Oops! Suami Aku Bukan Duda - Bab 7

660 10 0
                                    

AKU menilik-nilik kad perniagaan yang kecil itu. Ternyata Encik Luqman Hakimi itu benar-benar ingin mengenali aku dengan lebih rapat. Pagi tadi dia sempat bertanyakan nombor telefon aku. Apabila aku berpura-pura tidak dengar, dia memberikan aku kad perniagaan itu. Siap pesan lagi suruh simpan nombor telefon dia kat dalam Contact aku. Adesss! Ini yang buat aku gatal kulit kepala ni. Tak apalah, buat apa aku kusutkan minda dengan kad yang tidak menyedut oksigen ni? Tumpuan aku kini beralih kepada Danish.
"Danish, sayang... Kenapa monyok ni?" soal aku kepada Danish. Aku lihat dia tidak riang seperti biasa. Selalunya dialah pencetus kemarahan Kak Azmah apabila sering mengacau Mia. Danish membatu. Tiada suara yang dituntaskan melalui ulas bibir kecilnya.
Aku menjamah dahinya. Mukanya yang putih sudah kemerahan. Macam udang kena bakar saja. Aku yakin Danish tidak sihat. Dia demam.

"Kak Azmah, Danish tak sihat ni," beritahu aku kepada Kak Azmah yang sedang membancuh susu. Kak Azmah ialah pekerja paling senior di taska itu. Dialah yang paling banyak mengajar aku meskipun dia bengis namun kadang-kadang dia melucukan.


