"DANISH rindu cikgu," kata Danish sebaik tiba di taska. Tangan aku diraihnya. Sopan Danish mengucup tanganku.
"Cikgu pun rindu Danish," balas aku lalu merangkul Danish ke dalam pelukan. "Rindu sangat. Rinduuu... Rinduuu... Rindu..." Aku menciumnya bertubi-tubi. Macamlah setahun tak jumpa padahal tak sampai pun seminggu.
"Kat bapa Danish ni tak rindu ke?" usik satu suara. Aku luku juga karang kepala si empunya suara tu.
Aku mengerling tajam Luqman Hakimi. Sungguh tidak malu kau, ya? Di depan Danish pun bilang rindu bagai. Kalau tak fikir sekarang ni di depan taska, mahu aku membentak dan mencaci. Tak kesahlah dia nak saman mulut ke apa... Aku jelak dengan duda, tahu tak?!
"Jeling papa orang, eh?" soal Danish sekilas. Aku tersentak. Alamak! Lama ke aku kerling bapa dia sampai budak kecik ni pun boleh perasan? Ini dah membuatkan pipi aku berbahang.
"Eh, taklah. Cikgu tengok pokok bunga di belakang papa Danish tu." Aku mencipta alasan yang aku kira logik untuk akal kecilnya. Tapi memang ada pokok pun di belakang Luqman
Hakimi. Pokok bunga kertas. Memuncung mulut aku menuju ke arah pokok bunga yang telah jadi subjek aku itu."Hahaha..." Terbahak-bahak si duda itu ketawa. Lucu sangat agaknya apabila dia aku gantikan dengan pokok bunga. Aku pun pelik bin ajaib kerana dia mudah ketawa dengan katakata aku. Sidang hadirin sekalian, adakah ia melucukan? Kalau lucu, silalah ketawa sama sebab aku terasa ingin mencekik lehernya.
"Huh!" Aku mendengus kasar. Aku layang wajah cemberut. "Jom Danish masuk taska." Aku mendukung Danish. Sengaja aku dukung sebab aku ingin cepat masuk ke taska. Malas aku hendak mengadap muka encik duda itu.
Luqman Hakimi memerhatikan aku masuk. Bibirnya masih dengan baki ketawa. Aku tidak mahu menoleh. Aku dilanda rasa geram tahap ketiga. Sesedap rasa sahaja dia gelakkan aku.
Entah apa-apa dia tu... Dia yang entah apa-apa atau aku yang tak tahu apa? Hesy! Aku ketuk dagu sendiri.
LUQMAN HAKIMI tersengih seorang di dalam pejabatnya. Wajah Qistina Airisa yang berona kemerahan tadi menjelma di matanya. Dia sendiri kurang mengerti mengapa dia begitu senang ketawa di depan gadis itu. Hatinya gembira tatkala dapat mengusik dan bercakap dengan gadis itu.
"Weh kawan, senyum seorang nampak?" tegur Farid. Luqman Hakimi berpaling ke arah Farid. "Masuk bilik aku main redah, ya. Aku panggil sekuriti baru tahu."
"Macam tak biasa," kata Farid yang sudah melabuhkan punggung ke atas kerusi di depan sahabatnya itu. Selamba sahaja dia bersandar dan menegangkan urat.
"Kau ni datang tak bagi tahu," ngomel Luqman Hakimi. Perasaan malu terbit jua dalam hatinya andai Farid nampak dia senyum seorang diri. Harap-harap tak dikatakan miring oleh Farid.
"Aku lalu area ni, sebab tu singgah pejabat kau, bro. Nak jenguk kawan baiklah katakan. Aku tengok mimik muka kau tadi macam ada something. Kau angau ke, Luq?"
"Angau? Apa benda angau tu? Ada nama spesifik lain tak?" Sengaja Luqman Hakimi bertanya. Buat kes 'buah keranji dalam perahu' gitu.
"Kalau dah sengih seorang, berkhayal... Tu orang panggil angaulah, bro."
"Ooo... Memang pun aku angau kepada budak lepas SPM." Dengan bersahaja Luqman Hakimi menuturkannya. Erk! Terlepas cakap ke memang sengaja nak cakap aku ni?
"Hahaha..." Terkekek-kekek Farid ketawa. Dia ingatkan temannya itu membuat lawak. Farid menekan-nekan perutnya."Pandai kau berlawak. Sakit perut aku."
"Aku seriuslah, Farid Badli!" Intonasi suara Luqman Hakimi meninggi. Tak senang pula dia diketawakan oleh sahabatnya. Tak normal ke andai dia jatuh hati dengan gadis muda?
YOU ARE READING
Oops! Suami Aku Bukan Duda - Uji Norizqi
RomanceOOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA ISBN No : 978-967-0657-12-7 JUMLAH MUKA SURAT : 590 BLURB :- Qistina Airisa.....Seorang gadis muda yang tahu berdikari. Dia memiliki rupa paras yang menawan namun dia adalah si jinak merpati. Sepadan dengan usia dia belum...