Oops! Suami Aku Bukan Duda - Bab 6

661 8 0
                                    

"CIKGU..." Ada suara yang menunjal telinga aku. Aduh! Apa hal pula bapa Danish ni? Aku ingatkan dah balik. Dia ni nak apa lagi dari aku?
"Kenapa Encik Luqman tak balik lagi? Kan taska ni sudah tutup? Danish pun dah ada dalam kereta tu."
"Saya tunggu cikgu," jawabnya sebaris.
Tak ada kerja agaknya dia ni tunggu aku. Apakah faedah yang bakal diperolehinya dengan menunggu aku? Entah apa-apa dia ni...
"Buat apa tunggu saya? Saya memang dah nak balik ni!" soal aku lagi tapi dengan nada suara yang sedikit meninggi. Tak kiralah nak kata tak ada budi bahasa ke apa... Realitinya aku ni dah berangin satu badan dengan laki orang ni!
"Errr... Saya nak tolong hantarkan cikgu balik."
Kena penyakit Tibi apa dia ni? Tak pun penyakit miang keladi, makin tua makin menjadi. Entah angin ribut sebelah mana datang, tup-tup nak hantar aku balik. Kalau macam ni gaya boleh buat aku hilang kewarasan. Tahulah aku ni muda belia, anak dara dahi licin lagi tapi agak-agaklah. Silap orang ni...
"Boleh ke?" soalnya menagih kepastian. Gedik pula aku rasa Encik Luqman Hakimi ni.
"Terima kasih daun keladi, saya boleh balik sendiri." Hemmm... Okey tak pantun aku? Ha... Apa lagi, dipersilakan balas. Seronok juga kalau ada sesi berbalas pantun.
Pantun yang aku jual tidak dia beli sebaliknya dia galak ketawa. Spesies tidak pernah mendengar pantun ke dia ni? Kalau sudah tak reti nak beli pantun pun, tak payahlah gelak sakan. Bikin hati aku panas saja. Nasib baiklah semua pekerja Taska Mithali ni dah balik. Cuma aku saja yang terkial-kial dekat sini menunggu kakak aku datang ambil.
"Pandai awak berpantun. Maaf, saya tak reti hendak membalasnya." Sopannya ayat dia. Bapa Danish, oi... Kalau kau tu bukan laki orang, seribu pantun lebih hebat daripada ni pun aku boleh cipta. Tetapi disebabkan kau laki orang, aku jadi geli-geleman nak melayan kau.
"Excuse me. Saya pergi dulu. Kakak saya dah sampai tu." Dengan sepantas kilat aku membolos masuk ke dalam kereta Honda Civic milik Kak Ina. Dengan pandangan ekor mata, aku lihat Luqman Hakimi telah masuk ke perut BMWnya. "Siapa tu, Qis? Kenapa Qis berjalan ke sini macam nampak hantu?" tanya Kak Ina sambil matanya melihat BMW hitam yang telah melintasi kami.
"Bapa kepada pelajar taska inilah," beritahu aku kepada Kak Ina.
"Qis buat apa dengan dia tadi?" Kak Ina menyoal lagi sambil tangannya cekap memulas stereng kereta. Kami sedang melakonkan babak gadis sunti digoda suami orang untuk drama bersiri di TV1, Kak Ina. Hehehe... Apalah... Takkanlah jawapan tu kut. "Borak-borak kosong aje sambil tunggu akak datang."
"Qis jangan layan sangat tau. Dia tu mesti dah beristeri." Kak Ina memberi amaran.
Berdesing telinga aku. Belum apa-apa aku sudah mendapat amaran daripada kakak tercinta. Wahai kakak kesayanganku, sebelum dikau mengingatkan daku, adikmu ini telah pun memberi lampu merah untuk dirinya sendiri. Qistina Airisa ini tidak mungkin sama sekali akan menjadi perosak rumah tangga orang.
"Kak Ina, mana ada Qis layan dia. Qis tahulah dia laki orang. Dah dia tegur, Qis jawab lagipun anak dia tu manja dengan Qis."
"Ha, sedar diri tak apa. Kak Ina tak mahu dengar hal-hal pelik tau."
"Ya. Qis tahu dan Qis berjanji yang Qis tidak akan buat yang pelik-pelik."
"Apa yang pelik-pelik tu?" tanya Kak Ina sekadar menduga.
"Bercinta dengan suami orang," jawab aku pantas. "Bijak-bijak." Kak Ina angkat ibu jari. Aku tersenyum nipis. Kak Ina... Kak Ina... Sepatutnya dulu dia bagi amaran kat madu dia jangan berbual dengan Abang Zaman. Hesy! Macam mana nak bagi amaran... Kenal pun tidak bakal madu, tup-tup abang ipar aku tu cakap mahu beristeri lagi. Kalau aku duduk di tempat Kak Ina, melayang periuk belanga gamaknya sebelum turunkan tandatangan. Kak Ina, oh Kak Ina... Adikmu ini mengerti yang madu itu manis hanya buat Abang Zaman tapi pahit bagi akak. Walaupun bukan adik yang minum tapi adik dapat merasakannya. Alahai... Jiwang pula aku.
