HARI ini genap empat bulan aku bekerja di Taska Mithali. Menjaga kanak-kanak di bawah usia empat tahun dan juga bayi. Alahai, apalah nasib aku... Umur baru nak masuk lapan belas tahun tapi dah kena main dengan bayi. Kalau anak sendiri tak apalah. Ini anak orang.
Kadang-kadang aku rasa baik aku balik tolong umi kat warung. Setakat tolong basuh pinggan dan buat air, itu kacang aje. Konon nak cari pengalaman tapi kena jaga bayi. Asalnya aku nak minta jadi cikgu tadika, tapi tiada kekosongan. Tak kesahlah mengasuh budak pun daripada aku tanam anggur di tempat orang.
Lepas habis SPM, umi memang ada tawarkan kepada aku untuk bantu dia kat warung, tapi aku ni jual mahal. Mentang-mentanglah aku ada kakak kat Kuala Lumpur, jadi aku nak cubalah merasa hidup kat sini.Hendak tak hendak, aku jadi pekerja taska sahajalah memandangkan aku cuma ada sijil SPM. SPM pula cukup-cukup makan saja. Sebab tu aku tak dapat panggilan pertama untuk masuk UiTM. Aku dapat panggilan kedua untuk masuk
UiTM Shah Alam. Sebab tu aku nak kerja dulu. Bolehlah buat duit poket memandangkan sesi pengajian aku bermula pada bulan Disember.
Mulanya aku mohon untuk jadi cikgu tadika kat sekolah Azfan. Azfan tu anak saudara aku yang berumur lima tahun. Tetapi tiada rezeki agaknya. Jadi, tercampaklah aku kat taska ni. Lagipun taska ni tak jauh dari tadika Azfan.
Em... Tak kesahlah kerja apa pun, Qistina Airisa. Janji masyuk. Nak sambung studi lambat lagi. Tak guna aku duduk di kampung menghitung hari sahaja.
"Qis, pergi salin Pampers baby Eisya. Dah basah tu." Suara Kak Azmah menerjah ke telinga aku.
Aku berpaling lalu tersengih. Sengih yang tak mahu sengih sebenarnya. Aku ni dah kembang pipi. Kalau setakat salin Pampers tu aku tak kesah, tapi aku paling lemah kalau bab budak-budak ni 'tut'.
"Baik, kak," jawab aku dengan patuh. Karang kalau aku lambat jawab dikatanya aku ingkar pula. Aku mendapatkan Eisha yang sedang meniarap. Bayi comel itu berusia dalam lingkungan enam bulan. Aku mendukungnya untuk dibawa ke bilik air. Semerbak bau yang kurang enak dari lampin jenama Huggies yang dipakainya itu. Aku laksanakan jua tugas itu seikhlas hati.
Setelah siap, aku buatkan susu untuknya. Aku dodoikan dia di dalam buaian. Tidak sampai lima belas minit, Baby Eisya pun melelapkan mata. Belum pun sempat aku menghela nafas lega, aku terdengar tangisan kanak-kanak lain pula.
"Kenapa ni, Mia?" tanya aku kepada budak perempuan yang sedang menangis itu.
"Danish yang uat," beritahu Mia, pelat.
Mata aku mencerlung ke arah Danish. Danish yang di bawah jagaanku itu memang selalu mengusik kanak-kanak lain."Danish, kenapa usik Mia?"
"Danish nak anak patung tu," kata Danish dengan jari telunjuk diarahkan pada anak patung Barbie yang dipegang oleh Mia.
"Itu kan anak patung Mia," ujarku dengan lembut. Kena pandai psikologi dengan budak-budak. Nanti kalau kita menengking mereka memberontak.
"Tapi Danish suka!" bentak Danish sambil menghentakkan kakinya.
"Boy mana boleh main anak patung. Anak patung girl aje boleh main." Aku cuba berdiplomasi dengan budak berusia tiga tahun lebih itu. Kiranya itu nasihat paling cantik bagi aku. Danish menjerit."Nak juga!"
Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Huh! Bukan senang nak nasihat budak. "Okey, macam ni. Danish main robot dengan cikgu. Kita lawan nak?"
Danish nampak berminat dengan ajakan aku lalu memberikan anak patung Barbie kepada Mia. Mia lantas mengambil anak patungnya.
Main robot pun main robotlah, Qistina Airisa. Aku menarik tangan Danish lalu mengambil robot di dalam bakul. Aku berlakon menjadi budak kecil. Melayan keletah Danish bermain. Ternyata Danish senang dilayan begitu.
YOU ARE READING
Oops! Suami Aku Bukan Duda - Uji Norizqi
RomanceOOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA ISBN No : 978-967-0657-12-7 JUMLAH MUKA SURAT : 590 BLURB :- Qistina Airisa.....Seorang gadis muda yang tahu berdikari. Dia memiliki rupa paras yang menawan namun dia adalah si jinak merpati. Sepadan dengan usia dia belum...