Part 7

76 1 0
                                    

"YANG warna merah ni untuk air panas, yang ni untuk air sejuk. Bella buka yang untuk air sejuk ni dulu, lepas tu pelan-pelan buka air panas. Kalau buka air panas dulu, nanti melecur pulak kulit Bella," pesan Rosni. "Sebelum masuk bawah air, rasa dulu airnya dengan tangan. Kalau suhunya sesuai, baru boleh mandi. Ha... cer rasa." Rosni menarik tangan Bella ke bawah air pancuran yang sedang mencurah.

Membulat pipi Bella ditolak sudut bibirnya, tidak menyangka merasa juga dia mandi air suam. Selalunya dia mandi air telaga yang hanya ada satu suhu sahaja. Dingin macam ais batu, sejuk menikam sampai ke tulang hitam.

"Panas ke okey?" soal Rosni.

"Okey." Bella berlagak tenang padahal jantungnya berdegup kencang.

"Masa nak tutup nanti, tutup air panas dulu, baru tutup yang sejuk. Same reason. Takut melecur," pesan Rosni lagi sebelum keluar dari bilik air itu.

Bella menyangkutkan tuala. Pandang keliling mencari kain basahan tetapi tidak ada. Hendak mandi macam mana? Mandi pakai tualakah? Pakai baju? Atau...

Segera Bella ke pintu. "Kak Ros! Kain basah ada tak?"

"Bogel aje, Bella. Bukan ada siapa nampak!" balas Rosni.

Telan liur Bella dibuatnya. Dia menarik semula daun pintu bilik air yang dibukanya tadi. Dengan perasaan malu, Bella menanggalkan pakaiannya sehingga tidak ada satu pun yang membaluti tubuh badannya lagi. Tangannya pantas menutup bahagian dada dan bahagian pada pangkal pahanya yang terdedah. Malu pada siapa entah.

Pelan-pelan Bella berdiri di bawah air pancuran. Ah, lega tubuh badannya bila air suam itu membasuh keringat yang melemaskan liang-liang romanya. Hilang kelesuan yang mengulit tubuhnya sejak dari tadi.

Kepalanya didongakkan. Mata pejam. Menikmati kesegaran luar biasa air suam yang menghunjam ke tubuh badannya. Bila matanya dibuka semula, Bella melihat tempat mandi yang bersempadankan kaca itu dipenuhi kabus persis awan. Kaca kubikal itu juga bersalut wap. Terukir senyuman Bella melihat kabus yang berlegar-legar di sekelilingnya. Terasa dirinya seorang bidadari yang berada di awang-awangan.

Selepas puas mandi, Bella membalut tubuhnya dengan tuala dan mengambil wuduk. Keluar dari bilik air, dia terkejut melihat Rosni sedang menelentang di atas katilnya. Mata sepupunya tegak merenung siling.

"Nanti Kak Ros suruh orang datang cat siling bilik Bella ni. Boringlah kaler ni," kata Rosni.

Bella mendongak. Siling berwarna putih itu dipandangnya. Buat apa ditukar? Kalau bubuh warna lain pun, rasanya dia takkan perasan. Bukannya dia berjalan dengan kepala mendongak. Semasa berbaring sahaja mungkin dia akan pandang ke siling. Itu pun untuk beberapa saat sebab matanya mudah tidur. Letak sahaja kepala di atas bantal, dia terus terlena.

"Kiblat arah mana, Kak Ros?" Mata Bella melilau mencari sejadah. Telekung dia ada bawa.

"Bentang straight aje, Bella. Ikut line katil ni." Rosni mendudukkan diri.

"Pinjam sejadah, Kak Ros." Hendak bentang apa kalau tidak ada sejadah!

"Sejadah?" Rosni turun dari katil. Dia membuka almari besar di dalam bilik itu. Berharap sangat sejadah lama yang dibawanya dari kampung masih ada tersimpan di dalam almari itu. Sayangnya, sejadah itu entah ke mana perginya. Jangan-jangan sudah dibuang!

"Sejadah semua basuhlah, Bella. Guna tuala ni dulu. Esok, akak bagi Bella sejadah."

Bella membentangkan tuala bersih yang disambutnya daripada Rosni tadi, selari dengan katil. Dia solat. Rosni memerhati tanpa perasaan dari atas bangku meja solek. Sudah lama dia meninggalkan perintah Allah yang satu itu. Nantilah. Bila dia tua nanti, dia solatlah semula.

LELAKI YANG MENCINTAIKUWhere stories live. Discover now