Umar kemudiannya menangkap wajah Letty yang sedikit keruh. Dahi Letty berkerut. Keningnya seakan akan mahu jatuh. Mata bundarnya jadi redup. Senyuman telah mati dibibirnya.
"Nasi goreng lamb chop tu tak sedap ke?" Umar cuba membunuh sunyi dengan bertanya soalan yang entah apa apa.
Letty tidak membalas, sebaliknya hanya memandang ke Umar.
"Ke awak mahu jus tembikai saya ni?" Umar bertanya lagi. Ironinya, tidaklah Umar akan memberi jus tembikai miliknya ke Letty.
Letty masih memandang Umar tanpa kedipan mata. "Kisah cinta saya tak meriah, awak. Lelaki lelaki hanya datang singgah dalam hidup saya, kemudian semuanya pergi setelah mereka mengatakan awak terlalu baik buat saya." Bebola mata Letty sedikit bercahaya, air jernih kelihatan bertakung di kelopak matanya.
"Awak, sesetengah orang hanya merasakan hujan itu basah. Setengah lagi merasa dan menikmati setiap titisan hujan. Dan, awak adalah hujan yang buatkan saya sentiasa menanti hujan turun." Umar genggam tangan Letty dan mengenyitkan mata kanannya.
Letty tersenyum.
Umar juga tersenyum. Dan senyuman Umar jadi makin lebar bila teringatkan kisah Amir yang menolak basikal ke rumah cikgunya, Cikgu Suraya di dalam hujan.
Ah, kisah Cikgu Suraya merupakan pengalaman zaman persekolah Umar. Dan Umar percaya setiap orang pasti mempunyai pengalaman membaca kisah Cikgu Suraya. Dan pengalaman itu cukuplah sekadar jadi pengalaman sahaja, tanpa perlu menghebohkan kepada khalayak ramai dengan mengatakan pernah membaca kisah tersebut dan bikin video pendek untuk menceritakan pengalaman itu. Cukuplah sekadar memejamkan mata ketika mandi dan meluahkan segala segalanya ketika mandi, dan setelah keluar dari bilik mandi, keluarlah dengan rasa tidak ada apa apa berlaku. Dan nikmatilah aroma sabun lux yang melekat di tubuh lalu hiduplah seperti hari semalam, minggu lepas, bulan lepas dan tahun tahun sebelumnya.
