar warna setiap beberapa saat. Ditambah pula dengan suara pekikan dan bunyi muzik yang kuat, menyebabkannya tidak sabar-sabar mahu keluar dari tempat tersebut.

Namun, dia tahu dia tak mungkin akan keluar dari situ dengan tangan kosong. Dadanya mula sesak dengan asap rokok yang memenuhi ruang lantai tarian ketika dia mula menerjah bilik-bilik yang hanya ditutup dengan tirai jarang.

Jantung seakan-akan mahu berhenti berdegup setiap kali dia menyelak tirai tersebut. Dalam hati tidak putus-putus berdoa dia masih belum terlambat.

Syafiq menyandarkan badan sambil bibir menghembuskan asap rokok. Sesekali dia menjeling gadis-gadis teman sosial di sebelah. Gadis-gadis tersebut cuba menarik perhatiannya dengan mengajaknya berbual sambil tangan masing-masing tidak henti-henti merayap di badannya.

Kalau dulu, pasti itulah yang dia suka. Sentiasa dilayan dan dibelai oleh GRO. Mereka seolah-olah sudah dilatih untuk memastikan setiap pengunjung di kelab malam tersebut 'terhibur' dan 'puas'.

Namun, entah kenapa sejak kebelakangan ini semua itu sudah tidak mampu membuatkan hidupnya gembira. Adakah dia sudah jemu dengan kehidupan begini?

"Sayang, nak minum tak? I ambilkan."

Lamunan Syafiq terhenti apabila suara lunak Rita menyapa telinganya. Rita merupakan GRO yang menjadi antara gadis peneman sosial paling disukai di kelab malam tersebut.

Rita mengambil minuman di atas meja, lalu menghulurkannya kepada lelaki itu. Baginya, malam ini merupakan malam yang tidak harus dilepaskan. Semua orang di dalam kelab malam ini tahu siapa Syafiq.

Lelaki berpoket tebal yang memiliki rupa paras yang kacak, sering menjadi rebutan GRO-GRO di sini. Dengan hanya menemani lelaki itu semalam sahaja pun sudah mampu menampung perbelanjaan kehidupan mereka selama sebulan.

Siapa yang tak nak? Setakat ini rasanya belum ada mana-mana GRO yang berjaya menemani Syafiq sehingga ke katil.

Rita bertekad tidak akan mensia-siakan peluang keemasan ini. Dalam kepala Rita sudah terbayang habuan yang akan diterimanya jika dia berjaya menundukkan Syafiq. Pasti selepas ini, berebut-rebut lelaki-lelaki kaya mahu melangganinya.

Lagipun, teringin juga dia mahu 'menikmati' tubuh sasa Syafiq. Sudahlah bertubuh sasa, berwajah tampan dengan kumis nipis di bibir.

"Sayang, malam ni temankan I boleh?" Rita cuba melingkari tangannya ke leher Syafiq.

Wajah didekatkan ke wajah lelaki itu, cuba untuk menjamah bibir milik Syafiq.

"Bos, apa macam? Seronok?"

Rita ketap bibir apabila aksinya diganggu dengan kemunculan Alan, pemilik kelab malam itu.

"Uh, sorry, sorry. I ganggu you all ke?" Alan bertanya apabila dia perasankan jelingan tajam Rita.

"Aku bosan." Syafiq bersuara akhirnya, setelah sekian lama mendiamkan diri.

Sebatang rokok dikeluarkan lagi dari kotaknya sebelum dicucuh dengan api.

"Eh, kenapa pulak? Bukan ke you sedang ditemani bidadari-bidadari cantik?" Alan bertanya lagi sambil memandang anak-anak buahnya.

Sempat juga dia berbalas pandangan dengan Rita.

TAK MENGAKU CINTATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang