LAMA keadaan mereka berdua begitu. Aura dengan kepala yang menunduk langsung tidak berani diangkat memandang Darien yang membisu sejak minit pertama pertemuan mereka sehinggalah kini. Terasa lemas di dalam kebisuan itu, Darien melepaskan kasar nafasnya. Muka diraup perlahan dan Aura kemudiannya direnung tajam.“Memang awak tak nak jelaskan apa-apa dengan saya ke Aura tentang ini?” soal Darien mula merasa marah kerana Aura diam sahaja sejak dari tadi. Langsung tiada usaha untuk membetulkan keadaan.
“Saya tak tahu nak jelaskan apa pada awak, Darien,” balas Aura perlahan. Masih dengan jawapan yang sama.
“Tak tahu nak jelaskan apa, Aura? Mungkin awak boleh mulakan dengan macam mana awak boleh ada dekat pub tu malam tadi? Duduk berdua serapat ini dengan lelaki yang awak tak kenal?” soal Darien. Kali ini agak tinggi sedikit suaranya. Berasap-asap mulutnya kerana musim sejuk di Moscow sekarang.
Terangkat bahu Aura. Serentak itu satu keluhan berat dilepaskan. Entah mana Darien dapat gambar-gambar Aura bersama Luf di parti hari jadi semalam. Entah siapalah yang gatal tangan rajin sangat jadi spy untuk menjatuhkan Aura?
“Sumpah saya tak ada buat apa-apa, Darien. Saya cuma temankan Dean ke parti hari lahir dan lelaki itu saya baru kenal malam tadi. Saya tak buat...”
“Macam mana awak boleh ada dekat sana tanpa pengetahuan saya, Aura? Saya ni tak penting ke pada awak? Saya tak tahu pula awak suka hadir ke parti macam ni? Ini ke rupa awak yang sebenarnya, Aura? Jadi betullah apa kawan-kawan kita cakap tentang awak selama ni?”
Aura tersentak. Kepala mendongak melihat wajah serabut dan terluka Darien namun hatinya sendiri lebih terluka dengan tuduhan tidak berasas Darien. Kolam mata mulai terasa berpasir. Langsung tidak dia jangkakan yang Darien boleh menghinanya hanya kerana satu salah faham yang kecil begini. “Apa yang awak cuba cakap ni, Darien?”
“Murahan,” desis Darien dalam tidak sedar.
“Apa? Awak panggil saya apa, Darien?” soal Aura tidak percaya dengan apa yang dia dengar tadi.
“Memang betul apa semua orang cakap tentang keluarga awak, Aura. Awak bukan dari keturunan yang baik!”
Aura bingkas bangkit. Tergenggam erat kedua-dua belah tangannya membentuk penumbuk. Menggelegak darahnya bila Darien sudah melampaui batasnya sehingga melibatkan keluarganya pula. Bagi Aura, tuduhan Darien dan hinaannya langsung tak berasas. Besar mana salah Aura sehingga begini sekali lancangnya mulut Darien?
“Jangan libatkan keluarga saya, Darien.”
“Nampaknya awak aje tak tahu sebenarnya apa yang keluarga awak buat, Aura.” Darien tiba-tiba sahaja tertawa sinis. Pandangan juga sudah mulai bertukar menjadi pandangan yang sangat sesuatu. “Maaflah, saya tak nak teruskan hubungan kita.”
“Darien, apa yang awak tahu tentang keluarga saya? Bagi tahu saya,” desak Aura. Tangan Darien yang baru sahaja mahu melangkah bergerak meninggalkannya ditarik semula oleh Aura. Ah, dia tak mahu peduli dengan hubungan mereka yang diputuskan oleh Darien buat masa ini! Aura lebih tertarik dengan apa yang mungkin Darien tahu tentang keluarganya.
“Cari tahu sendiri, Aura! Jangan sentuh aku. Aku geli.” Tangannya direntap kembali dari terus dipegang oleh Aura. Jelas riak kurang senang yang terpamer di wajahnya.
YOU ARE READING
AURA LUF - TERBIT -
Romance🏆 Winner of Anugerah Bintang Wattpad 2020 ( ABW ) Aura Iman Thania. Orangnya bertubuh genit, gadis kacukan Melayu dan Russian. Terperangkap di dalam kemelut krisis keluarga yang memegang rahsia besar tanpa pengetahuannya. Kehilangan ibu tersayang...