ZAKUAN bersiul-siul sambil bersiap. Lagu apa pun dia tidak tahu. Pakai belasah sahaja asalkan sedap di telinganya. Matanya tertancap pada balikan wajah sendiri di cermin.
"Boleh tahan handsome jugak muka aku ni." Dia memuji diri sendiri.
Mukanya dibelek sambil meneka dari mana asal usul wajahnya itu. Siapa lelaki dan perempuan yang telah beradu kasih sehingga terlahirnya dia ke dunia? Sebagai anak, dia teringin hendak tahu. Siapa nama mereka? Orangnya macam mana? Emaknya, cantikkah? Bapanya, tampankah? Apa jadi pada mereka sehingga mereka tergamak meninggalkannya dengan Mak Odah? Mungkinkah mereka sudah mati? Kemalangan jalan raya, barangkali. Atau dia anak haram yang dibuang merata-rata oleh ibunya, lalu dikutip oleh Mak Odah yang kasihan padanya.
Hati Zakuan tersentap. 'Sial punya emak! Siapa kau? Kalau berani, marilah berdepan dengan aku!'
Mak Odah tidak pernah bercerita tentang ibu bapa Zakuan. Ada sahaja alasan perempuan tua yang dipanggil tok itu, bila Zakuan bertanya. Akhirnya, Zakuan malas membangkitkan hal itu lagi. Menyemakkan fikirannya sahaja. Dia jadi letih bila persoalan tentang ibu bapanya timbul dalam minda. Jadi pemurung dan pemarah. Lebih baik dia melupakan mereka sebab mereka ternyata tidak pernah mengingatinya. Dia anak terbuang. Ibu bapanya tidak mahukannya, jadi adalah adil jika dia juga membuang mereka.
Siulannya kembali kedengaran, namun irama lagu sedih yang dimainkan. Hambar dan tidak bertenaga. Zakuan mengenakan uniform berwarna kelabu. Diselit hujung kemeja itu ke dalam pinggang seluar panjang yang dipakai. Warna seluar itu kelabu juga tetapi lebih kelam daripada warna bajunya.
Pintu almari usang dibuka. Sampul berisi duit yang diserahkan oleh Mak Odah siang tadi, diambil. Isinya dikira. Semerta mata Zakuan terangkat. Satu fikiran jahat melintas dalam kepalanya. Ternampak-nampak muka seorang lelaki tua di hadapan mata. Lelaki itu pandai 'menengok'. Dengan duit yang ada, dia boleh meminta lelaki itu tunjukkan padanya wajah ibu dan bapa biologikalnya.
Zakuan menyimpan sampul berisi duit itu ke dalam poket seluar panjang. Rambut disisir kemas, kemudian dia keluar dari bilik tidurnya dengan kepala yang sarat dengan agenda.
"Kau nak ke mana?" sergah Mak Odah.
"Mak aku setan!" Zakuan terperanjat sehingga terluah perasaan yang sedang bermain di fikiran.
Sepantas kilat dia merebahkan diri ke lantai lalu berguling sehingga jauh dari Mak Odah. Berhenti berguling, Zakuan melutut sambil mencabut pisau belati yang diikat pada betisnya. Pisau itu dihunus ke arah Mak Odah. Dada Zakuan turun naik dengan laju. Benar-benar terkejut dengan sergahan neneknya tadi.
"Kau nak mampus ke, orang tua?" Zakuan menyimpan semula pisau belatinya.
"Baju apa kau pakai ni? Kau nak ke mana malam-malam buta ni?" soal Mak Odah sekali lagi.
"Aku nak pergi kerja."
"Kau kerja apa? Ni uniform pengawal keselamatan ni. Kau buat apa pakai uniform ni?" Mak Odah menarik-narik lengan pendek uniform yang diseterika kemas.
"Selama ni tak pernah tanya ke mana aku pergi, kenapa malam ni sibuk nak tahu? Dah nak mati ke?" Zakuan menarik selak pintu rumah ke bawah. "Kunci pintu ni elok-elok. Masuk orang nanti, putus leher kau dia kelar!" Zakuan sengaja menakut-nakutkan neneknya. Menuruni anak tangga dengan laju sambil menggelakak.
Mak Odah memerhati dari pintu yang terbuka dengan dada mendidih. Matanya mengekori Zakuan yang memanjat ke atas pelana motosikal entah siapa. Dia mana ada motosikal. Harta pinjamankah atau harta curi, desis hati Mak Odah.
Enjin motosikal dihidupkan dan Zakuan meninggalkan pekarangan rumah itu dengan selamba. Mak Odah menarik nafas dengan dalam.