Kak Azmah menghampiri Danish. Tangannya turut menjamah dahi dan tubuh Danish.
"Qis, telefon Encik Luqman. Cari nombor dia dalam buku rekod," arah Kak Azmah, tegas.
"Tak payah cari Kak Azmah sebab Qis dah ada ni..." balas aku seraya menunjukkan kad kecil itu.
Kak Azmah melihat sepintas sahaja kad milik Luqman Hakimi. Dia tidak berminat untuk mengusul mengenai kad itu pada saat kami dalam kecemasan. "Hah, apa lagi? Pergilah call
cepat. Takut melarat pula demam budak ni." Terkulat-kulat aku bangun mencapai telefon milik taska. Aku tekan satu persatu nombor telefon Luqman Hakimi seperti yang tertera di dalam kad itu. Aku sabar menanti panggilan bersahut.
"Apa? Danish demam? Tadi dia baik-baik saja. Macam mana boleh demam ni?" Gusar suara Luqman Hakimi sebaik aku memaklumkan tentang Danish. Jelas dia terkejut.
"Ya, tadi memang elok-elok saja Encik Luqman, tapi sekarang badannya panas. Saya harap Encik Luqman dapat datang dengan segera. Dia perlu ke klinik."
"Baik, saya datang segera." Dengan pantas dia meletakkan telefon. Mesti dia kalut untuk bergegas ke sini. Aku ke ruang dapur untuk membuat air asam jawa. Masa kecik-kecik dulu, umi selalu sapukan air itu ke atas dahi aku jika aku demam. Kata umi itu petua tradisional.
"Danish, cikgu lapkan dengan air ni dulu, ya. Sekejap lagi papa datang. Dia akan bawa anak comel cikgu ni pergi klinik," tutur aku sehabis lembut kepada Danish.
Danish diam sahaja namun dia tidak membantah. Barangkali dia tiada kudrat untuk bersuara. Aku mengelap dahi Danish dengan tuala kecil yang telah aku basahkan dengan air asam jawa. Tuala itu aku usap lembut sehingga ke ubun-ubunnya. Mengelus-elus rambutnya. Kemudian tubuh itu aku peluk. Meresap kasih aku kepadanya. Danish juga senang dengan belaian aku. Seketika kemudian, dia terlena. Andai haba panas di badannya boleh dipindahkan kepada aku, demi Allah aku rela menerimanya.
Entah kenapa hatiku berasa dekat dengan kanak-kanak comel ini. Di mata kecilnya ada sinar tapi sinar yang tidak berkilau. Serasa dalam mata itu tersembunyi sesuatu. Sepertinya dia tidak lengkap kasih sayang. Ah! Perasaan aku mungkin.
"DANISH.... DANISH... Danish..." panggil Luqman Hakimi yang sudah pun masuk ke dalam taska. Cepatnya dia sampai. Naik flight apa dia ni? Tak pun kereta dia boleh buka sayap. Dia terpanar melihat aku yang sedang meriba Danish. Aku tidak faham akan pandangan matanya itu. Aku tidak mempunyai sebarang kuasa magis untuk mentafsir makna panahan mata itu.
"Cikgu ikut saya hantar Danish ke klinik, boleh?" pintanya kepada aku penuh harapan. Aku mengerutkan dahi. "Kenapa saya perlu ikut?" Dalam hati aku sebenarnya nak cakap, saya tak boleh ikut.
"Cikgu tolong pangku Danish dalam kereta nanti." Aku serba salah. Jantung aku pula berdegup tatkala dia mengangkat Danish dari ribaan aku. Dia ni kan, tunggulah aku letak Danish kat bawah dulu. Ambil kesempatan betul. Tak pasal-pasal ternoda paha aku ni. Kalau tak ingatkan anak dia demam memang aku marah. Sarang tebuan jangan dijolok. Ramai juga yang jadi arwah kerana disengat dek binatang tu.
"Pergilah, Qis," kata Kak Azmah kepada aku yang sudah bertukar menjadi patung. Patunglah sangat. Patung yang boleh bercakap dalam hati.
Lambat-lambat aku mengekori Luqman Hakimi ke arah keretanya. Aku masih buntu sama ada perlu mengikutnya atau tidak. Kereta mewah itu aku pandang sepi. Seumur hidup aku, kereta itu hanya mampu aku lihatnya di TV. Di kampung aku mana ada orang yang berkereta BMW lima siri tu.
"Cikgu, masuklah. Cikgu duduk belakang dengan Danish pun tak apa," pelawanya, mesra. Mungkin dia dapat baca riak serba salah di wajahku. Aku memandang Luqman Hakimi. Lama. Gulp! Aku menelan liur yang terasa pahit. Aku menghenyakkan jua punggung ke dalam kereta mewah itu dengan memangku kepala Danish. Aku jadi tidak menentu sehingga lidahku kelu. Perasaan apa sebenarnya ni? Aneh... Suasana hening menyelubungi kami sehingga tiba ke destinasi. Tiada sebarang suara yang keluar dari mulut kami. Aku mengikut sahaja langkahnya untuk masuk ke Klinik Fattah. Mujur klinik ketika ini lengang memandangkan hari ini hari bekerja. Selepas mendaftar, Luqman Hakimi terus membawa Danish masuk ke bilik doktor untuk diperiksa manakala aku hanya duduk di ruang menunggu. Aku rasa serba tak kena saat pembantu klinik itu memandang aku. Mesti dia pelik aku selaku seorang ibu tidak masuk bersama suami dan anak. Ah! Lantaklah! Takkan aku bagi tahu dia yang aku hanya pekerja taska? Lainlah kalau dia tanya. Buat bodoh sudahlah, Qis.
Selepas sepuluh minit kemudian, mereka keluar dari bilik doktor.
"Cikgu tengokkan Danish, saya hendak ambil ubat di kaunter."
Aku meraih Danish ke atas ribaan. Menggosok-gosok kepalanya. Dalam hati berdoa moga dia cepat sembuh. Sejurus selesai mengambil ubat, kami bertiga kembali ke perut kereta. Kami bertiga duduk dalam posisi tadi. Sebelum Luqman Hakimi memulakan pemanduan, aku bertanyakan keadaan Danish kepadanya.
"Doktor cakap apa pasal Danish tadi?"
"Danish demam biasa sahaja. Nasib baik cepat bawa ke klinik, jadi tidaklah melarat nanti. Jika makan ubat mengikut aturan, insya-Allah cepat baik."
"Alhamdulillah. Lega saya. Bimbang juga kalau Danish demam teruk. Yalah, zaman sekarang ni macam-macam penyakit. Kanak-kanak ni antibodinya lemah."
"Terima kasih sebab tadi lapkan kepala Danish dengan air asam tu. Ingat orang muda macam cikgu tak tahu petua orang-orang lama," tutur Luqman Hakimi yang sudah menekan pedal minyak.
Aku mencemik. Tolonglah! Pandang aku sebelah mata ke dia ni? Kalau aku tak tahu petua orang lama sekalipun, pak cik Google ada. Pak cik tu setia dengan aku, tau tak? Tanya saja dia tak lokek memberi jawapan janji Internet tu aku bayar.
Aku nampak dia tengok cermin pandang belakang. Curi tengok akulah tu. "Saya hantar cikgu balik ke taska dulu. Danish saya akan bawa pulang ke rumah."
"Okey," balas aku sepatah. Kemudian kereta terus meluncur membelah jalan dan aku tidak berminat untuk melarutkan perbualan dengannya.
"Kenapa cikgu macam tak suka saya?" Soalan apa pula dia ni? Patutnya ucaplah terima kasih sebab aku temankan dia ke klinik. Tapi, tanya soalan yang aku tak suka. Mahu bernanah telinga mendengarnya. "Bukan tak suka. Saya cuma tidak selesa."
"Sebab saya ni beza belasan tahun dengan Qistina?" soalnya dengan melirik ke arah aku. Qistina? Dia panggil aku dengan nama pula? Mana hilang panggilan cikgu tu?
"Saya tahu kita banyak beza dari segi usia tapi ramai pasangan di luar sana yang suaminya lebih tua."
Ades! Cakap pasal pasanganlah pula. Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini. Aku tidak mahu digoda oleh suami orang.
"Danish sukakan cikgu dan saya sendiri tidak ada masalah untuk itu."
Aduh! Apa maksud dia ni? "Cukup. Cukup, Encik Luqman," potongku. "Saya rasa encik ni dah salah tempat."
"Salah tempat? Jalan ni betul untuk ke Taska Mithali."
"Ooo... Tak apalah kalau betul. Ingat dah salah jalan tadi." Fuh! Selamat aku. Dia salah faham dengan istilah salah tempat tu. Jadi, kiasan daripadanya tadi berjaya aku sekat. Harap-harap dia tak berani untuk sambung. "Kita dah sampai. Terima kasih Qistina sebab sudi teman saya," ujar Luqman Hakimi sebaik tayar kereta mewahnya berhenti di depan Taska Mithali. Nampaknya, dia sudah mula membiasakan mulutnya untuk memanggil aku dengan nama. Tapi aku pula yang janggal apabila dia sebut nama aku. Aduhai...
"Sama-sama," balas aku sambil melemparkan senyuman tidak ikhlas semasa turun dari keretanya. Aku nampak dia senyum juga. Senyuman dia memang menawan tapi aku sama sekali tidak akan tertawan. "KAK INA, boleh tak Qis tanya satu soalan?" soal aku kepada Kak Ina dengan ragu-ragu. Soalan yang bakal aku tanya itu sebenarnya sudah lama berlegar-legar dalam minda aku. Jadi, malam ini aku nekad untuk bertanya. Penting untuk aku tahu tentang itu.
"Tanya sajalah, Qis. Apa dia?" tanya Kak Ina sambil tangannya ligat melipat kain. Kain yang sudah menimbun satu raga. Biasalah, bab kain ni kalau nak lipat hari-hari memang malas. Menggunung jadinya apabila dikumpul.
"Kenapa Kak Ina tak minta cerai saja daripada Abang Zaman?" Menanti reaksi Kak Ina, resah aku dibuatnya. Teragak-agak aku menarik sehelai kain batik lalu cuba melipatnya.

