BAB 7

224 5 0
                                    


DIANA memandang ke tingkap apabila kereta yang dipandu oleh Syafiq mula perlahan sebelum berhenti betul-betul di tempat letak kereta di hadapan pusat beli-belah.

Walaupun Diana masih diselubungi rasa ketakutan, namun hatinya turut tertanya-tanya kenapa Syafiq membawanya ke sini. Sangkaannya, Syafiq akan membawanya ke tempat jauh daripada orang ramai. Di lorong-lorong gelap atau di ladang kelapa sawit contohnya.

Tapi, kenapa sini?

Syafiq menanggalkan tali pinggang keselamatan sebelum keluar dari kereta. Belum pun sempat Diana berbuat apa-apa, pintu tempat duduk belakang dibuka oleh lelaki itu.

"Keluar," arah Syafiq lagi.

Diana masih kekal diam di situ, membuatkan Syafiq terpaksa menarik lengan gadis itu untuk memaksa gadis itu keluar dari kereta.

"Sakitlah!" Diana cuba menepis, namun semakin kemas tangan Syafiq mencengkam lengannya.

"Lepaskan aku. Kalau tidak, aku jerit," ugut Diana.

"Kalau kau rasa dah lama hidup, jeritlah kalau berani."

Diana terdiam. Kakinya dipaksa mengekori langkah kaki lelaki itu ketika dia diseret masuk ke dalam pusat beli-belah yang beroperasi selama 24 jam.

"Encik, kita nak ke mana ni? Saya nak balik." Diana merayu lagi, namun Syafiq langsung tidak mengendahkan kata-kata rayuan tersebut.

Kakinya laju melangkah masuk ke dalam kedai menjual barang kemas yang mewah.

"Pilih."

"Hah?" Diana pandang wajah Syafiq dengan sisa air mata yang masih membasahi pipi.

Syafiq turut memandang wajah Diana. Spontan hatinya terusik sedikit tatkala melihat ada air mata di pipi gadis itu. Syafiq berjalan menghampiri Diana, membuatkan Diana kembali cuak.

"Encik nak buat apa dengan saya?" Diana bertanya sambil melangkah beberapa tapak ke belakang.

Tangan Syafiq pantas menarik tangan Diana apabila dia merasakan gadis itu cuba melarikan diri lagi.

"Saya tak..."

"Shhh..." Syafiq meletakkan jari telunjuknya pada bibir Diana, membuatkan Diana spontan terdiam.

"Saya minta maaf kalau saya telah mengasari awak." Syafiq berbisik perlahan.

Diana angkat kepala. Sungguh, dia langsung tidak menyangka yang lelaki itu akan mengeluarkan kata-kata begitu.

"Jangan menangis lagi, sayang." Syafiq mengelap sisa air mata di pipi Diana dengan hujung jarinya.

Diana tersentak sedikit. Dia segera memalingkan wajahnya ke arah lain apabila jantungnya sudah mula berdegup kencang. Dia cuba menjauhkan diri daripada lelaki itu.

"Encik, tolonglah jangan buat saya macam ni. Saya tak selesa."

Syafiq terdiam buat seketika sebelum menjarakkan tubuhnya. Dia tahu, Diana mungkin bukan seperti gadis-gadis yang dia kenal.

"So, pilihlah mana awak nak. Saya tahu semua perempuan suka barang kemas, kan?"

Diana kerut dahi sambil memandang sekeliling. Matanya turut tertumpu pada koleksi-koleksi barang kemas yang dipamerkan di dalam almari kaca di kedai tersebut. Harga jangan cakaplah. Paling murah pun harga cecah puluh-puluh ribu.

"Kenapa encik tiba-tiba nak suruh saya pilih barang kemas ni? Encik ada hutang dengan saya ke?" tanya Diana sambil merenung wajah lelaki itu dalam-dalam.

TAK MENGAKU CINTATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang