Hitam.
Terkebil mataku apabila apa yang aku hanya lihat hanyalah warna hitam, gelap dan likat semata. Inikah pengkhiranku?
Tak, aku tak rasa begitu.
Kulit yang menutupi anak mata iniku buka dengan perlahan-lahan. Gelap. Sudah dua hari negara ini mengalami kerosakkan yang maha dahsyat. Tiada lagi cahaya neon yang menerangi kawasan kota pada waktu malam-malam begini.
Perasaan melankolik ini semakin bercambah, membuatkan hati gundah-gulana. A, aku pun dah tak tahu apa yang aku sendiri fikirkan.
Kosong.
"Kau dah pulih sepenuhnya ke?" Tanya satu suara yang membingitkan jiwa.
Selembut kata-kata itu, dengan lunak dan merdu intonasinya, aku masih tak dapat menerima kehadirannya.
Perasaan ini semakin liar, keruan tak bertepi. Sakitnya jiwa melihat kembali pita rakaman minda yang merakamkan segala peristiwa yang berlaku di diriku sendiri. Setelah satu kejadian babi, satu lagi kejadian laknat berlaku.
Terasa akan sesuatu berjemari menyentuh lembut bahuku. Akan sentuhannya itu menyebabkan aku terasa loya, kelat, dan jijik seperti tahi anjing.
"Sudah berhari kau tidak berkata apa-apa. Kalau kau mahukan sesuatu ataupun meluahkan segala yang terpendam dalam dada kau, aku di sini menanti setiap perasaan kau."
Terasa akan cecair yang terkumpul dalam rongga mulutku mengalir ke esofagusku sendiri. Kepala benakku menjadi bercelaru. Rasa ingin saja aku berpaling ke arahnya, lempang dan menjerkah dia. Aku terasa terhina. Aku terasa dipergunakan. Aku terasa seperti dikhianati.
"Kalau ikut budi bicara orang 'beriman', aku kena mendiamkan diri, terima segala-galanya tanpa banyak soal. Terima dan telan. Sakit macam mana pun, berduri dan melukakan pun, aku kena senyap. Aku tak boleh persoalkan.
Kalau tak, aku akan sesat," kataku secara tiba-tiba.
Kata-kataku sendiri membuatkan aku terbeliak. Dah kenapa aku bersuara? Layak ke dia ni mendengar suara aku?
Aku tidak menoleh ke arahnya. Memandang wajah yang hina membakar mataku sendiri. Namun, aku dapat merasakan kehadirannya. Dia tidak mengucapkan apa-apa.
"Terima dan telan. Senyum sampai mati. Hina sungguh bagi aku."
Aku mengambil kotak rokok yang tersisip di celahan tetingkap gelangsar. Sebatang rokok yang mempunyai penghulu kekuningan itu disisipkan ke bibirku, sementara api membakar tembakau berkimia di arah bertentangan dengan bibirku sendiri.
Asap dilepaskan ke udara.
"Kau... masih tidak boleh memaafkan aku?" Tanya dia memecah kesunyian malam.
Pertanyaan itu membuatkan aku mengherot bibirku ke kanan.
"Entahlah. Aku tak boleh mempercayai engkau. Tidak lagi selepas apa yang kau cuba lakukan kepadaku. Hanya orang bodoh dan bengap saja yang akan menelan dan memaafkan sebuah kebodohan yang dibuat-buat.
Malang sekali untuk kau, aku merupakan manusia yang sangat bijak dan kebijaksanaan aku melangkaui semua manusia yang dicipta pada zaman ni."
Aku menyedut asap ini sehingga ke pangkal hulu hatiku. Seperit-peritnya asap ini membakar paru-paruku, sakit lagi aku terpaksa melekat dengan manusia bodoh macam dia ni.
"Baiklah, kalau kau bersedia untuk meluahkan perasaan engkau, aku akan mendengar segala kemarahan, kesedihan, dan kekecewaan engkau, seperti yang telah aku janjikan."
Aku menggelengkan kepala.
"Kau tak akan dapat memahami aku, apatah lagi menerima semua perasaan aku, Lea. Macam aku katakan tadi, aku merupakan manusia yang sangat bijak. Aku tahu macam mana manusia berfikir. Aku tahu bahawa semua orang mempunyai pendirian masing-masing.
