BAB 3

211 3 0
                                    


"What the hell?"

Syafiq pejam mata. Dia tahu pasti akan ada kejadian yang lebih teruk selepas ini. Dalam hatinya sudah berkira-kira sama ada mahu terus kekal di sini atau angkat kaki sahaja.

"Darling, tengok baju I ni. Hei, perempuan tak guna! Macam mana kau buat kerja, hah? Kau tahu tak berapa harga baju aku ni? Gaji kau setahun pun takkan mampu nak bayar balik harga baju aku ni, tahu tak?!"

"Nad, sudahlah. Benda kecik aje pun. Buat apa nak kecoh-kecoh." Syafiq menegur apabila melihat gadis tersebut seperti sudah mula hilang akal.

Kadangkala dia tidak faham tentang perempuan. Kenapa mereka suka memperbesar-besarkan benda kecil?

Setakat tertumpah air pada baju saja. Bukan luak pun. Air pun air kosong. Pergi sahajalah hantar dry cleaning. Tak pun pergi beli sahaja yang baru. Apa susah?

Nad atau Nadirah mula tidak puas hati dengan reaksi yang ditunjukkan oleh lelaki itu. Sangkaannya Syafiq akan menyebelahinya dan memarahi gadis pelayan tersebut. Alih-alih dia yang kena balik.

"Darling, you tahu kan harga baju ni berapa?" tanya Nad tidak puas hati.

"Yep, I yang beli. I tahulah. Alah, beli aje yang lain. Apa susah. Lagipun, you kan suka shopping baju baru." Syafiq menjawab selamba.

Niat asalnya ingin menenangkan fikiran dan menikmati makan tengah hari dengan tenang. Kebetulan Nad, gadis yang dia kenal di kelab malam menghubunginya dan mengajaknya keluar.

Memandangkan dia sudah bosan makan dengan Adli, dia menerima sahaja pelawaan gadis itu. Tapi, tak sangka begini jadinya. Makin menambahkan rasa sakit kepala lagi adalah.

Nad ketap bibir menahan geram. Sakit hatinya dengan layanan acuh tak acuh lelaki itu. Sangkaannya Syafiq mempunyai perasaan terhadapnya ketika lelaki itu menerima pelawaannya.

"Maafkan saya cik. Saya tak sengaja. Saya minta maaf." Gadis pelayan tersebut berkata berkali-kali sambil cuba mengelap tumpahan pada pakaian Nad.

Nad menepis kasar. "Hei, jangan sentuh aku dengan tangan kau yang kotor tu. Kau ingat kau siapa? Mana manager? Panggil manager kau sekarang!"

Suara Nad memekik kuat memenuhi ruang tersebut sehinggakan semua mata pengunjung tertumpu ke arah mereka.

Sekali lagi Syafiq mengurut dahi. Tiba-tiba rasa menyesal pula keluar dengan gadis ini. Kalaulah dia tahu apa yang bakal dia lalui ini, pasti dia lebih rela menghadap muka Adli. Huh!

"Cik, saya betul-betul minta maaf. Jangan panggil manager saya. Nanti saya akan diberhentikan kerja." Gadis itu berkata separuh merayu.

Air mata sudah pun mengalir di pipi, namun Nad langsung tidak mengendahkan tangisan tersebut.

"Shima, apa yang berlaku?"

Diana yang sedang berbincang dengan bakal pelabur tidak jauh dari situ turut menoleh. Dia yang sedang cuba fokus dengan perbincangan tentang resort itu, langsung tidak boleh menumpukan perhatiannya sejak kali pertama suara gadis memekik memarahi pelayan hanya disebabkan air tertumpah di baju gadis tersebut.

Sebetulnya bukan salah gadis pelayan tersebut, tapi memandangkan dia ada perkara yang lebih penting mahu diuruskan, dia malas nak masuk campur. Namun, apabila perkara itu sudah semakin serius hingga boleh memusnahkan masa depan seseorang hanya kerana kesalahan orang lain, dia tidak boleh duduk diam lagi.

"Oh, you manager dekat sini ke? Kalau you nak tahu, budak ni dah rosakkan baju I. You tahu berapa harga baju ni? Darling, cuba you cakap sikit berapa harga baju ni?" Nad memandang Syafiq yang sudah mula kelihatan tidak senang duduk di situ.

"Maafkan kami cik. Kami janji perkara ini tidak akan berulang lagi." Lelaki yang mengenakan sut lengkap, yang dipercayai sebagai manager di restoran itu bersuara meminta maaf bagi pihak anak buahnya.

"Helo, maaf sahaja takkan selesaikan semua benda. I nak you pecat perempuan ni. Baru I akan puas hati." Nad menjawab angkuh.

