PART 2

3.3K 230 4
                                    


SETELAH sehari mengambil cuti, kini aku kembali menjalankan tanggungjawabku semula sebagai seorang jururawat. Luth pula agak sibuk kerana pada hari ini dia perlu mendengar taklimat mengenai tugas membantu pihak polis mengawal orang awam yang masih berkeliaran di luar sewaktu tempoh berkurung dijalankan.

Hati ini berasa agak sebal apabila memikirkan hakikat itu. Entah mengapa rakyat Malaysia agak sukar mendengar nasihat pihak kerajaan meskipun keadaan sekarang sudah pun semakin genting. Disebabkan mengutamakan kepentingan diri, orang lain juga terkena tempiasnya.

Sebenarnya, bukan hal itu sahaja yang menganggu ruang fikiran pada ketika ini, tetapi ada satu hal yang membuatkan hatiku turut menjadi libang-libu.

Beg tangan yang berada di atas meja aku capai. Zip di bahagian depan beg dibuka dan...

Alat ujian kehamilan yang bersalut plastik lut sinar itu aku keluarkan dengan berhati-hati. Melihat sahaja itu, automatik mataku jadi berkaca.

Pagi tadi, hati ini tergerak untuk melakukan ujian kehamilan memandangkan haidku sudah dua minggu lewat. Mujurlah aku sempat membeli di farmasi hospital sebelum menjalankan tugas pada hari ini.

Dan hasil yang aku dapat ialah...

Dua garisan. Positif.

Apabila mengenangkan itu, automatik jantung ini jadi sesak. Bukan aku tidak mensyukuri pemberian daripada Illahi ini, cuma pada saat ini aku rasa aku tidak mampu untuk menjaga malaikat kecil yang telah menghuni rahimku ini. Hal ini kerana, di atas faktor tugasku dan juga keadaan negara pada masa kini.

Bagaimana aku mahu mengundur diri dalam keadaan yang genting sebegini? Sungguh pada ketika ini negara amat memerlukan tugasku dan rakan-rakanku yang lain. Cuti kami juga telah dibekukan dan kami perlu bekerja lebih masa. Hari ini sahaja pihak KKM sudah mengeluarkan kenyataan untuk memanggil petugas-petugas kesihatan yang telah bersara untuk turut berganding bahu bekerjasama demi negara.

Nafas berat dihela lalu dihembus perlahan-lahan. Alat ujian kehamilan itu aku dakap erat ke dada. Dalam diam, airmata mengalir satu demi satu membasahi pipi. Automatik bayangan wajah Luth menjengah ruang ingatan. Andailah dia tahu keadaanku pada ketika ini, aku pasti dia tidak akan membenarkan aku berada di sini. Bukan aku tidak kenal sifat over protective suamiku itu. Dia mahu segala yang terbaik buatku. Jika kehadiran malaikat kecil ini sampai ke pengetahuannya, tidak mustahil dia berkeras supaya aku duduk di rumah sahaja.

"Sayangku, mama bukan tak menghargai kehadiran kamu. Cuma..." Sedaya-upaya aku menahan rasa sesak di dada. Tidak mahu membunyikan sedikit pun esakan pada ketika ini. Airmata sudah pun mencurah-curah gugur dari pelupuk mata.

"Cuma... keadaan tak mengizinkan, anakku. Ramai orang memerlukan khidmat mama untuk merawat mereka. Mama takut nanti kesihatan kamu terabai. Mama nak hadap semua ini sendiri, bukan dengan kamu sekali. Tetapi Allah kirimkan kamu di saat genting sebegini. Mahu tak mahu, mama harap kamu kuat menemani mama tau. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Kalau ada sesuatu yang berlaku nanti, jangan risau mama ada di sisi kamu sayang. Sakit kamu, mama juga akan terasa sekali."

Sejurus sahaja menghabiskan kata-kata itu, aku sudah pun tunduk merenung lantai. Airmata usahlah diperkata, habis gugur semua. Hati ni, allahu... sebak hanya Tuhan yang tahu.

"Haira?" sapaan dari Suha membuatkan aku cepat-cepat mengesat birai mata dengan tangan. Tidak cukup itu, tangan mula mengagau mencari bungkusan tisu muka yang aku selalu simpan di dalam beg tangan. Bungkusan tersebut aku koyak dengan pantas lalu sehelai tisu aku tarik untuk mengelap sisa-sisa airmata yang berbekas di pipi.

"Kau okey tak ni, kau sakit lagi ke?" tanya Suha cemas. Kerusi yang berada di sisiku ditarik lalu dia melabuhkan duduk di sebelahku.

"Tak, aku okey je," dalihku. Sejurus itu, seulas senyuman aku ukir dalam keterpaksaan untuk menutupi emosiku pada ketika ini.

"Kau jangan tipu akulah, Haira. Aku kenal kau sejak dari tingkatan satu lagi tau. Ingat aku tak tahu ke kau suka sembunyi-bunyi kalau menangis. Dah lapuklah taktik tu kau guna."

