“LUF! Saya nampak ada hotel dekat sana. Awak turunkan saya dekat hotel tu ajelah,” pinta Aura dengan suara teruja yang dibuat-buat untuk menutup rasa resah di hatinya. Ada sesuatu pada Luf yang membuatkan Aura mulai rasa curiga.
Diam. Luf masih statik begitu. Langsung tidak memberi tindak balas.
“Luf, awak dengar tak?” bentak Aura, bengang. Melihat Luf yang kekal membatu, tubuh digerakkan sedikit ke depan menghampiri kedua-dua manusia yang berada di depan. Seorang si pemandu dan seorang lagi si penumpang di sisi kirinya. Dua-dua pun sama sahaja gayanya. Keras bagai batu!
“Encik, boleh tak turunkan saya dekat hotel tu? Nampak kan sana tu ada hotel? Turunkan saya dekat sana aje. Kalau perlu upah tambang, tak apa! Saya boleh bayar. Jangan risau,” ujar Aura sambil menepuk-nepuk perlahan bahu si pemandu kereta sebelum Aura pantas menoleh ke belakang. Matanya dikecilkan memandang geram ke arah Luf yang sedang ketawa sambil matanya masih terpejam.
“Awak nak culik saya ke apa hah, Luf?” bentak Aura. Paha Luf ditumbuk-tumbuk. Geram!
Luf hanya membiarkan sahaja sebelum perlahan-lahan matanya dibuka. Wajah merah Aura direnung tajam. Jelas mata gadis itu sudah mula berkaca-kaca. Baru tahu erti takut dengan orang asing? Sejak mula mereka bertemu, Aura dilihatnya seolah-olah terlalu berani gayanya. Tangan Aura yang menumbuk pahanya ditangkap dan digenggam kuat. Renungan mata Luf tertunak ke mata Aura sehingga Aura sendiri menghentikan tumbukannya.
“I yang selamatkan you tadi. Dah lupa? I yang culik you atau you yang serah dia you dekat I?” soal Luf keras. Senyuman senget dari bibir seksi yang tidak pernah buat Aura menang itu dipamerkan.
“I tak suka bila I tanya orang tak jawab, Aura.” Keras suara Luf sekali lagi menampar gegendang telinga Aura. Luf menarik tangan Aura supaya Aura mengangkat mukanya memandang muka Luf.
“Tapi awak tak jawab pun soalan saya tadi, Luf. Awak nak bawa saya pergi mana? Siapa awak sebenarnya?” Terketar-ketar suara Aura dan seperti yang dijangka, air matanya memang murah. Terus merembes keluar. Segala keberaniannya tadi yang sedaya-upaya dibina habis berterbangan. Jujur, inilah dirinya. Terlalu rapuh dan mudah dimanipulasi.
“Jangan tanya soalan yang tak cerdik, Aura. Duduk diam-diam. Tunggu aje sampai kereta ni berhenti bergerak. Tadi you yang nak sangat ikut I, kan?”
Aura terdiam dan kembali duduk bersandar. Sesekali sisi muka Luf dijeling. Kepala kemudiannya disandarkan ke tepi tingkap.
Apalah nasib kau ni, Aura? Kenapa kau kena hadap semua ni? Mudah benar segala kekuatan diri dihapuskan oleh Luf, lelaki yang baru sahaja Aura kenali?
“Tuan, kita diikut,” ujar si pemandu, Romi tiba-tiba. Matanya sekejap-sekejap memandang ke cermin pandang belakang.
Mendengarkan itu, terus sahaja tubuhnya ditegakkan dan kepala berpusing memandang ke arah belakang kereta yang sedang bergerak dengan kelajuan yang mula ditingkatkan oleh Romi.
“Siapa?” soal Luf. Tenang sahaja suaranya namun jelas berkerut sedikit kedua-dua belah keningnya yang sederhana lebat itu. Tampang wajah Aura yang sudah pun terjaga dan ikut memandang gelisah ke arahnya dipandang lekat.
“Saya tak pasti, tuan. Hello, team two cover team one. Black Audi,” arah Ziyad, lelaki yang duduk di bahagian penumpang depan. Jarinya dilihat memegang earpiece di telinganya dan bibir menutur arahan.
YOU ARE READING
AURA LUF - TERBIT -
Romance🏆 Winner of Anugerah Bintang Wattpad 2020 ( ABW ) Aura Iman Thania. Orangnya bertubuh genit, gadis kacukan Melayu dan Russian. Terperangkap di dalam kemelut krisis keluarga yang memegang rahsia besar tanpa pengetahuannya. Kehilangan ibu tersayang...