2

3.3K 137 26
                                    

BAB 2

AURA duduk di kerusi, di ruang menunggu itu. Akur mengikut Isaac, abangnya yang tiba menjemputnya malam tadi untuk pulang ke Moscow pagi ini di atas arahan datuk mereka, Tuan Megat. Dia menoleh sekilas memandang ke arah Isaac yang sejak tadi diam membelek-belek telefon di tangan. Langsung tidak bercakap dengannya walau sepatah pun. Entah kenapa Isaac berperangai beku begini? Aura mengharapkan Isaac sahaja yang menyayanginya namun telahan Aura salah. Isaac sudah jauh berubah sejak Isaac duduk bersama Tuan Megat di Moscow. 

“Abang Isaac, Aura nak pergi tandas,” ujar Aura sedikit perlahan. Badannya dibawa rapat ke sebelah Isaac. “Aura…”

“Malik, kau pergi bawa Aura ke tandas,” potong Isaac, belum pun sempat Aura menghabiskan ayatnya. 

“Aura tahulah tandas dekat mana. Dah besar pun. Nak pergi jamban pun nak kena iring ke?” tempelak Aura lantas dengan kasar dia bangun. Jelingan tajam diberikan kepada Isaac dan juga Malik. 

Isaac masih diam. Nampak sangat memang dia tidak akan melayan perangai Aura. Mahu atau tidak, Aura pergi juga sendiri. Laju sahaja langkahnya berharap Malik tidak akan mengekorinya. 

“Tak payahlah! Sana! Tak payah ikut. Takkan nak cebok buntut sendiri pun abang Malik kena buatkan?” sindir Aura. Dia berhenti melangkah dan dada tegap Malik ditolak. Tak bergerak walau sedikit pun Malik bila ditolak begitu.

Aura merenung lama muka Malik. Jelas sebenarnya Malik sedang menahan dirinya dari ketawa. Perlahan-lahan jari telunjuknya naik dan selamba dicucuknya pipi Malik. Agak tersentak sedikit Malik dengan kelakuan Aura yang tiba-tiba begitu. 

“Abang Malik ni macam robot corp. Senyum ajelah. Ketawa ajelah. Kenapa nak tahan? Muka abang Malik ni handsome sangat tahu tak? Sayang kalau tak senyum.” 

Terangkat sebelah kening Malik mendengar pujian yang pertama kali dari bibir mungil Aura. 

Aura masih leka memandang muka Malik. Malik tampan orangnya. Kulitnya putih bersih kalah kulit Aura yang perempuan ini. Kenapalah jadi bodyguard? Kenapa tak jadi model sahaja? Banyak kali juga pipi Malik dicucuk-cucuk oleh jari runcing Aura sebelum tiba-tiba sahaja Aura ketawa.

Masya-Allah, lamanya Malik tidak nampak Aura ketawa begitu. Comel. Terpegun sebentar dibuatnya.

“Apalah, abang Malik ni. Usik sikit pun blushing.” Aura masih ketawa. 

Kening Malik berkerut. Dia lantas berdehem membetulkan suaranya. “Bila masa saya blushing ni, Cik Aura? Cepat masuk tandas. Saya tunggu dekat luar ni.” 

“Oh, tunggu sini? Ingatkan nak masuk sekali tadi. Mana tahu memang betul-betul nak cebokkan Aura tadi.” Sempat lagi Aura membebel sebelum masuk ke dalam tandas. 

Malik mengukir senyum sambil menggeleng kepala. Hati benar-benar tercuit dengan telatah nakal Aura. Tubuhnya disandarkan ke dinding sebelum dia bergerak menjauhi sedikit ruangan itu untuk menjawab panggilan di telefonnya. 

 “Abang Malik, Aura nak ke kedai sekejap,” ujar Aura seraya melangkah keluar dari tandas setelah selesai urusannya namun Malik langsung tidak menoleh memandangnya. Tidak mempedulikan Malik, terus sahaja dia menyusun langkah ke arah kedai. 

Baru beberapa langkah melepasi keramaian orang yang masing-masing sibuk menuju ke destinasi masing-masing di lapangan terbang itu, tiba-tiba tangan Aura direntap kuat dari arah tepi sebelah kanannya sehingga Aura terdorong dan hampir sahaja terjatuh namun sempat bahunya ditahan dan digenggam kuat oleh seseorang. 

Tubuh Aura dihempas kuat melekat di dinding, di lorong entah di mana pun Aura tidak tahu. Pelik bila lorong itu sunyi pula dari orang yang lalu-lalang tidak sesibuk seperti tempat tadi. Besar anak mata Aura melihat seorang lelaki yang sedang tajam merenung matanya dengan telapak tangan kuat menekup mulutnya. Sebelah lagi tangan lelaki itu menekan kuat bahu Aura ke dinding. Sebelah kakinya pula terasa dipijak. Aura mula menggigil ketakutan. Bergerak-gerak anak matanya memandang wajah lelaki yang memakai penutup mulut kain berwarna hitam itu.