Terbuntang mata Kak Ina. Ada perubahan pada wajah bujur sirihnya. Mungkin dia tidak menyangka yang soalan itu akan aku usulkan. Dalam usia belum cukup dewasa, tidak pantas aku bertanya begitu. Lagipun bergegar tiang Arasy nanti jika isteri minta diceraikan.

Aku rasa bersalah. "Maaf, Kak Ina. Qis tak bermaksud apa-apa. Qis cuma hendak tahu. Yalah, Abang Zaman pun dah ada isteri lain."
Kak Ina menghela nafas. "Qis, walaupun Abang Zaman telah berkahwin lain tapi itu tidak bermakna antara kami tiada lagi cinta. Kak Ina terima ketentuan takdir untuk hidup bermadu. Selagi Abang Zaman tak mensia-siakan kami anak beranak, tidak ada sebab untuk akak meminta cerai."

"Bagus Kak Ina ni. Ramai isteri tidak mahu dimadu. Mereka rela hidup sendirian daripada bermadu. Kak Ina tak rasa sakit hati ke?" Aku masih mengasak Kak Ina. Mentang-mentanglah dia kakak aku, selamba aje aku tanya soalan pedas. Kalau kakak orang lain mahu kecut perut aku nak menyibuk.

"Dulu masa mula-mula Abang Zaman cakap dia nak kahwin lagi, memang akak sakit hati. Akak menangis semahunya. Akak berniat untuk meminta cerai tapi lepas akak tenung wajah Azfan, hati akak jadi sejuk. Akak tak sanggup tengok dia hilang kasih sayang seorang bapa kerana sikap selfish kakak," terang Kak Ina sejujurnya.

"Habis sekarang, Kak Ina dah terima madu akak tu?"

"Ya, terima. Kami boleh berkawan tapi dengan syarat, akak tak nak tahu perihal rumah tangga mereka. Dengan mengelak daripada mengetahuinya, hati akak tidak terluka."

"Contoh macam malam ni, Abang Zaman balik rumah bini muda dia... Kak Ina tak sedih ke? Tak rasa sepi dan sunyi?" Aku lontarkan soalan cepumas.

"Macam yang kakak cakap tadi, awal-awal dulu terasalah. Now dah kalis, dik. Sekarang ni akak banyak muhasabah diri dan beribadat kepada Allah," jawab Kak Ina dengan tulus. Setenang air di kali.

Aku jatuh kagum dengan kakakku itu. Kagum dengan ketabahan dan kecekalan hidup bermadu. Bukan senang untuk menemui isteri seperti Kak Ina. Bagi pendapat aku, Kak Ina boleh cari lelaki lain kerana dia wanita berkerjaya. Dia bukannya tidak mempunyai rupa. Anak pun baru seorang. Namun bukan itu yang dikejar oleh kakak aku itu.

Semoga dia akan mendapat payung emas di syurga Allah kelak. Ayat 96 daripada Surah al-Nahl ada mengatakan, sebenarnya apa yang ada pada kamu akan hilang dan habis iaitu lenyap. Hanya apa yang ada di sisi Allah yang akan kekal. Sesungguhnya Kami membalas orang-orang yang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.

Ayat 39 hingga 41 daripada al-Najm pula menyatakan bahawa sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan balasan apa yang diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan kepadanya pada hari kiamat kelak. Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna.

Oops! Suami Aku Bukan Duda - Uji NorizqiWhere stories live. Discover now