1

7.4K 188 31
                                    

BAB 1

DUDUK memeluk lutut rapat ke dada, air mata yang masih merembes keluar di pipi dibiarkan sahaja tidak diseka serta air yang menitis-nitis dari hujung rambutnya yang basah juga tidak dihiraukan. Dia larut di dalam dunianya sendiri. Dunianya yang terasa kosong sejak dia pulang dari pusara ibunya yang sudah pergi meninggalkan dirinya di dalam keadaan yang sangat tragik siang tadi. 

Bang! Bang! 

“Mama!”

“Au… ra... La… ri...” 

“Mama! Tak, mama! Tak nak!”

“Cik Aura! Kita kena gerak dari sini!” 

“Mama? Mama?” 

Lengan Aura ditarik secara paksa. Matanya masih statik di wajah Aurora yang terbaring di atas jalan raya. Puas Aura meronta untuk mendapatkan semula Aurora namun dia hanya mampu meraung  saat tubuhnya diangkat secara paksa oleh lelaki bertubuh tegap itu dan dihempas masuk ke dalam kereta. Suasana hiruk - pikuk dengan bunyi tembakan. Besar matanya saling berbalas pandang dengan mata kuyu Aurora sehingga pintu kereta ditutup. Kuat cermin tingkap diketuk sambil mulut menjerit-jerit nama ‘mama’ sehingga imej Aurora hilang dikerumuni orang ramai.

“Arghhh!!!” Aura menjerit kuat. Telinganya ditutup dengan kedua-dua tangannya. Sekali lagi Aura teresak-esak menangis sambil tangan kemudiannya menumbuk-numbuk lantai biliknya.

  “Aura!” Bertalu-talu pintu biliknya diketuk namun langsung tidak dihiraukan oleh Aura. Makin kuat matanya dipejam dan telinganya ditekap. 

“Buka pintu. Jangan cabar papa!” jerkah Tuan Nuh hilang sabar. Bagai mahu runtuh pintu diketuk dengan tangan sasanya sehinggakan Teh mengundur ke belakang, gerun melihat majikannya naik angin.

 “Teh, pergi ambil kunci.” Arahan diberikan kepada orang gajinya.

Kelam-kabut Teh turun dan kembali semula dengan segugus kunci di tangannya lalu terketar-ketar tangannya menyerahkan kunci kepada Tuan Nuh yang berwajah bengis pada masa itu. 

Buka sahaja pintu, terus mata beruratnya menangkap susuk tubuh Aura yang duduk meringkuk di sudut bilik. Matanya meliar memerhati seluruh bilik. Berselerak bagai baru sahaja dilanggar tsunami. 

“Bangun,” arah Tuan Nuh tegas apabila melihat Aura yang berkeadaan serupa orangyang tidak mahu hidup itu. 

“Bangun, Aura!” 

Aura mengangkat muka. Mercerlung matanya memandang Tuan Nuh. 

“Sebab papa… sebab papalah mama mati.” Keras suara Aura dengan bibir yang terketar-ketar. Bergerak-gerak anak matanya melawan pandang dengan Tuan Nuh. 

“Apa?” Terangkat kening Tuan Nuh. Dia masih berdiri tegak dengan sebelah tangannya di pinggang, menunduk merenung tajam ke arah Aura.

Aura merengus. Segera dengan kasar Aura bangun menentang pandang dengan papanya sendiri, Tuan Nuh. Anak mata Aura merah bak saga dan turun naik dadanya menahan lava panas di dalam hati.

“Kalau papa sentiasa ada masa untuk mama, mama tak akan kena bunuh!” tempik Aura kuat betul-betul di depan muka Tuan Nuh tanpa sedikit pun rasa gentar. Seinci pun mukanya tidak digerakkan dari merapati muka Tuan Nuh walaupun ternyata muka Tuan Nuh ketika itu bagai singa yang mahu membaham mangsanya. 

“Kau salahkan aku?” Bergema suara Tuan Nuh. Dia kemudiannya ketawa sambil menggeleng kepala. Tangannya bergerak ke kepala tali pinggangnya.

Mata bundar Aura memerhati gerakan tangan Tuan Nuh. Namun untuk Aura berundur memang langsung tidak dilakukan. Aura masih tegak di situ menanti. 

AURA LUF - TERBIT -Where stories live. Discover now