Part 4

63 1 0
                                    

"BALIK dah perempuan gila tu?"

"Tok tak pernah ajar kau cakap macam ni, Zakuan!" tegur Mak Odah. Cemberut wajahnya dengan kekurangan adab cucunya itu. Dua-dua kurang ajar. Datin Maiya kurang ajar, Zakuan pun sama naik. Bagaimana Zakuan boleh jadi begitu, masih menjadi persoalan dalam benak fikiran Mak Odah. Dia yang menjadi acuan Zakuan, bukan Datin Maiya.

"Balik dah mak datin kesayangan tok tu?" ulang Zakuan dengan suara bernada sarkastik. Senyuman sinis dipamerkan, menampakkan gigi yang tidak teratur dan kuning.

"Nah! Simpan ni dalam bank." Mak Odah enggan memanjangkan provokasi Zakuan. Dia menyerahkan sampul surat berisi duit yang diberikan oleh Datin Maiya tadi kepada anak muda itu. Tetapi separuh sahaja yang diserahkan kepada Zakuan untuk disimpan. Yang separuh lagi, disoroknya untuk kegunaan bila terdesak. Disorok daripada pengetahuan Zakuan.

"Simpan buat apa? Orang bagi, kita perabihkanlah!" ujar Zakuan, mengira duit di dalam sampul itu sambil menjilat bibir.

"Simpan untuk masa depan kau. Bila aku mati nanti, ada jugak duit kau nak sara diri. Jangan ingat kau boleh duduk kat sini lepas aku dah mati. Tengah aku hidup ni pun orang dah berebut rumah dan tanah aku ni," pesan Mak Odah.

"Tukar ajelah nama atas geran tu dengan nama aku. Takde siapa boleh challenge."

"Pandai pulak kau bercakap pasal geran. Belajar malas!"

"Tok kena rajin keluar. Jangan jadi katak di bawah tempurung. Dengar apa orang cakap. Belajar, baru berjalan otak tu," balas Zakuan. Nasihat Mak Odah semasa dia berusia belasan tahun dahulu, dipulangkannya semula kepada neneknya. "Bila tok nak tukar nama kat geran tu?"

"Sampai mati pun aku takkan tukar nama aku ke nama kau!" jawab Mak Odah.

Kelakuan Zakuan diperhatikannya. Ingin sahaja dia merampas semula sampul surat berisi duit itu daripada tangan cucunya itu tetapi dia takut anak muda itu akan memukulnya.

"Simpan duit tu, Zakuan!" ulang Mak Odah.

Zakuan memasukkan sampul surat itu ke dalam poket seluarnya. "Dah!"

Mak Odah hanya mampu mengetap bibir.

ROSNI menyalutkan badannya dengan robe satin berwarna coklat bersempadan ungu. Melangkah ke dapur untuk mengambil segelas minuman yang diminta oleh Mohaideen, matanya melirik ke arah beg pakaian Bella yang terbuka. Seingatnya, beg pakaian itu tertutup rapat sewaktu Bella keluar dari rumah tadi. Segera dipandang pintu kondo yang terkatup. Hatinya berdebar. Bella dengarkah apa yang berlaku di dalam bilik tidurnya tadi?

Air muka Rosni berubah menjadi serius. Sambil menuangkan air lemon sejuk ke dalam gelas, fikiran Rosni mencari alasan untuk diberikan kepada Bella, sekiranya sepupunya bertanya.

"I rasa Bella masuk balik masa kita tengah make love," adu Rosni kepada Mohaideen.

"You nak takut apa? Kita dah suami isteri," balas Mohaideen sambil menyandarkan badan pada kepala katil. Gelas berisi air lemon sejuk, dibawa ke mulut. Dihirup sehingga separuh gelas.

"Betul! Tapi orang lain tak tahu." Saat mereka diijabkabulkan kembali bermain di minda Rosni. "I kena slow talk dengan dia. I tak nak dia cakap dengan mak dia." Rosni mengeluh kuat. "I'm sorry I tak bincang dengan you dulu sebelum bawak dia balik ke sini. I kesian tengok dia, you. Orangnya cantik tapi miskin. Susah orang macam dia nak cari kerja kat kampung, so I bawak dia ke sini."

"Berpada-pada kasihankan orang. Jangan sampai menyusahkan diri," nasihat Mohaideen. Dia tidak suka Rosni membawa sesiapa ke situ. Menyusahkannya hendak keluar masuk ke kondo itu.

LELAKI YANG MENCINTAIKUWhere stories live. Discover now