Orang seperti engkau, atau sesiapa pun manusia yang dicipta dalam dunia ini tak akan faham kebencian aku. Aku akan sentiasa seorang diri sampai mati. Kerana, itu takdir aku. Takdir yang kau tak akan dapat rungkaikan."
Mataku beralih ke arahnya. Dia masih seperti dahulu. Memberi pandangan redup. Pandangan yang membuatkan engkau rasa begitu selamat.
Tetapi, itulah pandangan yang paling hina. Aku manusia yang sangat hebat. Aku tak perlukan pandangan kasihan. Dunia ini sendiri melaknati kewujudan aku.
Aku melepaskan asap maut ke dalam bilik ini.
"Engkau keseorangan, Aslan. Aku cuba untuk membantu engkau. Aku faham engkau masih tidak boleh menerima dosaku terhadap engkau. Aku cuba sedaya-upaya aku untuk memperbaiki diriku sendiri. Aku tahu ianya bukanlah boleh dimaafkan dengan mudah. Tapi Aslan, aku akan tunggu hari itu. Hari di mana kau tidak akan memandang aku lagi dengan mata yang kurang cahayanya."
Aku menyedut putung rokokku. Kata-katanya ini membuatkan aku berpaling dari mukanya sekali lagi.
"Aku rasa Lea, hari itu tak akan wujud. Dalam dunia ni tak ada cahaya pun sebenarnya. Apa yang ada hanyalah kegelapan dan darah. Aku... tak dapat selamatkan adik lelaki aku mati dalam kekufuran. Dia tidak ingat akan Tuhannya sendiri.
Adik perempuan aku juga begitu. Dibasuh otaknya oleh seorang lelaki yang tidak percayakan Tuhan. Mak cik aku lesap tanpa sebarang jejak. Si Anna tu pun aku masih tak tahu sama ada dia masih hidup ataupun tidak. Sarah pula... ya aku harap dia dah mampus dalam kebakaran tu."
Dia melangkah setapak untuk menghampiri aku. Pergerakkannya itu disambut dengan sepucuk pistol yang aku keluarkan secara spontan dari belakang pinggangku, diacukan tepat ke kepalanya.
Langkahnya terhenti. Namun, pandangannya masih tidak berubah. Dia masih melemparkan senyuman yang menawan. Senyumannya ini... membuatkan mataku berkaca.
"Kau sakit, Aslan. Hati kau hancur. Kau hilang kepercayaan kepada semua orang. Kau merasa takut. Kau keseorangan. Aku akan sentiasa di sini."
Aku tak mampu membalas senyumannya. Kami berdua terkunci di tempat masing-masing.
"Aku cuma nak hidup aman. Aku tak suka diganggu. Aku tak suka menganggu orang lain. Tapi, setiap ka-kali aku me-mendiamkan diri, ma-manusia seperti engkau, Sarah, dan Izzatlah yang mengganggu hidup aku! Aku... dah tak larat dengan semua ni," kataku dengan ditemani dengan air yang mengalir dari mataku.
Dia mengangguk. Langkahnya dimundurkan. Pandangannya dialihkan dari memandang aku. Aku menurunkan senjataku yang diacukan kepadanya.
"Aku lega apabila sedikit sebanyak kau meluahkan perasaanku. Bebanku berkurangan sedikit. Aku faham kau memerlukan masa," dia menarik nafasnya dengan dada yang berombak.
Setelah melepaskan pernafasannya perlahan-lahan, dia maju ke pintu keluar bilik ini.
"Aku akan selamatkan jiwa kau. Aku akan perbaiki semula perbuatanku yang menghancurkan harapan engkau. Kita akan selamatkan mereka semua," katanya sambil menjeling sayu ke arahku.
Pintu bilik ini akhirnya ditutup rapat.
Aku menghirup udara yang tercemar dengan kehadirannya. Dengan perlahan-lahan, aku menghembuskan nafasku dengan segala tanggapan beratku ini.
"Tak. kau tak perlu selamatkan diri aku. Aku akan selamatkan diri aku sendiri. Lebih baik kau fikirkan pasal diri kau seorang je la bodoh."
YOU ARE READING
GREMLIN.EXE 0.05: GENYSYS
Science FictionAku sudah tidak tahu apa pun. Aku kehilangan semuanya. Fikiranku kelam, penghujungnya hitam. Kosong. Gelap. Setiap kali aku membuka mata, Setiap kali aku mendengar, Setiap kali aku bersuara, Ianya menyakitkan sanubariku! Kata-kata engkau, pandangan...