Siti ingin mengenali Hakim dengan lebih dekat tetapi sudah pasti perasaan malu menjadi penghalang.
Namun begitu, dia tetap berusaha untuk mengumpul sebanyak mungkin maklumat tentang Hakim. Memang nampak macam over tapi begitulah sikap Siti. Apabila dia inginkan sesuatu pasti dia berusaha sehingga berpuas hati.
Akaun Facebook Hakim mula diterokai. Meskipun Hakim tidak pernah memberitahu tetapi Siti dapat menemuinya. Tiada apa yang menarik di laman Facebook Hakim, yang ada hanyalah gambarnya sewaktu kecil bersama keluarga.
Siti juga turut menemui akaun Facebook ayah Hakim. Semasa scroll di laman Facebook itu, mata Siti mula berkaca dan hatinya terasa sebak. Perasaan itu hadir secara tiba-tiba apabila meneliti setiap bait kata yang tertulis. Rupa-rupanya ibu Hakim telah pergi menghadap Ilahi sekitar setahun yang lalu. Siti tidak pernah tahu akan kisah ini.
"Patutlah takde gambar dengan family kat ig dia"
Ujar Siti di dalam hatinya.
Di Instagram, Hakim kelihatan memuat naik gambar bersama rakan-rakannya sahaja. Tiada satupun gambar keluarga.
Sememangnya menjadi tanda tanya sejak awal lagi tetapi Siti beranggapan bahawa Hakim seorang yang mementingkan privacy.
"Tabahnya kau Hakim, saat orang lain memohon doa daripada ibu untuk berjuang dalam peperiksaan tapi kau hanya bergantung kekuatan daripada seorang bapa. Mesti kau sedih kan, tapi kau nampak tenang je macam takde apa yang berlaku"
Siti bermonolog sendiri sambil mengesat air matanya yang telah membasahi pipi. Jujur diakui, kalau dia berada di tempat Hakim belum tentu dia dapat menjadi setabah itu.
Patutlah Siti bersemangat ingin mengenali Hakim. Rupanya ada something yang boleh dicontohi daripada sikap lelaki yang dia minati itu. Memang Hakim kelihatan tabah dan kuat tapi siapa tahu jauh di sudut hatinya pasti dia rindukan kasih sayang seorang ibu. Sudah pasti dia menaruh harapan yang tinggi untuk membahagiakan ibu bapanya namun apakan daya Allah lebih sayangkan ibunya.
Kali ini Siti bukan sekadar sukakan Hakim malah Hakim juga dianggap sebagai idolanya. Kekuatan yang dimilik oleh anak sulung itu wajar dicontohi.