SEKEJAP AKU mengiring ke kanan, sekejap aku mengiring ke kiri. Payah pula mata aku malam ni untuk dikatup. Masa aku membaca novel tadi, bukan main lagi mulut aku menguap tapi apabila dah rebah badan di atas katil ni, mata pula yang culas. Malam ni giliran Abang Zaman balik rumah Kak Ina. Lepas makan malam tadi, aku terus masuk ke bilik. Aku memerap di dalam bilik ini sambil menelaah novel yang aku beli minggu lepas. Aku sengaja tak mahu kacau daun. Biarlah mereka berdua tengok TV sama-sama. Nanti kalau aku ada sekali, segan pula dia orang berdua hendak bergurau senda. Dahlah Abang Zaman tu kena gilir-gilir rumah. Aku bukan apa, risau takut Kak Ina ketandusan kasih sayang. Pandai-pandai aje aku ni, kan? Kak Ina tidak pernah pun mengeluh begitu tapi aku yang buat spekulasi. Otak remajalah katakan. Rasa nak telefon umi pula. Jam pun baru pukul sepuluh tiga puluh malam. Biasanya umi belum tidur waktu ini. Masa tidur umi adalah tepat jam sebelas malam. Aku mencapai telefon bimbit paling tidak canggih aku. Telefon bimbit ni kalau zaman sekarang, langsung orang tak pandang. Orang buat baling anjing agaknya. Namun aku dengan bangganya tidak kesah, janji aku dapat menghantar pesanan ringkas dan dapat menelefon orang. Padanlah dengan taraf aku budak baru habis SPM.
Cer teka jenis telefon aku? Versi lama punya telefon. Telefon ni milik arwah abah. Nasib baik masih boleh guna. Umi suruh aku pakai untuk sementara waktu katanya. Telefon ni walaupun versi lama tapi jenis yang paling kukuh. Telefon apa lagi, Nokia 3310 la jawapannya. Kalau kat taska mahu tebal tiga inci muka aku saat nada dering polifonik itu berbunyi.
Aku mendail nombor umi. Tidak sampai lima belas saat, panggilan aku sudah dijawab oleh umi.
"Assalamualaikum, umi." Salam terus kuhulur buat umi tercinta.
"Waalaikumussalam. Tak tidur lagi, Qis?" tanya umi kesayanganku.
"Belum lagi, umi. Anak umi ni sedang merindui umi..."
"Umi pun rindu Qis," balas umi. Kalau di depan aku ni, mesti dia akan cakap, alolo anak umi yang cute ni... Kesiannya rindu umi. Pasti pipi aku akan diusapnya.
"Kerja kat taska macam mana?"
"Okey je, umi. Yang tak okey tu sebab ada laki orang usyar Qis."
Erk! Cik mulut kenapa kau tersasul? Kut ya pun nak mengadu, tapis dahulu. Pap! Aku tepuk dahi sendiri tapi perlahan saja.
"Apa Qis cakap? Ada laki orang mengurat?" soal umi. Suaranya sudah gelabah.
"Eh, tak. Bukan. Silap cakap. Qis baca novel sambil telefon umi ni. Yang tadi tu dialog dalam novel. Yang Qis tengah cakap nilah yang betul." Alasan itu akhirnya terpacul dari bibir aku. Menipu sunat kat umi. Pasti umi percaya punyalah. Kalau dia di depan aku lainlah. Tentu dia akan nampak aku tidak membaca novel sambil menelefon. Novel itu bukan berada di tangan aku pun tetapi nun di atas meja sana.
"Kamu ni, Qis... Ada-ada saja. Kamu ni nak bercakap dengan umi ke nak baca novel?" tempelak umi. Aduhai, umi... Dengan novel pun nak sensitif. Janganlah dibandingkan novel
dengan dirimu.
"Alah, umi ni. Mestilah Qis nak cakap dengan umi. Okey, sekarang Qis tutup novel." Menipu lagi. Menipu pasal tutup novel saja tau, bukan tipu berpura-pura cakap dengan umi.
"Ina dengan Azfan dah tidur ke?" Perihal cucu dan anak sulungnya ditanya.
"Azfan dah tidur. Kak Ina tengah tengok TV dengan Abang Zaman."
"Kenapa Qis tak tidur lagi? Esok pagi kan nak bangun awal..." kata umi berupa nasihat.
"Qis memang nak tidur dah ni. Saja nak dengar suara umi dulu. Lepas dengar suara umi, tentu Qis dapat mimpi indah."
Aku dengar umi ketawa kecil di corong telefon. Umi sedang gembira dengan luahan anak bongsunya ini. "Yalah tu. Pandai bodek umi."
"Bukan bodek umi tapi kenyataan," tekan aku bersungguh.
"Umi percaya. Nanti sebelum tidur ambil wuduk dulu. Baca doa tidur baru tidur kita tidak diganggu."
"Baik, umi. Selamat malam, umi."
"Selamat malam," balas umi sebelum menamatkan talian.
Aku meletakkan telefon bimbit di bawah bantal sebelum aku bingkas untuk mengambil wuduk. Aku akan sentiasa mendengar nasihat umi. Meletakkan telefon di bawah bantal tu memang tabiat aku. Aku kunci alarm telefon tu setinggi-tinggi volume dan aku akan meletakkan telefon bimbit murah itu di bawah bantal. Cara itu berjaya membuatkan aku bangun pagi. Getarannya kuat bergema meskipun berada di bawah bantal. Senang, aku tidak perlu beli jam loceng, bukan.
Rasulullah SAW bersabda, barang siapa tidur pada malam hari... dalam keadaan suci yakni berwuduk, maka malaikat akan tetap mengikutinya. Lalu ketika ia bangun, nescaya malaikat itu akan berucap, Ya Allah ampunilah hamba- Mu si polan ini kerana ia tidur pada malam hari dalam keadaan yang selalu suci.
Tiga kelebihan berwuduk sebelum tidur adalah ia dapat menenangkan otot-otot kita sebelum kita berehat. Dengan berwuduk juga ia boleh mencerahkan kulit wajah dan kita akan sentiasa didoakan oleh malaikat. Jadi kita tidak mudah mendapat mimpi buruk kerana malaikat telah memohon perlindungan untuk kita.

Oops! Suami Aku Bukan Duda - Uji NorizqiWhere stories live. Discover now