PART 5

3.4K 248 22
                                    

SEJAK tadi, tiada sepatah pun perkataan yang meluncur dari mulut aku mahupun Suha. Siapa sangka, makcik yang telah melalui ujian saringan tadi perlu dikuarantikan seperti kami kerana dia mempunyai kontak rapat dengan jirannya yang baru sahaja pulang dari luar negara. Dengan doktor yang merawatnya tadi juga perlu dikuarantinkan sekali. Katanya, dia tidak mahu mengaku sewaktu kami mengajukan soalan tadi kerana takut pengakuannya itu didengari oleh orang-orang yang sedang menunggu di luar untuk disaring tadi. Memang pentingkan diri sendiri! Disebabkan sikapnya itu, seorang doktor dan dua orang staf perlu dikuarantinkan.

Kami telah pun melakukan Swab Test sebentar tadi. Keputusan akan diperoleh dalam masa dua puluh empat hingga empat puluh lapan jam oleh pihak hospital. Oleh itu, kami perlu kuarantin di rumah sehingga hasil ujian diperolehi.

Di satu sudut, di dalam bilik isolasi ini, aku duduk sambil memegang lutut erat-erat. Telefon yang berada di tangan tidak lepas ditatap oleh mata. Gambar perkahwinan aku dan Luth yang menjadi penghias skrin telefon ditatap sayu. Tangan sudah pun diletakkan ke perut. Dalam hati aku berdoa agar aku tidak positif. Bukan apa, wanita mengandung merupakan salah satu golongan yang mudah dijangkiti.

Dalam aku melayan perasaan, aku terkejut apabila melihat ada panggilan video yang datangnya daripada suamiku. Sebelum menjawab panggilan tersebut, aku sudah pun mengelap airmata siap-siap.

"Haira..." Bayangan Luth yang lengkap beruniform sudah pun menjamah ruang mata. Berlatar belakangkan ruangan di dalam lori tentera menandakan dia sedang bertugas pada ketika ini.

"Ya abang," sahutku dengan nada yang seceria yang mungkin.

"Abang teringin nak makan asam pedas sayang. Nanti balik kita masak sama-sama eh."

Allahu... apa yang harus aku katakan kepada suamiku ini. Mahu menyentuhnya juga aku tidak boleh apatah lagi mahu memasak buatnya.

"Abang... Haira ada sesuatu nak cakap ni..."

"Ya sayang, apa dia tu?"

"Abang... benda yang kita nak elak tu, akhirnya terkena dekat Haira..." luahku. Sedaya upaya aku menahan dari mengalirkan air mata. Aku tidak mahu Luth bertambah risau dengan keadaanku.

"Sayang, kena kuarantin dekat rumah ke?" Meskipun Luth menunjukkan reaksi tenang, aku tahu wajah yang dia pamerkan itu plastik. Sepasang matanya tidak mampu menipuku. Aku tahu, dia beremosi pada ketika ini.

"Ya, tapi abang jangan risau. Kita doa je baik-baik tau. Haira harap Haira negatif. Nanti abang siapkan bilik untuk Haira ya. Pindahkan baju-baju Haira dekat bilik bawah. Barang mandi Haira dan semuanyalah ya." Sama sepertiku, mempamerkan reaksi tenang, tapi hakikatnya dada aku dihambat rasa risau yang tahap dewa. Bukan diriku sahaja yang aku perlu fikirkan, nyawa malaikat kecil yang menghuni rahimku ini juga aku perlu fikirkan. Tidak mahu beremosi dan stress. Aku cuba untuk kawal emosi sebaik mungkin.

Seketika, perbualan antara kami terhenti. Aku pandang wajah Luth. Luth memandang wajahku. Bibir masing-masing bergetar halus. Menahan emosi yang menghimpit dada.

Tak semena-mena, aku lihat Luth sudah pun menyeka airmatanya yang menitis dengan menggunakan lengan baju uniform askarnya. Tindakannya pantas sekali.

"Baik, abang akan tunggu sayang. Tak apa, nanti abang masak untuk sayang sekali lauk makan malam. Jangan risau, barang sayang nanti abang pindahkan macam sayang suruh."

Aku menarik nafas dalam-dalam lalu menghembuskannya perlahan-lahan. Wajah Luth di dalam skrin aku usap perlahan-lahan. Kolam mata sudah pun ditakungi cecair jernih.

"Abang doakan Haira tau. Will meet you at home."





