RUTIN pagi-pagi aku kat taska adalah menyambut bayi dan kanak-kanak yang dihantar oleh ibu bapa mereka. Seawal jam tujuh pagi lagi aku harus berada di taska. Mula-mula kerja dulu bukan main mengeluh sebab terpaksa bangun awal pagi.
Semasa di kampung, aku liat juga nak bangun awal. Biasanya sekitar pukul 6.30 pagi baru aku mencelikkan mata. Kalau aku tersedar awal pun, aku akan pejamkan mata sehingga jam loceng aku berdenting pada pukul 6.30 pagi. Umi selalu marah sebab lepas tu aku akan kelam-kabut untuk berkejar ke sekolah. Itulah Qistina Airisa yang suka buat kerja pada saat-saat terakhir. Bila awal terasa awal, bila masa sudah semput baru nak gelabah tak tentu hala.
Alamak, Danish dah sampai dengan bapa dia. Buat senaman muka sikit pagi-pagi ni biar orang nampak kita ni berseri-seri. Mereka nak tinggal anak pun senang hati. Cuba kalau buat muka orang tak cukup tidur, mahu mereka cari taska lain.Itulah kau, Qistina... Malam-malam suka tunggu TV padahal TV tu bukannya ada kaki nak lari ke mana-mana cuma siarannya saja yang bertukar. Bab siaran itulah yang aku tak tahan. Kat kampung mana ada Astro, jadi tak banyak cerita menarik. Tapi kat rumah kakak aku ni ada 'kuali' di atas bumbung. Jadi, aku ambillah peluang itu. Menonton filem yang seronok dan filem yang heronya ganteng-ganteng bak kata orang Indonesia. Hehehe...
"Cikgu... Cikgu... Cikgu..."
"Ya... Saya," balas aku sedikit gugup. Gugup bukan sebab hati dah terjatuh tau tapi sebab kontrol ayu. Bimbang dikata aku ni hanyut entah ke mana.
"Cikgu fikir apa?" soal Luqman Hakimi.Boleh pula bapa Danish ni tanya aku macam tu?
Kenapa? Dia rasa aku ni tengah fikir masalah negara ke? Aku ni bukannya menteri nak fikir itu semua, bapa Danish oi. Aku ni tengah fikir betapa seronoknya semalam dapat menikmati
drama bersiri yang ada Fahrin Ahmad berlakon. Hesy, tak sabar aku nak tengok episod seterusnya malam ini.
"Cikgu, ni beg Danish."
Aku menyambutnya. "Okey."
"Cikgu, nak tanya sikit boleh?" Si penyoal meminta izin untuk bertanya. Dah nak tanya, tanya ajelah bapa Danish oi.
"Nak tanya apa erk?" balas aku berbasa-basi sahaja.
"Cikgu ni nama apa?" Kelasnya soalan. Soalan macam budak main pondok-pondok.
"Cikgu Qistina Airisa, papa." Si kecil tolong jawab. Jimat air liur aku. Walaupun Danish pelat utuk menyebut nama aku. Maklumlah, susah nak sebut huruf Q.
"Ooo..." balas Luqman Hakimi. Mungkin kerana soalan yang dia tuju kepada aku telah dijawab oleh anaknya sendiri. Itulah, macam tak ada soalan lain nak tanya. Setakat hendak tahu nama aku, baik kau tanya Danish di rumah. Semestinya dia tahu nama cikgu kesayangannya ini. Danish tu bukannya bayi berumur empat bulan sampai tak reti nak sebut nama aku.
Eh... Kejap... Kenapa pula bapa Danish ni sibuk hendak tahu nama aku? Penting ke untuk dia tahu nama aku? Penting kut.... Penting apa pula seorang bapa nak tahu nama pengasuh? Alahai... Apa pasal dengan aku ni? Soalan yang tidak seberat mana tu habis berat aku fikir.
"Ermmm... Cikgu umur berapa, ya?" Luqman Hakimi teragak-agak untuk bertanya. Mukanya nampak bingung seolah-olah berfikir sendiri sama ada betul atau tidak soalan yang dilontar kepada aku.
Apa kes pula dia ni nak tahu umur aku bagai? Aku mula berasa pelik apabila bapa kepada budak jagaan aku pagi ini banyak mulut dan masa untuk tanya aku macam-macam soalan. Macam-macam ke, Qistina? Bukankah baru dua soalan? Itu pun soalan pertama telah dijawab oleh anaknya.
"Perlu ke seorang bapa kepada penghuni taska ini tahu umur pekerja nurseri ni?" Tanpa menjawab soalan daripada Luqman Hakimi, aku terus menyoalnya. Air muka Luqman Hakimi kelihatan berubah. Dia mati kata-kata. Rasa darah panasnya menyerbu ke muka.
YOU ARE READING
Oops! Suami Aku Bukan Duda - Uji Norizqi
RomanceOOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA ISBN No : 978-967-0657-12-7 JUMLAH MUKA SURAT : 590 BLURB :- Qistina Airisa.....Seorang gadis muda yang tahu berdikari. Dia memiliki rupa paras yang menawan namun dia adalah si jinak merpati. Sepadan dengan usia dia belum...