"Nad, sudahlah. Jangan nak besar-besarkan hal ni lagi, boleh?" Syafiq berbisik cuba memberikan amaran supaya gadis itu tidak terus-menerus memalukan mereka.

Nad membulatkan mata. Macam tak percaya dengan apa yang dia dengar. Spontan wajahnya bertukar kemerahan. Mungkin malu kerana Syafiq pun tidak menyebelahi dirinya.

"I tak kira! I nak budak ni dipecat jugak! Kalau tidak, I akan saman restoran ni!" Nad membentak sambil menghempaskan kain lap mulut di atas meja.

Shima kembali menangis. Dalam kepala terbayang apa yang dia akan lakukan sekiranya dia diberhentikan kerja. Terbayang juga nenek yang sakit di rumah, yang memerlukan ubat-ubatan saban minggu. Terbayang juga dalam fikirannya, wajah adik-adik yang masih kecil dan masih bersekolah.

Macam mana dia nak menyara mereka sekiranya dia dibuang kerja? Sudahlah zaman sekarang susah nak dapat kerja. Dengan hanya berbekalkan kelulusan SPM, banyak manalah pilihan kerja yang dia ada sekarang.

"Shima, saya tak ada pilihan..."

Diana kerut dahi apabila dia merasakan yang pengurus restoran itu bakal melakukan perkara yang tidak adil terhadap gadis bernama Shima itu. Dalam hati sudah mendongkol rasa marah.

Memang orang kaya semua sama sahaja kan. Melayan orang kebanyakan seperti mereka sesuka hati, tanpa memikirkan perasaan orang lain.

Tanpa berfikir panjang, Diana segera bangun dari tempat duduknya, lalu berjalan ke arah lokasi kejadian.

"Maaf encik. Saya rasa sebelum encik nak berhentikan gadis ini, lebih baik encik semak dahulu CCTV. Kita tengok semua ini sebenarnya salah siapa."

Semua mata tertumpu kepada Diana. Syafiq yang dari tadi cuba menghalang muka dengan tangan kerana malu, terus angkat kepala.

"You siapa? Nak masuk campur hal orang?" Nad bertanya bengang.

Diana hanya senyum sinis.

Bulat mata Syafiq tatkala memandang wajah Diana ketika itu. Eh, bukankah gadis ini...

"Encik, saya rasa encik seorang yang adil dan bertimbang rasa dengan orang bawahan encik. Jadi, saya minta sebelum encik buat sebarang keputusan, tolong semak dulu CCTV. Encik mesti tak nak menyesal sebab tersalah buat keputusan, kan?" Diana bertanya sambil memandang wajah pengurus yang kelihatan serba salah.

"Err, mungkin bagus juga cadangan itu."

Diana senyum. Lega apabila lelaki itu mahu mempertimbangkan cadangannya. Dia kemudian beralih pandangan pula kepada Nad. Wajah gadis itu seperti telah disimbah dengan setong minyak petrol.

"Untuk awak, tak guna pakai baju cantik-cantik kalau tak ada budi bahasa. Atau boleh saya kata, money can't buy your class, am I right?" Diana berkata sinis sebelum berlalu dari situ.

Nad mengetap gigi cuba menahan marah dan malu. "Darling! You tengok apa dia dah buat kepada I!"

Diana hanya senyum sinis ketika berjalan ke mejanya.

"Saya minta maaf Encik Amran sebab encik terpaksa melihat situasi begini. Saya harap apa yang saya lakukan tadi tidak menjejaskan peluang kita untuk bekerjasama."

"We'll talk later." Encik Amran bangun dari tempat duduknya sebelum berlalu dari situ.

Diana pejam mata. Dia seperti dapat merasakan peluang untuk mereka bekerjasama sangat nipis. Ini semua perempuan tak sedar diri itu punya pasal! Argh!

Diana membasahkan mukanya beberapa kali sebelum mengangkat kepala, membiarkan air yang jatuh dari wajahnya menitis di atas singki. Dia kemudian merenung cermin. Memikirkan apa lagi rancangan yang dia perlu lakukan demi menyelamatkan resort tersebut.

Dia pasti perbincangannya bersama Encik Amran tadi hampir membuahkan hasil. Tapi, disebabkan dia sibuk nak masuk campur hal orang lain, menyebabkan peluangnya kini seakan-akan tertutup.

Diana mencapai tisu, lalu mengelap mukanya yang masih basah sebelum membuang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah. Setelah membetulkan kedudukan pakaian dan ikatan pada rambutnya diperkemas, dia melangkah keluar dari tandas restoran tersebut.

Kalau diikutkan, dia ada satu lagi perjumpaan dengan bakal pelabur. Kali ini dia berharap yang perbincangannya tidak sia-sia.

TAK MENGAKU CINTATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang