"SAYANG, sini sekejap dekat abang. Tengok, apa ni, pakai baju tidur pun tak betul!"
Aku yang sewaktu itu sedang sibuk menyikat rambut di hadapan cermin automatik menghentikan pergerakan apabila Luth sudah pun berdiri betul-betul di belakangku. Desahan nafasnya sudah selamat menampar belakang leher. Automatik bulu romaku jadi merinding. Liur sudah pun diteguk berkali-kali.
Dengan gerakan penuh berhati-hati, tangan kekarnya sudah pun meliliti tubuhku dari arah belakang. Jari-jemarinya lincah membutangkan dua butang terakhir di bahagian bawah pijama satin yang tersarung di tubuhku. Disebabkan mahu cepat tadi, aku malas mahu membutangkan baju tersebut dengan kemas.
"Siap!" Seusai mengerjakan butang baju tidurku, dia telah pun memeluk erat tubuhku dalam posisi yang sama seperti tadi. Dagunya sudah pun selamat didaratkan di atas bahuku. Rambutku yang melepasi bahu diciumnya berkali-kali.
"Wangi macam selalu," bisiknya di telingaku. Sempat lagi dia meniup lembut cuping telingaku pula tu!
Dari pantulan cermin di hadapanku, aku dapat melihat segala tingkah laku nakal Luth dengan jelas. Senyum kecil sudah pun meniti di bibir. Mengenangkan itu, aku terus sahaja meletakkan sikat di tangan ke atas meja solek. Tangan Luth yang kejap memeluk tubuhku aku pegang kemas. Mata dipejamkan seketika, menikmati masa-masa terindah bersama suamiku.
Sudah lama rasanya kami tidak meluangkan masa bersama. Disebabkan tuntutan tugas, kami kepenatan dan tiada masa untuk berborak dan berkongsi cerita.
"Perut sayang macam buncit sikitlah. Makan banyak eh?" Luth mengusikku. Perut aku sudah selamat digeletek halus olehnya. Tindakannya membuatkan tawaku terburai.
"Mana ada, Haira makan macam biasa je. Memandai je abang ni." Bibirku sudah pun memuncung. Dalam hati, hanya Allah sahaja yang tahu betapa berdebarnya aku. Cuba menyembunyikan berita yang bahawa rahimku kini sudah ada penghuninya.
"Ye ke, sekejap mari abang scan." Belum sempat aku mengatakan apa-apa, Luth sudah pun memusingkan tubuhku menghadap dirinya. Kedua belah lututnya didaratkan di atas lantai lalu terus sahaja telinganya dilekapkan di perutku.
"Hurm macam bunyi tendang-tendang je," komen Luth.
Meskipun aku tahu Luth hanya bergurau, jantung ini sudah hampir tercabut sahaja dibuatnya. Nafas aku tarik perlahan-lahan lalu dihembus. Aku cuba untuk mengawal reaksi wajah sebaik mungkin.
"Memandai je abang ni," nafiku seraya pura-pura menghamburkan tawa. Ya, aku tahu tawaku itu agak plastik, tapi aku harap Luth tidak menyedari itu.
"Sekejap, haid sayang dah lewat dua minggu kan?"
Soalan Luth itu sudah pun selamat memijarkan seluruh wajahku pada ketika ini. Sungguh, aku jenis yang tidak pandai berbohong, apa lagi di hadapan suamiku.
"Abang..." Kedua belah tangan Luth sudah pun aku raih ke dalam genggaman tanganku. Kini fokusku diberikan sepenuhnya kepada suamiku ini. Kedua belah mata memandang tepat anak matanya. Dan tidak semena-mena, hati aku menjadi sayu. Sesayu-sayunya.
Allahu, kesiannya suamiku ini. Dia sudah lama menginginkan zuriat kami menghuni dalam rahimku, rintihku di dalam hati.
"Kenapa sayang, sayang ada apa-apa nak cakap ke?" soal Luth perlahan. Riak wajahnya sudah pun berubah cemas.
"Haira... Haira..."
"Allahu kenapa ni sayang, cakap dengan abang mari sini."
Tanpa mampu mengucapkan sepatah kata-kata lagi, terus sahaja aku merendahkan badan lalu memeluk Luth yang sedang melutut di lantai itu. Belakang bajunya aku genggam erat. Akhirnya tangisanku terhambur di atas bahunya.
"Abang, Haira minta maaf. Anak abang ada dalam perut, Haira. Haira, mengandung, abang," ucapku dalam keadaan tersendu-sedan. Esakan juga tidak henti-henti keluar dari mulut ini.
Seketika, keadaan menjadi sepi. Tiada langsung jawapan balas dari Luth. Yang ada cuma bunyi tangisanku yang mengisi ruang.
Aku terkejut apabila Luth perlahan-lahan melonggarkan dakapanku ke tubuhnya. Automatik, tangisanku terhenti. Aku sudah pun dihambat kerisauan. Aku takut jika Luth terasa hati denganku.
"Abang..."
Belum sempat aku membuka mulut, Luth sudah pun mencempung tubuhku. Dalam keadaan yang kekal membisu seperti tadi, dia sudah pun melangkah menuju ke katil kami. Perlahan-lahan, tubuhku didaratkan di situ. Penuh hemah, penuh berhati-hati.
Dan mataku juga tidak lepas memandang wajah suamiku sejak tadi. Aku cuba menganalisa apakah sebenarnya emosi yang membelenggu diri Luth pada ketika ini. Airmata yang membekas di pipi dan birai mata aku hiraukan begitu sahaja. Kini, wajah Luth sahaja menjadi tatapanku.
Luth sudah berbaring di sisiku dalam keadaan mengiring. Tangannya sudah pun menongkat kepala sambil tidak lepas memandang wajahku. Sungguh, tiada emosi yang dapat aku tebak melalui riak wajahnya pada ketika ini.
Dan tidak semena-mena...
Kedua belah kolam matanya bergenang. Seketika, ruang sekeliling kami menjadi sepi. Seakan pada ketika ini, hanya ada aku dan Luth sahaja. Aku pasti jika ada jarum yang jatuh pada ketika ini, ianya pasti akan kedengaran.
"Terima kasih Haira Sofia sebab sudi tumpangkan rahim awak buat bakal anak saya. Saya sangat berterima kasih..." Airmata jantan Luth sudah pun jatuh setitis demi setitis ke pipi. Dan lama kelamaan, ianya menjadi semakin lebat.
Tanpa membalas ucapannya, aku terus sahaja memeluk tubuh Luth dengan erat. Luth tidak membalasnya, tetapi aku dapat merasai dadanya turun naik menahan emosi. Bahu ini terasa hangatnya air mata dari seorang lelaki yang bernama Luth Ashraf. Sungguh aku agak terkejut dengan kelakuan Luth pada malam ini. Aku tidak pernah lihat setitis pun airmatanya tumpah sepanjang tiga bulan perkahwinan kami.
A man rarely cry, but if he cries for you, those tears can be never false.
Kata-kata yang aku terbaca di internet tempoh hari amat kena dengan situasi pada ketika ini. Ya aku tahu, Luth amat terkesan dengan kehadiran malaikat kecil di dalam rahimku ini.
Ya Allah, selamatkanlah zuriat kami ini. Kuatkanlah dia walau apa jua keadaan yang menimpa kami. Sesungguhnya, anak ini adalah hadiah yang sangat bernilai buat kami. Tiada galang gantinya, doa hati kecilku.

YOU ARE READING
Luth Haira - Cerpen (C)
Short Storyإِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ Yang bermaksud: "Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila i...