"Umar dah mula mencintai Letty?" Soal Letty tiba tiba sahaja. Letty masih memintal hujung rambut dengan jari telunjuknya. Matanya terkelip kelip menanti jawapan dari Umar.
Beberapa pengunjung kedai makan western beredar dari situ kerana tidak tahan melihat kelakuan Letty. Seorang ibu yang sedang menyuapkan paha kambing ke mulut anaknya lekas lekas menghembuskan bacaan suci semoga anaknya tidak terkena sampuk dengan perangai Letty.
"Bila dengan Letty, Umar rasa segala galanya indah belaka. Dan, Umar percaya yang kita telah ditakdirkan untuk bersatu," balas Umar, matanya menjeling geram ke arah nasi goreng chicken chop dalam pinggan yang telah dihidangkan dari bab 4 lagi, namun masih belum disentuhnya.
"Tu semua kata kata manis dari lelaki, hakikatnya bila sudah dimiliki tak dihargai, dibiar sepi." Letty meraup wajahnya.
Umar jadi serba salah, adakah dia patut memujuk Letty ataupun menjamah sedikit nasi goreng chicken chop-nya. Umar pandang ke Letty dan nasi goreng chicken chop bergilir gilir. Umar perlu membuat satu pilihan.
"Makan dulu, Umar. Makwe tu karang pun boleh pujuk. Makan, Umar, makannn." Bisik satu suara ke telinga Umar.
"Jangan, Umar. Jadi lelaki harus gentlemen. Pujuk makwe merajuk adalah satu kemenangan yang di dalamnya ada lagi satu kemenangan." Bisik satu lagi suara.
Umar mengangguk. Jadi lelaki harus pandai buat pilihan, jika tidak, lebih baik jadi pokok taugeh.
Umar genggam tangan Letty, "Awak, memang semua lelaki itu sama kejadiannya. Tapi, tidaklah lelaki itu sama sifatnya. Mungkin awak putus cinta sebelum sebelum ini adalah sebab untuk awak lebih dalam dan padu mencintai lelaki seterusnya. Dan, saya telah diciptakan untuk awak. Untuk mengakhiri airmata, awak," kata Umar, seraya mengambil kain napkin yang betul betul kain napkin dan lap airmata Letty.
Letty tersenyum.
Umar menyuap nasi goreng chicken chop miliknya ke mulut Letty. Dan, menyuap ke mulutnya juga.
Dewi Cinta tepuk tangan.