Oops! Suami Aku Bukan Duda - Bab 2

828 10 0
                                    


"AMBOI, khusyuknya tengok TV." Aku ditegur oleh kakak aku.


"Mestilah khusyuk. Tengok hero kegemaran," balas aku yang belum mengalihkan mata dari TV LED 42 inci itu.


"Azfan dah tidur, kak?"


"Dah. Macam mana Qis kerja kat taska hari ni?" soal Kak Ina yang sudah menghenyakkan punggungnya di atas sofa.

"Biasa je, kak. Hari-hari kena layan kerenah budak-budak," jawab aku mengenai rutin harian aku. Tiada yang menarik pun.


"Eloklah tu belajar dari sekarang. Nanti dah ada anak sendiri senang."


Anak sendiri? Apalah kakak aku ni, aku yang masih muda belia ni dikaitkan pasal anak pula. Mentang-mentanglah aku ini jadi pengasuh budak.


"Hesy! Kak Ina ni ke situ pula. Qis tak fikir sampai ke situlah. Umur Qis ni baru tujuh belas tahun. Dalam otak ni tak fikir bab kahwin ke, bab anak ke, tau tak?" Sedikit tegas suara aku. Maklumlah, isu sensitif bagi remaja seperti aku ni.


"Hek eleh... Perasan tujuh belas tahun lagi. Kamu tahun ni dah meningkat satu tahunlah," tempelak Kak Ina. Sajalah tu nak suruh aku rasa tua.


"Ops, pembetulan. Bulan November ni baru cukup lapan belas tahun okey," balas aku.


"Ah, samalah tu. Kira tahunlah senang, dik. Nanti tak payah kamu tu perasan muda sangat."


"Apa pula perasan muda? Memang orang ni muda apa?"


"Ikut kamulah, Qis. Kamu ni nak kerja sampai bulan berapa? Hujung tahun ni dah nak daftar ke UiTM."


"Alah kak, relakslah. Ni baru bulan Julai. Qis pelan nak berhenti bulan sebelas. Lepas tu bolehlah buat persiapan apa yang patut sebelum pergi belajar."


"Sukalah tu agaknya kerja kat situ."


"Hendak kata suka sangat-sangat tu taklah tapi bolehlah. Daripada Qis goyang kaki kat rumah, lebih baik kerja. Dapat duit dan pengalaman."


"Ini yang paling bagus pasal adik akak ni. Rajin dan berdikari." Kak Ina ni buat hidung aku kembang saja.


"Hari tu lepas SPM, Qis dah tolong umi kat warung. Lepas keluar result, Qis ikut akak datang KL cari kerja. Kenapa Qis tak ambil form six saja?" soal Kak Ina apabila mengenangkan aku yang masih berpeluang untuk belajar di tingkatan enam.


"Qis tak minatlah form six," jawab aku dengan jujur. Aku sebenarnya memang tak minat untuk ambil STPM. Bagi aku, lebih baik aku ambil diploma daripada ambil STPM. Cuma bezanya, ambil diploma belajar di institut pengajian tinggi selama tiga tahun manakala STPM dua tahun sahaja dan perlu belajar di sekolah.


"Belajar ni mana boleh minat tak minat, dik. Nasib baik surat tawaran second intake dah dapat. Kalau tak, terpaksa kamu masuk tingkatan enam juga." Kak Ina memberikan nasihat buat aku, adik yang disayanginya ini.


"Qis ni bukan apa, kak. Dah jemu pakai baju putih dengan skirt blue black tu. Kalau pergi IPT, bebas berpakaian."

Dengan bersahaja aku memberi alasan. Alasan mengalahkan budak darjah satu.


Kak Ina mengerling tajam. Aku tersengih macam kerang busuk. Mungkin baginya tak masuk akal langsung alasan aku. Apa punya alasanlah...


"Huh! Tak relevannya alasan kamu. Form six kan pakai baju biru bukan baju putih lagi."


"Samalah tu, kak. Baju sekolah juga," balas aku selamba.


"Banyak songehnya dia ni," omel Kak Ina.

Oops! Suami Aku Bukan Duda - Uji NorizqiWhere stories live. Discover now