Mendengar sahaja kata-kata yang terpacul dari bibir mungil Suha, automatik aku tersenyum kelat. Nampaknya silap oranglah aku mahu menipu pada kali ini.

Suha Nadia.

Kawan aku sejak dari bangku sekolah menengah lagi. Sudahlah duduk pun sebelah menyebelah sejak tingkatan satu hinggalah tingkatan lima. Terpisah sewaktu selepas SPM kerana kami menyambung pelajaran di tempat yang berbeza. Tetapi siapa sangka, di alam pekerjaan kami ditemukan semula di bawah bumbung hospital yang sama. Indahnya percaturan Yang Esa.

"Tak adalah, aku cuma tersedih sikit je pagi ni. Jangan risaulah..."

"Ni apa ni?" Suha sudah pun mencapai alat ujian kehamilan yang belum sempat aku sorokkan itu. Elok sahaja terletak cantik di atas meja. Disebabkan kehadiran Suha tadi agak mengejut, aku tidak sempat menyimpannya semula ke dalam beg.

"Ya Allah, Haira. Kau mengandung?" Dengan mata yang bersinar-sinar, berkali-kali Suha menatap alat ujian kehamilan yang berada di tangannya itu.

"Seperti yang kau nampak, itulah jawapannya," balasku perlahan. Pada masa yang sama, aku memerhati raut wajah Suha yang terlebih teruja itu. Lagaknya seperti dia sahaja yang mengandung. Jauh beza dengan reaksiku apabila mengetahui kebenaran itu.

"Haira, tahniah! Tercapai juga hasrat kau dengan Luth nak ada zuriat. Alhamdulillah rezeki korang berdua awal, tiga bulan mendirikan rumah tangga, Allah dah beri dah rezeki anak." Bahuku sudah pun dipeluk kemas oleh Suha.

"Tapi Suha... kau tahu kan dengan keadaan sekarang aku rasa anak ni agak susah untuk survive," luahku lemah. Tanganku sudah pun selamat memegang perutku yang masih kempis.

"Haira, kau tak boleh macam ni. Kau kena kuat. Kau kena yakin dengan diri kau. Kalau kau sebagai seorang ibu, tak yakin yang anak kau akan survive, seolah-olah kau macam mendoakan itu untuk dia..."

Zap.

Hati aku sudah selamat tersentap dengan kata-kata Suha. Meskipun perit, itulah keadaan yang berlaku kepada diriku ketika ini. Dalam diam, rasa kesal mula mencucuk hati. Automatik rasa berdosa mula bersarang di benak. Ya Allah, berdosanya aku. Dosa terhadap anakku sendiri.

"Haira, kau kena janji dengan aku. Walau apa pun terjadi, kau kena survive untuk baby ni. Ingat?" Suha sudah pun mengenggam erat tanganku untuk menyalurkan sedikit kekuatan kepadaku pada ketika ini.

"Ya, Suha. Aku akan cuba jaga baby dalam perut ni sebaik mungkin. Cuma..."

"Cuma apa?" soal Suha laju. Kini mata kami sudah saling bertatapan. Dari sinar matanya itu, aku tahu dia betul-betul maksudkan kata-katanya itu.

"Jangan bagitahu Luth pasal baby ni buat masa ni. Kau tahu kan janji kita? Kita dah berikrar akan berkorban demi rakyat, membantu mereka apabila mereka memerlukan khidmat kita. Lagi-lagi pada waktu sekarang," ucapku bersungguh-sungguh. Aku mahu Suha tahu aku tidak main-main pada ketika ini.

"Haira..." Pada ketika ini, tiada lagi kata-kata yang mampu terbit dari bibir Suha. Bibirnya sudah pun bergetar halus dan kolam matanya sudah pun bertakung.

"Kau memang wanita yang kuat, Haira. Semoga kita sama-sama diberikan kekuatan untuk menempuhi dugaaan ini." Sejurus itu, Suha terus sahaja memelukku erat. Dalam masa yang sama, bahu ini dapat merasai kehangatan airmatanya yang mencurah-curah.

Mungkin kata-kataku itu telah pun menyedarkan dirinya juga. Tempoh hari, dia ada menyatakan yang dia seakan mahu berputus asa dengan keadaan sekarang dan mahu pulang ke kampung untuk bersama ibunya.

Dalam hati, aku berdoa agar ujian ini segera berakhir. Kami petugas kesihatan ini hanyalah manusia biasa. Masih mempunyai keluarga yang ingin dijaga dan dilindungi.

Aku berharap agar ada segelintir rakyat Malaysia yang masih mempunyai kesedaran untuk menjaga diri mereka sendiri serta berusaha mencegah wabak ini dari menular lagi. Meskipun tugas merawat ini adalah skop kerja kami, bukankah mencegah itu lebih baik daripada merawat?

Luth Haira - Cerpen (C)Where stories live. Discover now