“Relax...” Garau suara itu menyapa gegendang telinga Aura menyebabkan dada Aura semakin laju bergerak turun dan naik. Bukan bertambah bertenang tetapi bertambah gemuruh lagi adalah. 

“Hmmm... Hmmm...” Meronta-ronta Aura cuba untuk melepaskan diri. Hampir lemas. Mahu menggerakkan kepala pun langsung tidak boleh. Terpejam rapat matanya.

“Aku kata relax. Baru aku lepaskan kau,” arahnya lagi. Semakin kuat mulut Aura ditekup. “Relax...” 

Aura masih memejamkan matanya apabila terasa mukanya dielus perlahan. Bermula dari kening sebelah kanan turun perlahan ke rahang, leher dan berhenti di tengah-tengah dadanya. Terbuntang mata Aura. 

“Aura Iman Thania?” soalnya apabila Aura terdiam memandang ke arahnya. Tubuh Aura juga semakin lembut menandakan Aura sudah semakin bertenang. Barulah tekupan di mulutnya dilepaskan.

Teragak-agak Aura mengangguk. Merenik peluh di dahinya. “Lepaskan saya. Awak nak apa?” Aura menyoal berani walau jelas suaranya terketar-ketar. 

 “Aku nak Isaac.” 

Bergerak-gerak anak mata hazel Aura menikam anak mata lelaki itu. Aura terpukau. Anak mata lelaki itu unik. Ronanya emerald green! Alis mata lelaki itu tebal dan cantik terbentuk. Pandangannya tajam. Aura tahu lelaki itu sedang tersenyum walau mulutnya dilindungi oleh topeng mulut. 

“Kau dengar tak apa aku cakap ni?” 

Aura tersentak. Laju Aura menggeleng dan selepas tu mengangguk pula. 

Lelaki itu menoleh ke tepi. Mungkin sedang menahan tawa? 

“Saya tak faham. Awak nak Isaac atau awak nak duit? Kalau nak duit saya tak ada tapi abang dengan papa ada!” 

Kalau tadi lelaki itu menoleh ke tepi, sekarang dia menunduk pula. Tergeleng-geleng sedikit kepalanya. Muka polos dan pucat Aura dipandang. Memang cantik tetapi bila dah buka mulut, budak ini nampak macam tidak cukup akal sahaja gayanya. 

“Bawa Isaac pada aku atau…” Akhirnya lelaki itu bersuara. Penuh misteri suaranya. Garau, tajam dan cukup berjaya membuatkan Aura kecut perut. 

“Atau?” Terketar-ketar bibir Aura. 

“Kau aku jadikan tawanan,” sambungnya secara berbisik betul-betul di sebelah telinga Aura. 

“Arghhh!!!” Aura cemas. Terus sahaja dia menjerit sekuat hatinya. 

Kelam-kabut lelaki itu menekup semula tangannya pada mulut Aura. Merah muka Aura ketika itu direnung geram. 

Aura memejamkan matanya kuat-kuat. Andai memang nyawanya setakat di sini sahaja, Aura redha. Lagi pun tiada siapa pun yang sayangkan Aura sekarang. 

“Ssshhh... jangan takut. Jangan menangis. Bukan sekarang, sayang. Aku akan jumpa kau lagi. Ambil masa kau. Bawa abang kau, datang pada aku. Kalau tak...” Lelaki itu diam sekejap. Wajah Aura dijelajah dengan anak matanya. Dia menyungging senyum. 

Perlahan Aura membuka semula matanya. Dirinya digagahi untuk melawan renung anak mata emerald itu. 

“Aku akan hantar kau ke neraka. Okey, sayang?” sambung lelaki itu lagi. Tangan lelaki itu bergerak menyeluk ke dalam jaket kulit hitam yang dipakainya. Sekuntum ros merah dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam kolar baju Aura dan diselitkan betul-betul di tengah-tengah dada Aura. Lama mata tajamnya melekap di dada Aura sebelum beralih semula ke muka Aura. Satu kenyitan ditinggalkan untuk Aura sebelum Aura dilepaskan dan dia terus melangkah meninggalkan Aura yang tergamam di situ. 

Menggigil-gigil tangan Aura. Masih lagi berdiri melekap di dinding. Habis basah bajunya disirami peluh. Terketar-ketar tangannya mencapai bunga di tengah-tengah dadanya. Aura menatap bunga itu. Kertas yang ditampal pada batang bunga ditarik dan dibaca perlahan. 

“Gabriel.”


AURA LUF - TERBIT -Where stories live. Discover now