"Kau buat apa ni, Zakuan?" soal Mak Odah seraya menutup dan menyelak pintu rumah itu semula. Dia terlalu keliru dengan penampilan Zakuan malam itu. Betulkah Zakuan sudah bekerja? Jika benar, alhamdulillah.
Mak Odah masuk ke dalam bilik tidur Zakuan. Habis seluruh bilik itu digeledahnya dengan mata, tanpa mengetahui gerangan apa yang dicarinya. Namun, dia tidak menemui apa-apa yang mencurigakan. Tidak berani menyelongkar bilik cucunya itu, Mak Odah kembali ke bilik tidurnya. Tidak dapat lena dia malam itu memikirkan tentang Zakuan.
Di simpang tiga, Zakuan memberhentikan motosikal. Dengan kaki terkangkang menongkat tanah, dia mengenakan topi keledar. Polis rajin meronda pada waktu malam, jadi lebih elok dia mudahkan urusan sendiri. Jangan cari fasal.
Sebuah kereta masuk ke simpang itu. Kereta itu berhenti di sisi Zakuan. Cermin tingkapnya diturunkan.
"Zakuan! Kau nak ke mana malam-malam buta ni?" tegur Haji Rashid, ketua kampung itu.
"Allahuakbar! Tuk ketua ke." Zakuan bergegas turun dari motosikalnya untuk bersalam dengan Haji Rashid. "Hajah pun ada."
"Ada. Nenek kau sihat?" tanya Hajah Kalsom.
"Alhamdulillah. Sihat."
"Kau nak ke mana ni?" ulang Haji Rashid.
"Saya nak pergi kerja, tuk. Tuk ngan hajah pulak, dari mana malam-malam ni? Pergi dating ke?"
"Dating apa orang tua macam kami!" Haji Rashid ketawa, terhibur dengan usikan anak muda yang dianggapnya seorang yang sangat beradab dan baik hati. Di matanya Zakuan sangat rajin bekerja namun, nasib tidak menyebelahinya sehingga mendatangkan kasihan di hati Haji Rashid dan isterinya. "Ada ceramah kat bandar. Kau dapat kerja dah?"
"Alhamdulillah, tuk. Berkat doa tuk ketua, doa hajah dan doa Tuk Odah saya, Allah berikan saya rezeki. Dapat jadi jaga je kat bandar nun." Zakuan memuncungkan mulutnya.
"Jaga pun kerja mulia, Zakuan. Yang penting rezeki tu halal. Jangan lupa sujud syukur pulak kamu. Kita sebagai hamba, jangan berhenti bersyukur dengan nikmat yang Allah bagi," pesan Hajah Kalsom.
"Allahuakbar!" Serta-merta Zakuan merebahkan badannya lalu bersujud di tanah.
"Heh, Zakuan! Apa lurus bendul sangat kau ni?" tegur Haji Rashid. Terburai semula tawanya. "Bangun! Entah ada tahi lembu kat tanah tu, habis muka kau kotor nanti."
Zakuan berdiri semula, tersengih-sengih sambil membersihkan dahinya yang dikotori tanah.
"Jomlah, bang. Selagi kita tak berganjak, selagi tu budak Zakuan tu tercegat kat situ. Kesianlah dia. Dia nak pergi kerja tu," gesa Hajah Kalsom.
"Kami balik dulu, Zakuan. Kau buat kerja baik-baik. Biar kekal kerja kau kali ni."
Zakuan menadah tangannya. "Aaamiiin... moga masin mulut haji."
"Assalamualaikum." Haji Rashid menukar gear dan memandu masuk ke dalam kampung.
Zakuan melambaikan tangan. "Celaka punya orang tua. Buang masa aku je bersembang dengan kau. Dahlah aku lambat ni!"
Diamemanjat naik ke atas pelana motosikalnya. Enjin dihidupkan semula, lalu diamenunggang menuju ke bandar dengan perlahan sekali. Kepala ditolehkan ke arahjalan masuk ke kampungnya. Sebaik sahaja lampu kereta Haji Rashid tidakkelihatan lagi, Zakuan memusingkan motosikalnya dan memandu ke arahbertentangan. Membingit bunyi enjin motosikalnya bila hendal minyak dipulasdengan kuat.
YOU ARE READING
LELAKI YANG MENCINTAIKU
RomanceLahir dalam keluarga miskin tetapi Bella sangat cantik. Matanya biru. Orang Melayu, bukan mat salih. Emaknya berkenan mata siapa pun, Bella tidak tahu. Nekad untuk mengubah nasib diri, dia mengikut sepupunya ke Kuala Lumpur selepas tamat SPM. Terlal...