Part 2

64 2 0
                                    

"CAKAP dengan saya kenapa? Bagi tahu saya betul-betul!" Maiya menuntut jawapan.

"Kau nak aku jawab macam mana lagi?" herdik Hasan.

"Saya tak nak terima jawapan tu. Satu pun tak betul. Bagi saya jawapan yang sebenar. Awak nak bersorok-sorok lagi buat apa? Saya dah tahu semuanya!" Maiya berharap pendedahan itu akan membuatkan Hasan lumpuh. Sayang, dia tersalah baca.

"Kalau kau dah tahu, buat apa kau tanya lagi?" Hasan tersenyum sinis. Kerjanya sudah dipermudahkan oleh Maiya. Apa perlu dia berada di situ lagi!

"Saya nak dengar dari mulut awak sendiri! Cakap! Bagi tahu saya!" Suara Maiya mula garau. Sebak.

"Ah! Buang masa aku aje."

"Cakap!"

"Tepilah!" Hasan menolaknya.

"Aduh!" Maiya mengongoi di atas lantai.

"JANGAN risau, datin. Dia tak balik hari ni. Dia tahu datin nak datang."

Suara Mak Odah menyentak Datin Maiya dari lamunan, sekali gus melenyapkan kenangan lama yang bermain di mindanya seketika tadi. Mendengus sebelum menoleh ke arah Mak Odah yang sedang melangkah dengan tubuh teroleng-oleng. Wajah tulus bersih perempuan tua itu dijelingnya dengan tajam. Perasaan sayu dalam hatinya ditepis jauh.

"Siapa kata aku risau!" tingkah Datin Maiya dengan kasar. Wajahnya dikeraskan. "Tak kisah punlah!"

Dia sememangnya risau. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu bersemuka dengan lelaki itu. Kebenciannya masih belum berjaya dikikis habis. Kerana lelaki itu, dia hidup merempat. Bertahun dia merana sebelum dirinya diselamatkan oleh suaminya sekarang.

"Kaki tu sakit lagi ke?" Datin Maiya melontarkan soalan, sekali gus menukar topik perbualan yang melemaskannya.

"Sekejap elok, sekejap sakit balik," balas Mak Odah sambil mengurut lututnya yang sengal. Lutut tua. Lambat baiknya walaupun sudah enam bulan kejadian dia jatuh berlalu.

"Pergilah ke hospital. Yang degil sangat pasal apa?"

"Dah pergi, dah balik. Takde apa, takdelah doktor tahan kat wad." Mak Odah tersenyum. Dalam marah-marah, Datin Maiya masih mengambil berat. Dalam benci, Datin Maiya masih balik menjenguknya. "Tak payah risau. Urat je ni."

"Siapa yang risau!" Suara Datin Maiya hampir melengking, marah isi hatinya dapat ditebak. "Ada duit, belilah ubat. Buat apa dengan duit yang dapat tiap-tiap bulan tu? Tak payah simpanlah!"

"Simpan pun bukan untuk orang lain. Bila terdesak, ada duit dalam tangan," balas Mak Odah.

"Huh!" Datin Maiya merengus. Dia melurut-lurutkan seluar panjang yang dipakai sambil bangun. "Susah bercakap dengan orang tua degil!"

"Nak balik dah ke? Baru je sampai."

"Buat apa nak tunggu lama-lama kat sini?" Datin Maiya mengeluarkan sampul surat yang tebal. Dicampakkannya sampul surat itu ke atas bangku tempat dia duduk tadi. Beberapa keping duit not di dalamnya terkeluar sedikit. "Tak payah nak simpan-simpan. Orang bagi suruh belanja!"

Tanpa menunggu Mak Odah yang nampaknya tidak ada niat langsung hendak bangun, Datin Maiya melangkah keluar. Mendongkol hatinya kerana berada di rumah usang itu. Namun, sukar betul dia mengelak dari datang ke situ. Pernah dahulu dia menahan diri dari balik menjenguk Mak Odah. Tunggang-langgang jadi hidupnya. Terpaksa dia beralah dengan tekanan hati sendiri.

Hidupnya bermula di situ. Susah dia hendak melupakan. Sedangkan tempat jatuh pun orang kenang.

Memanjat masuk ke dalam kereta BMW 6 Series GT yang baru dibelinya dua minggu yang lalu, Datin Maiya menoleh ke arah pintu rumah Mak Odah yang terbuka luas. Tidak pula Mak Odah menjenguk untuk menghantarnya pulang. Apalah yang hendak diharapkan pada perempuan tua yang sakit kaki, fikir Datin Maiya seraya menghidupkan enjin kereta dan berlalu dari situ.

LELAKI YANG MENCINTAIKUWhere stories live. Discover now