DIANA menongkat kepala ketika otak ligat berfikir. Sungguh dia sudah kekeringan idea bagaimana mahu menyelamatkan resort tersebut. Masa yang diberikan oleh Encik Fuad hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Sudah habis daya yang dia telah lakukan, namun semuanya seperti tidak membuahkan hasil. Puas sudah dia meyakinkan bakal-bakal pelabur, namun nampaknya tiada satu pun yang berminat mahu melabur dalam resort tersebut.
Diana menyandarkan tubuh pada kerusi. Kepala didongak ke atas. Merenung kipas yang berputar ligat. Fikirannya mula menerawang teringat akan kenangan ketika dia mula-mula bekerja di sini. Ketika itu usianya baru mencecah 22 tahun.
Sejurus menamatkan pengajian dalam bidang perhotelan, dia mengambil keputusan untuk bekerja di sini. Di resort ini.
Dia sukakan suasana tenang di sini. Udaranya yang bersih dan nyaman. Hiasan resort yang lebih kepada alam semula jadi benar-benar memikatnya ketika kali pertama dia menjejakkan kaki ke situ.
Namun, nampaknya setelah hampir empat tahun dia berkhidmat di situ, resort tersebut mungkin bakal terkubur buat selama-lamanya.
Diana mengurut pelipisnya yang terasa sakit. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menarik keluar buku notanya dari dalam beg tangan. Namun, perhatiannya teralih ketika sekeping kad yang jatuh ke lantai.
Diana tunduk, lalu mengutip kad tersebut. Berkerut sedikit dahinya ketika dia membaca nama pada kad tersebut. Huh! Kenapalah dia masih simpan lagi kad malaun ni?
Diana merenyukkan kad tersebut dan ingin mencampakkannya ke dalam bakul sampah.
"Just name it."
Tiba-tiba kata-kata Syafiq bermain-main dalam fikirannya. Diana tidak jadi mencampakkan kad tersebut ke dalam tong sampah. Dia membelek lagi kad tersebut buat kali kedua.
Perlukah dia menerima sahaja tawaran lelaki itu demi menyelamatkan resort ini? Tegarkah dia untuk menggadaikan maruah dan harga diri demi menjaga periuk nasi hampir 50 orang staf di sini?
Diana pejam mata. Sabar Diana. Ini semua dugaan. Allah sengaja nak uji sekuat mana kau mampu hadapi dugaan ini. Jangan mudah mengalah. Teruskan berjuang. Insya-Allah, pasti ada jalan.
Lalu, kad tersebut kembali ke tempatnya. Ke dalam tong sampah. Tempat yang selayaknya sejak awal lagi.
"CIK DIANA, kenapa tiba-tiba Encik Fuad panggil kita semua masuk miting?" tegur Leha yang sama-sama berjalan di sisi Diana ketika mereka sedang bersedia untuk masuk ke dalam bilik mesyuarat.
"Saya pun tak tahu Kak Leha. Pagi tadi tiba-tiba sahaja Encik Fuad telefon minta maklumkan pada semua staf yang kita akan ada miting tergempar."
"Jangan-jangan ada kaitan dengan resort ni tak? Encik Fuad nak umumkan yang resort ni bakal ditutup ke?" Leha mula cemas.
Diana tidak mampu berkata apa-apa kerana dia sendiri tidak tahu apa tujuan lelaki itu mengadakan mesyuarat tergempar dengan semua staf. Selalunya, jika lelaki itu ingin mengadakan mesyuarat, hanya beberapa orang staf pengurusan tertinggi sahaja yang dipanggil, termasuk dirinya.
Suasana bilik mesyuarat yang kecil itu terasa sesak dan hingar-bingar. Masing-masing tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.
"Diana? Apa kes ni?"
Diana yang sedang ralit membelek telefon bimbitnya, menoleh. Meor, pembantu tukang masak sudah pun mengambil tempat duduk di sebelahnya.
"Tak tahu. Encik Fuad tak inform apa-apa pun kepada saya."
"Really? Bukankah Encik Fuad selalu berbincang dengan awak dulu sebelum buat apa-apa keputusan?"
Diana hanya mampu menggelengkan kepala. Baru sahaja dia mahu membuka mulut, tiba-tiba Encik Fuad muncul di muka pintu.
