Part 3

53 2 0
                                    

"DAH banyak kali aku bagi tahu kau supaya berhati-hati. Dah banyak kali aku bangkitkan hal ni. Seperti biasa, di depan aku kau angguk-angguk kepala kau tapi di belakang aku, kau buat benda lain!" Mohaideen mengangkat kelopak matanya, merenung penuh kekesalan ke arah Dato' Khair yang berdiri menghadap tingkap.

"Aku dinasihatkan supaya memastikan musuh aku sentiasa berada dalam lingkungan aku," balas Dato' Khair dengan perlahan. Kepalanya ditelengkan ke bahu, seolah-olah memandang ke arah Mohaideen tetapi mata menekur lantai. Suaranya layu. Sudah hilang keyakinan seperti dirinya yang tidak tergamak lagi hendak memandang ke arah sahabat yang jarang dihargai nasihatnya.

"Mujur bukan aku yang bagi nasihat bodoh tu pada kau!" Mohaideen berdiri kasar, menolak bangku yang didudukinya ke belakang. Bunyi seret lantai bersagat dengan tapak kaki bangku menyakitkan telinga. Dia ke meja dinding, menuang minuman ke dalam gelas. Kepalanya menggeleng kesal. "You should know better, Khair! Orang yang menasihatkan kau tu sengaja nak jatuhkan kau!"

"Dia kawan aku."

"And I'm not!" Tajam Mohaideen membalas.

Dato' Khair terdiam.

"Terang-terang kawan kau tu sengaja nak menjatuhkan kau tapi semangat setiakawan buat kau buta! Cuba kau sebut satu nasihat dia yang boleh dipakai. There's none!" Mohaideen menyerang Dato' Khair dengan keras. Sudah terlalu penat menasihati Dato' Khair yang dirasakan bodoh. "Bila aku nasihatkan kau, kau dengar. Jangan bila dah timbul masalah macam ni, baru terhegeh-hegeh datang mencari aku!"

Pintu kondo itu terbuka, membuatkan kedua-dua lelaki itu berpaling ke arahnya. Melihat Rosni balik, Dato' Khair meminta diri.

"Dato' Khair," sapa Rosni semasa lelaki itu berselisih dengannya dan Bella.

"Cik Rosni." Dato' Khair menundukkan kepala tanda hormat. Matanya sempat singgah di wajah Bella. Terpukau dengan keayuan Bella, terutamanya pada mata Bella yang biru bak laut yang dalam.

"Khair!" panggil Mohaideen sewaktu Dato' Khair membuka pintu hendak keluar.

Segera Dato' Khair berpaling.

"Remember what I said!" Mohaideen memberikan renungan tajamnya. Jika nasihatnya tidak diendahkan lagi, dia tidak teragak-agak mengeluarkan Dato' Khair dari lingkungan sahabatnya. Buat apa simpan orang yang tidak menghargainya.

Dato' Khair mengangguk dan melangkah keluar. Semasa menutup pintu, dia sempat menoleh sekali lagi ke arah Bella yang kebetulan sedang memandang ke arahnya. Gadis itu terus memalingkan kepala.

"Kata balik malam." Mohaideen bersuara sesudah Dato' Khair meninggalkan mereka.

"Nak elak jam." Rosni menjeling Mohaideen. Tidak puas hati kerana lelaki itu berada di situ di siang hari.

"Ni siapa?" Mata Mohaideen tertancap pada wajah hijau Bella. Serba salah Bella ditenung begitu.

"Bella. Sepupu yang I ceritakan kat you semalam."

Air muka Mohaideen berubah kerana itulah kali pertama dia mengetahui tentang Bella.

"Dia baru habis SPM. Nak cari kerja. So, I pelawa dia tinggal di sini. I hope you don't mind." Sekali lagi Rosni menjeling Mohaideen.

"Keputusan dah dibuat. Nak mind apa lagi," balas Mohaideen, kurang senang kerana Rosni tidak berbincang dengannya terlebih dahulu. "For how long?" soal Mohaideen. Adanya Bella di situ, bakal merumitkan hidupnya.

"As long as she needs. Haris ada kat bawah?" Rosni mengubah topik. "Bella bawak pakaiannya aje. Barang-barang keperluannya takde."

"Ada di bawah," balas Mohaideen, pendek. Dia melangkah ke sofa, duduk di situ, menghidupkan televisyen.

LELAKI YANG MENCINTAIKUWhere stories live. Discover now