SETELAH solat Subuh tadi, aku terus tidak mampu lelapkan mata. Teringat lagi sewaktu pagi tadi, aku meraba-raba tempat di sebelahku untuk mencari Luth. Namun apabila aku sudah sedar sepenuhnya, baru aku teringat yang aku kini bukannya berada di bilik tidur kami, tetapi di dalam bilik yang berasingan. Meskipun sudah dua malam berlalu, aku masih lupa akan hal itu.

Teringat lagi momen kelmarin. Saat kaki melangkah masuk sahaja ke dalam rumah, aku melihat figura Luth. Berdiri tegak di anak tangga yang menuju ke tingkat atas rumah untuk menyambut kepulanganku. Dengan pandangan yang beremosi, kami bersabung tenung dalam jarak lebih kurang dalam satu meter.

Tiada kata yang dapat diungkapkan pada ketika itu. Aku juga sedaya upaya menahan diri supaya tidak berkata apa-apa. Bukan apa, dikhuatiri nanti aku akan menangis. Apabila aku menangis, itu seakan menyiatkan hati lelaki Luth. Salah satu kelemahan Luth, dia tidak mampu bertahan apabila melihat aku mengalirkan air mata.

Apabila tiba waktu makan, Luth akan menghantar pesanan ringkas kepadaku. Aku sudah pun meminta kepadanya siap-siap agar tidak menelefonku. Hal ini kerana, apabila mendengar suaranya aku takut aku tidak mampu mengekalkan topeng ketenangan yang aku pakai pada ketika ini.

Untuk membersihkan diri aku tidak perlu risau kerana di bilik ini sudah tersedia kamar mandi. Barang peribadiku juga telah disediakan oleh Luth seperti yang aku pinta. Pada saat-saat begini, aku banyak bermunajat dan memohon keampunan kepada Ya Rabb. Solat hajat dan amalan membaca Al-Quran aku amalkan dengan kerap. Di atas tikar sejadah aku berteleku menadah tangan agar aku tidak disahkan positif virus tersebut.

Tiba-tiba, telefonku berdering di atas meja sisi. Dengan langkah yang gontai, aku cuba mengintai siapakah pemanggil tersebut. Hati ini menjadi gundah-gelana apabila melihat nombor pihak hospital tertera di skrin telefonku.

Dengan tangan yang terketar-ketar, aku mencapai telefon tersebut. Sebelum menggesek butang hijau, pelbagai zikir dialunkan di dalam hati ini.

"Assalamualaikum Puan Haira, kami pihak hospital sudah memperolehi ya hasil ujian."

"Waalaikumussalam, ya saya di sini. Apa keputusannya ya?" Di saat aku menunggu keputusan tersebut. telekung yang tersarung di tubuh aku genggam erat. Jika jawapannya positif, mereka akan menghantar ambulans untuk mejemputku di rumah dan aku akan dikuarantikan di hospital.

"Alhamdulillah, puan negatif."

Mendengar sahaja jawapan itu, terasa seakan segala aliran darah berjalan lancar. Aku seakan diberi nafas baru. Hati ini usah terkata, rasa sebak dan gembira sudah pun menyusup. Airmata kegembiraan mengalir laju. Setelah mengucapkan terima kasih, talian dimatikan. Sejurus itu dengan pantas aku keluar dari bilik mahu mencari suamiku.

Saat kaki melangkah keluar dari bilik, aku terkejut apabila Luth sudah pun mendakapku erat. Nampaknya sejak tadi dia berada di luar pintu memasang telinga mendengar perbualanku di telefon. Tiada kata yang mampu dizahirkan. Hanya bunyi tangisan dari kami berdua memenuhi suasana.

"Alhamdulillah Ya Allah, terima kasih kerana Engkau lindungi isteri dan anakku." Doa Luth yang agak sayu itu membuatkan aku mendakapnya lagi erat. Tangisan aku hamburkan semahu-mahunya di dada bidangnya. Ubun-ubunku dikucup berkali-kali oleh suamiku. Menzahirkan rasa yang tidak terhingga kepada Yang Esa.

"Thanks sayang sebab survive untuk diri sayang dan baby," bisik Luth lembut.

"Anything for you, abang. You are everything for me. Macam abang sayangkan negara, abang sanggup korbankan nyawa dan raga sekalipun. Macam sayang juga, sebab sayangkan keluarga kita, sayang cuba bertahan sebaiknya."

Sejurus itu, bibir Luth sudah selamat mengucup bibirku. Tubuhku dirangkulnya kemas. Dalam hati, kami bersyukur kerana kami baik-baik sahaja dengan izin Yang Kuasa.

TAMAT

Luth Haira - Cerpen (C)Where stories live. Discover now