"Assalamualaikum. Maaf kerana lambat. Saya minta maaf juga kerana terpaksa mengadakan perjumpaan tergembar pada hari ini. Sebelum itu, saya ingin meminta maaf sekali lagi atas apa yang bakal saya katakan. Mungkin perkara ini bakal mengejutkan anda semua. Tapi, saya tak ada pilihan lain lagi."
Suasana di dalam bilik mesyuarat itu kembali hingar-bingar. Riak wajah masing-masing jelas kelihatan cuak dan bimbang dengan apa yang bakal diumumkan oleh bos mereka itu.
"Saya ada dua berita yang ingin saya sampaikan. Satu berita gembira dan satu berita buruk."
Meor dan Diana saling berpandangan sebelum tumpuan mereka kembali kepada lelaki itu.
"Saya akan umumkan dahulu berita buruk. Seperti yang anda semua maklum, resort ini telah mengalami masalah kewangan yang sangat teruk sehingga ada beberapa orang pekerja yang terpaksa ditamatkan perkhidmatannya secara terpaksa. Percayalah. Itu sesuatu yang melukakan hati saya. Saya sayangkan anda semua seperti keluarga saya sendiri."
Encik Fuad terdiam buat seketika. Kepala lelaki itu tunduk ke bawah. Seolah-olah mahu menyembunyikan riak wajah sedih, namun Diana tahu pasti lelaki itu sedang menahan sebak dan air mata yang mengalir di pipi.
Encik Fuad menarik nafas dalam-dalam, seolah-olah mencari kekuatan untuk meneruskan kata-katanya.
"Dengan ini, saya mengumumkan yang saya tidak akan menguruskan lagi resort ini."
Suasana bilik mesyuarat yang senyap sunyi, bertukar menjadi kecoh. Ada yang menangis dan meraung kesedihan. Ada juga yang hanya termenung seolah-olah memikirkan masa depan yang kelihatan gelap.
Diana segera bangun. "Maafkan saya Encik Fuad kerana mencelah. Tapi, saya rasa encik tak patut buat keputusan begitu tanpa berbincang dengan pihak pengurusan. Berbincang dengan saya."
Encik Fuad hanya mampu mengukir senyuman sedih. "Tiada apa lagi yang boleh kita lakukan, Diana. We have done too much, but..."
"Tapi, kita boleh..."
"Tidak. Itu keputusan muktamad saya." Encik Fuad menjawab tegas.
Diana cuba mencari kata-kata yang sesuai bagi meyakinkan lelaki itu, namun dia tahu daripada riak wajah Encik Fuad kelihatan lelaki itu sudah pun berputus asa dan pasrah.
"Tapi, anda semua jangan risau. Saya masih lagi belum mengumumkan berita gembira." Encik Fuad kembali mengukir senyuman.
Perhatian semua yang berada di dalam bilik tersebut tertumpu ke arah Encik Fuad, termasuk Diana. Masing-masing kelihatan tidak sabar mahu mendengar berita yang menggembirakan itu.
"Seperti yang saya katakan tadi. Saya tidak lagi mengursukan resort ini kerana resort ini telah pun dibeli oleh seseorang. Yang saya percaya mampu membawa pembaharuan pada resort ini. Dan saya dijanjikan yang semua staf akan dikekalkan seperti sedia kala."
Diana kerut dahi, cuba mencerna maksud kata-kata lelaki itu.
"Orang tersebut ialah Syed Syafiq Syed Sariffudin. CEO syarikat S.H.Q Berhad. Mulai hari ini, resort ini akan diambil alih sepenuhnya oleh beliau."
Seketika, muncul seorang lelaki yang lengkap bersut hitam, mengenakan tali leher berwarna keemasan berjalan masuk menghampiri Encik Fuad.
Rahang Diana hampir jatuh beberapa inci tatkala melihat siapa yang bakal menerajui resort tersebut. What the... !
"Assalamualaikum, selamat sejahtera. Saya Syafiq. Bakal bos baru anda semua. Saya berharap kita akan dapat bekerjasama demi memajukan kembali resort ini."
Am I dreaming? Diana terasa seperti mahu pengsan!
KAMU SEDANG MEMBACA
TAK MENGAKU CINTA
Romance"You are crazy." Dada Diana turun naik ketika cuba mengawal kemarahannya. "Yes, I'm crazy because of you. Come on. Just tell me want do you want? Duit? Barang kemas? Handbag? Hermes? Gucci? Prada? Chanel? You name it. Atau, awak nak saya belikan ker...