PART 1

6K 308 7
                                    

Sampai sahaja di rumah, aku terus sahaja bergegas masuk ke dalam. Lutut kaki sudah terasa mahu tanggal pada ketika ini. Aku tidak mempedulikan suamiku yang berkejar untuk mendapatkanku di belakang. Mungkin dia hairan aku tidak berborak dengannya seperti kebiasaannya sebelum ini.

"Sayang, kenapa laju semacam je ni?"

Pertanyaan Luth aku abaikan. Sungguh, aku tiada semangat mahu berborak hari ini. Sudahlah sejak tadi aku bekejar dengan pesakit di ruang kecemasan. Apa lagi kalau bukan disebabkan wabak Covid-19 yang sudah menular dalam negara pada masa kini. Satu demi satu manusia datang membuat saringan untuk memastikan adakah mereka didapati positif virus tersebut mahupun tidak. Dan aku salah seorang staf yang menguruskan hal ini tadi.

Itu belum masuk karenah pesakit yang aku perlu layan. Pelbagai ragam. Hampir pecah kepala otakku memikirkannya.

"Sayang, abang ada salah cakap apa-apa ke?"

"Kalau saya tak nak berborak, abang jangan tanya apa-apalah! Tak nampak ke saya penat ni?!" Entah syaitan apa yang merasukiku, aku telah pun memarahi suamiku sendiri. Sejurus sahaja memarahinya, aku terus sahaja masuk ke bilik tidur lalu menghempas pintu.

Bukan aku mahu menderhaka, Cuma tolonglah faham, Aku ini jururawat, dia askar. Profesion kami tidak sama. Aku ini penat dari segi emosi dan fizikal. Dia mungkin hanya penat dari segi fizikal sahaja.

Tuala mandi dicapai lalu aku terus sahaja mandi untuk membersihkan diri. Pancuran air dibuka. Perlahan-lahan, aku menjatuhkan duduk di atas lantai bilik air. Pada saat ini, aku hanya membiarkan sahaja titis-titis air membasahi tubuhku yang masih berbalut uniform jururawat.

Dan tak semena-mena, airmataku mengalir sekali bersama air paip yang membasahi tubuh.

Ya Allah, aku penat sangat Ya Allah. Maafkan aku sebab berkasar dengan suamiku tadi. Doaku dalam hati.

Sebenarnya, sudah seminggu aku menghadapi rutin yang penat sebegini. Aku perlu bekerja lebih masa bersama petugas-petugas kesihatan yang lain untuk menangani wabak yang kian menular ini. Cuma entah mengapa hari ini, aku berasakan aku tidak sanggup untuk menghadapi rutin yang memenatkan ini lagi. Dan tidak tahu silap di mana, sejak dua tiga hari ini aku berasa mudah letih dan selalu beremosi.

"Sayang, buat apa lama-lama dalam bilik air tu?" Sayup-sayup kedengaran suara Luth di luar kamar mandi.

Dalam keadaan kepala yang pusing, perlahan-lahan aku menutup pili air pancuran. Dan di saat aku mahu berdiri, terasa urat-urat kaki menarik kuat.

"Allah..." Aku merintih kuat. Sungguh kakiku berasa sakit pada ketika ini. Tidak kurang hebat juga kepala yang berdenyut seperti mahu pecah.

"Ya Allah sayang!" Akhirnya bayangan suamiku sudah pun menjengah ruang mata. Melihat aku yang masih terduduk di lantai, dia terus sahaja mencempung tubuhku yang sudah lencun ini. Sungguh tubuhku longlai dan tidak bermaya.

Kemudian, aku sudah tidak ingat apa-apa lagi. Pandanganku menjadi kelam dan berbalam-balam.




MATA yang memberat, aku cuba buka perlahan-lahan. Dahi yang terasa basah, aku sentuh berhati-hati. Terdapat tuala kecil yang agak suam sudah pun terletak kemas di situ. Nampaknya, uniformku yang tadi juga sudah digantikan kan dengan baju lain.

Pandangan dikalihkan ke sisi. Automatik wajah tenang Luth menjamah ruang mata. Tangan kekarnya sudah selamat memeluk pinggangku dalam keadaan yang mengiring.

Aku tersenyum pahit melihat keadaan suamiku itu. Meskipun aku telah memarahinya, dia setia menemaniku di sisi.

Ya Tuhan, kasihan Luth memiliki isteri yang beremosi sepertiku ini. Sedangkan dia, mampu bersabar menangani emosi dan karenahku tanpa sedikit pun mengeluh.

"Sayang dah bangun?"

Aku terkejut apabila mendengar suara serak-serak basah itu. Cepat-cepat aku memejamkan mata kembali. Bukan apa, disebabkan insiden tadi, aku jadi malu untuk berhadapan dengannya.

Jantung berdebar-debar apabila tangannya sudah pun menyentuh leher dan pipiku.

"Alhamdulillah, panas dah kebah sikit." Suara Luth menerpa telingaku lagi.

Bunyi derap kaki mula kedengaran. Tidak lama selepas itu, aku dapat merasakan gebar yang menutupi kaki sudah pun diselak. Seketika, tangan kasar Luth sudah pun mendarat di kakiku. Bau minyak angin yang menerpa hidung menandakan dia telah pun melumurkan minyak panas pada kakiku. Dengan penuh hemah, tangannya mula memicit lembut.

Dalam diam, airmataku mengalir lesu. Dalam keadaan mata yang terpejam, hati aku menangis apabila mengingatkan jadual Luth pada hari ini. Sudahlah dia baru balik dari latihan, kini dia pula kena menjagaku yang sakit.

"Abang..."

"Ya sayang? Sayang dah bangun?"

Mendengar sahaja aku memanggil dirinya, dia terus sahaja mendapatkanku.

"Abang... sini sekejap..." panggilku lemah. Dengan simbahan cahaya lampu meja sisi, aku dapat melihat dengan jelas wajah gusar Luth.

"Ya, abang ni. Sayang ada sakit mana-mana ke? Kalau ada bagitahu abang cepat."

"Tak, Haira okey je. Abang sinilah."

Apabila melihat Luth sudah mendekat, serta-merta aku merengkuh tubuh kekarnya lalu didakap erat. Wajah sudah pun selamat disembamkan pada dadanya.

"Abang, Haira minta maaf sebab berkasar dengan abang tadi. Haira salah."

"Tak apa, abang faham sayang penat. Dah-dah jangan nangis."

"Tak nak, Haira rasa berdosa sangat dengan abang. Abang maafkan Haira tau," rengekku lagi.

"Ya sayang, abang maafkan. Dah jangan nangis lagi. Nanti awak bertambah sakit." Luth sudah pun mengucup ubun-ubunku berulang kali untuk memujukku dari terus menangis. Akhirnya, tangisanku reda apabila Luth sudah pun memaafkanku.

"Dah tidur tau. Esok abang panggilkan doktor check Haira. Malam ni dah lewat sangat."

Aku mengangguk lemah lalu tubuh Luth aku dakap erat

Luth Haira - Cerpen (C)Where stories live. Discover now