BAB 5

204 5 0
                                    


"AKU nak kau cari semua maklumat pasal perempuan ini sampai dapat." Syafiq menghulurkan beberapa keping gambar yang diperolehi daripada CCTV di restoran tempat mereka bertemu dahulu.

"Berapa lama masa yang aku ada?"

"Dua hari."

"Hah? Dua hari mana cukup. Lagipun gambar ni tak berapa jelas."

Syafiq langsung tidak berkata apa-apa ketika dia menarik laci.

Adli yang berdiri tegak tidak jauh dari situ mula cuak. Dia tahu, kalau Syafiq tarik laci itu tak lain dan tak bukan mesti nak keluarkan pistol.

"Nah, aku bayar triple. Cash. Tapi, kau hanya ada masa dua hari sahaja. Lagi cepat, lagi bagus." Syafiq melemparkan beberapa ikat duit yang tebal kepada penyiasat upahan di hadapannya itu.

Lelaki itu hanya merenung duit-duit yang dilemparkan di hadapannya tanpa berkata apa-apa. Raut wajah lelaki itu seolah-olah sedang berfikir sama ada mahu menerima tawaran tersebut atau melupakannya sahaja.

Mengesan maklumat individu hanya berdasarkan gambar pada CCTV selama dua hari, bukanlah satu tugas yang mudah. Namun, ganjaran yang ditawarkan pun tak kurang lumayan. Boleh tampung perbelanjaannya selama beberapa bulan.

"Baiklah. Aku setuju. Dua hari lagi aku akan datang dengan bawa semua maklumat yang kau minta."

Syafiq senyum lebar.

"Bagus. Aku tunggu dua hari lagi. Tapi, kau kena ingat. Kalau kau belot atau cuba nak tipu, ini yang akan kau dapat." Syafiq menarik keluar sepucuk pistol dari lacinya.

"Jangan bimbang. Aku takkan lari."

"Bagus."

Adli hanya memandang lelaki itu sehingga hilang daripada pandangan sebelum menghampiri Syafiq yang kelihatan seperti sudah berjaya memenangi loteri.

"Bos tak adil."

Syafiq yang sedang berangan-angan apa yang akan dilakukan jika dia dapat tahu tentang gadis misteri itu, mengalihkan pandangan. Adli sedang berdiri di hadapannya dengan raut wajah seperti jauh hati.

"Kau apa hal?"

"Bos tak adil." Adli berkata lagi.

"Apa benda yang kau merepek ni? Terus terang sahaja boleh tak?"

"Kalau dengan saya, bos akan tarik laci dan terus acu pistol. Tapi, dengan lelaki tu, bos tarik laci tapi bos lempar duit. Bos tak pernah pun buat macam tu pada saya!"

Syafiq merengus perlahan. Dia menghidupkan komputer ribanya.

"Bos!"

Syafiq tersentak apabila Adli tiba-tiba memekik begitu. "Kau nak mampus ke? Dasar budak tak kenang budi!"

Adli langsung tak ambil hati akan kata-kata lelaki itu. Sudah masak sangat dengan kata-kata makian dan kasar begitu. Tapi, apa yang membuatkan dia terasa adalah tindakan lelaki itu yang mengupah penyiasat persendirian dan bukannya dia!

"Kenapa bos tak suruh saya aje cari maklumat perempuan tu? Kenapa perlu upah orang lain? Bos tak percayakan saya ke?"

Syafiq tidak menjawab. Malas nak layan.

"Bos, dengar tak apa saya tanya ni?" Adli tak putus-putus bertanyakan soalan, sehinggakan Syafiq mula bengang.

"Kau jangan banyak tanya boleh? Keluar! Pergi buat kerja kau sekarang! Jangan nak makan gaji buta sahaja!" jerkah Syafiq mula hilang sabar.

TAK MENGAKU CINTATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang