Part 1

120 2 0
                                    

BERKOCAK air telaga digegar timba aluminium. Air yang dicedok, dicurahkan ke dalam baldi. Sesudah itu Bella menghempaskan punggungnya ke atas bangku plastik pendek dan mula memberus kain. Buih-buih sabun yang terpercik ke muka, dibiarkan melekat sehingga hilang diresapi udara. Asyik sangat diulit angan-angan. Mimpi di siang hari yang entah bila akan menjadi kenyataan.

Runtunan hati Bella ada satu sahaja. Dia ingin keluar dari kampung itu. Tidak mahu lagi hidup susah, merempat menumpang teduh di rumah buruk yang dahulunya sebuah bangsal.

"Assalamualaikum..."

Kepala Bella terangkat. Tangannya berhenti memberus. Pendengarannya ditajamkan.

"Mak Som... ohhh... Mak Som! Ada orang tak ni?"

Memang ada orang yang memberi salam tetapi tidak disahut oleh emak Bella.

'Isy, mak ni pergi mana?' Fikir Bella.

"Assalamualaikum..."

"Wa'alaikumussalam!" Bella menyahut sambil membilas tangan yang bersabun dengan air. Segera dia bangun untuk melihat siapa yang datang.

"Wa'alaikumussalam!" Suara Mak Som menyusul selepas Bella menjawab.

"Ah, ada pun emak!" omel Bella. Buat susah dia bangun sahaja tadi. Leceh kena bangun semasa tengah sibuk buat kerja.

Bella duduk semula, menyambung kerjanya. Siapa yang datang, tidak dihiraukan. Dia kembali 'menghilangkan diri' dalam fantasinya.

Di hadapan, Mak Som menjenguk melalui tingkap. Merekah senyuman bila melihat satu-satunya anak saudara yang tidak malu menjenguknya yang miskin dan hina itu, berdiri di luar rumah. Darah dagingnya yang lain tidak pernah sudi. Takut sangat kemiskinannya berjangkit pada mereka.

"Rosni..." Suara Mak Som mengekorinya ke pintu. Daun pintu dikuaknya. "Masuklah. Sorang je ke?" Mata Mak Som meninjau ke dalam kereta mewah Rosni yang tidak berorang. Bibirnya tersenyum walaupun hatinya kecewa. Kakaknya pun tidak sudi datang ke bangsal buruk itu. Malu orang tahu mereka bersaudara.

"A ah. Sorang je. Sihat ke, Mak Som?" Rosni mencium tangan ibu saudaranya.

"Alhamdulillah. Sihat. Panjang umur kau, Rosni. Semalam baru Mak Som bersembang pasal kau dengan Nabilah."

"Mana Bella?"

"Ada dia kat telaga. Tengah basuh kain." Mata Mak Som menggerenyet. Pantas dia melarikan muka dan memuncungkan mulut ke arah dapur. Sudah lama Rosni memanggil Bella dengan nama timangan itu tetapi Mak Som masih belum dapat menerimanya. Dia tidak suka. Bukan nama Melayu. Lagipun, apa maksud nama Bella? Kalau Nabilah tu dia tahulah. Yang baik. Yang berhati mulia.

"Dah habis SPM kan dia?"

"A ah. Dah sudah. Nak kerja katanya. Tapi kamu tahulah... kat kampung ni mana ada kerja sangat." Mak Som mengeluh. "Duduklah."

"Mak Som. Nah!" Rosni menghulurkan sampul surat yang diambil dari dalam beg tangannya.

"Ish, kamu ni, Rosni..." Mak Som tidak jadi melabuhkan punggung, "malu Mak Som."

Rosni tersenyum melihat pipi Mak Som memerah. Miskin bermaruah, memang malu menerima huluran daripada orang lain.

"Apa gunanya ada duit kalau tak boleh tolong darah daging sendiri, Mak Som..." balas Rosni dengan ayat yang setiap bulan dilafazkan untuk menyedapkan hati ibu saudaranya.

Mak Som terharu. Rosni dipeluknya dengan erat. Sejak suaminya meninggal dunia, Rosnilah yang menjadi talian hayatnya. Setiap bulan Rosni tidak pernah lupa menghulurkan duit belanja. Dengan duit itulah Mak Som menyekolahkan tiga anaknya, Nabilah, Ruzi dan Nizam, dan memperbaiki bangsal buruk itu menjadi rumah untuk mereka empat beranak.

LELAKI YANG MENCINTAIKUWhere stories live. Discover now