Pandangan Farid masih terhala tepat pada gadis yang sedang duduk di hadapannya. Dia sekadar mengenakan baju kurung cotton warna merah jambu. Sesuai dengan kulitnya yang sedikit cerah. Rambutnya yang ikal mayang itu disanggul kemas. Biar nampak lebih kemas. Wajahnya pula dioles dengan solekan yang agak nipis biar tidak nampak pucat. Bersesuaian dengan kerja yang diminta.
"Betul awak nak buat kerja ni?" Akhirnya Farid bersuara. Memecah kesunyian antara mereka sejak tadi.
Zana angkat wajah membalas pandangan Farid padanya.
"Betul Dato." Angguk Zana menjawab pertanyaan Farid itu.
"Mak Tam yang minta saya bagi kerja ni pada awak." Beritahu Farid dengan nada yang sedikit tegas.
Zana diam sekadar mendengar.
"Kerja ni untuk sementara sahaja. Awak kerja sini sehingga Dewi balik." Zana tahu tentang ini. Mak Tam ada beritahu dia malam tadi.
"Baik Dato." Sekarang ni Zana tak kisah kerja sementara atau tetap. Janji dia dapat kerja. Duit simpanan semakin susut. Silap haribulan akan habis hujung bulan ni kalau dia masih tak dapat kerja lagi.
"Mak Tam!" Hanya suara yang memanggil Mak Tam tetapi tidak pandangannya. Masih setia membelek wajah Zana sehinggakan tuan punya badan rasa serba tak kena. Nak gerak sikit pun rasa lain macam.
Tidak lama selepas itu, Mak Tam dilihatnya keluar dari ruang belakang dan segera menghampiri Farid.
"Nanti Mak Tam beritahu dia apa yang perlu dibuat setiap hari. Tugas dia semua." Farid baru sahaja keluarkan arahan pada Mak Tam untuk Zana.
Zana masih berdiam diri. Kalau dilihat dari cara Farid cakap pada Mak Tam, dia sudah diterima bekerja di sini. Tapi Zana tak mahu buat andaian sendiri. Takut nanti bukan seperti yang disangka.
"Nanti awak ikut Mak Tam." Farid alih pandangannya semula pada Zana.
"Maknanya, saya diterima bekerja dekat sini ke Dato?" Zana perlu kepastian.
Farid sekadar angguk. Tapi itu sudah cukup buat Zana gembira. Tersenyum lebar dibuatnya.
"Okeylah, saya pergi dulu Mak Tam." Farid bangun dari tempat duduknya. Sedikit mengerling pada Zana sebelum berlalu tinggalkan Zana dengan Mak Tam.
"Mak Tam!" Punyalah tunggu lama nak peluk Mak Tam. Tadi nak peluk tak boleh. Mahu Dato Farid pandang lain macam nanti. Silap haribulan tak dapat terus kerja kat sini.
"Suka tak?" Mak Tam turut sama balas pelukan tersebut. Masing-masing pelik juga sebenarnya. Macam dah lama kenal, padahal baru kali kedua ni berjumpa.
"Mestilah suka. Nanti hari-hari dapat jumpa Mak Tam."
"Mak Tam pun hari-hari boleh tengok muka Zana. Eh, jomlah. Mak Tam bawak Zana jalan-jalan dalam rumah ni." Mak Tam tepuk perlahan lengan Zana dan leraikan pelukan mereka.
"Dato nak pergi kerja ke tadi?" Hatinya masih berdebar-debar dek pandangan Farid padanya tadi. Rasa berbeza dari pandangan orang lain. Mungkinkah sebab dia seorang dato? Atau mungkin sebab dia terlalu kacak di mata Zana. Ala lelaki idaman Zana.
"Dia tunggu Zana je tadi. Kalau tak sebab Zana, dia dah pergi kerja." Jelas Mak Tam padanya.
"Oh, betullah kata abang Daud tadi. Ingatkan dia tipu-tipu." Teringat perbualan dia dengan Daud sebelum masuk tadi.
"Daud tu baik orangnya. Takdanya dia nak tipu-tipu." Mak Tam tersengih mendengar kata-kata Zana. Memang selama dia kenal Daud, tak pernah sekali pun dia menipu Mak Tam. Jujur orangnya.
Zana turut sama tersengih. Manalah dia kenal sangat Daud tu. Takpalah, layankan ajelah cakap Mak Tam ni.
Setiap sudut di rumah tersebut habis Mak Tam tunjuk pada Zana. Atas bawah depan belakang.
"Ini bilik Dato Farid." Hanya bilik dia sahaja di tingkat paling atas.
"Lagi besar dari rumah saya ni Mak Tam. Bilik aje tu." Zana buat perbandingan terus. Luas!
"Farid. Maksud Mak Tam, Dato Farid. Dia banyak habiskan masa dalam bilik dia ni." Memang dari dulu Mak Tam hanya panggil Farid tanpa gelaran Dato yang diterimanya lebih kurang dua tahun lepas.
"Cantiknya bilik dia Mak Tam." Kemas dan teratur segala barang yang ada dalam bilik. Langsung tak bersepah. Yang bersepah cuma katil yang dia guna malam tadi. Warna kelabu menjadi pilihan hati Farid. Esklusif sangat.
"Seronoknya kalau dapat bilik macam ni. Kalau tidur kat bilik ni, confirm lena sampai ke pagi." Zana dah berangan sendiri.
"Mana tahu masin mulut Zana tu dapat tidur kat bilik ni nanti." Sampuk Mak Tam.
"Macamlah Dato Farid tu bagi Zana tidur bilik ni. Merepeklah Mak Tam." Ketawa kecil Zana mendengar kata-kata Mak Tam.
"Mana tahu nanti Zana kahwin dengan dia. Hah, dapat tidur dalam bilik ni sekali dengan tuan bilik. Pakej." Spontan Mak Tam membalas.
"Aduh Mak Tam ni." Zana geleng kepala sambil senyum perli pada Mak Tam. Tak terfikir langsung di fikirannya.
Usai habis semua bilik dan ruang ditunjuk pada Zana, akhirnya mereka berdiri di hadapan bilik tidur Puan Sri Mawar
"Ini bilik Puan Sri. Mummy Dato Farid. Puan Sri ada kat dalam. Tapi selalunya lepas sarapan, dia akan berehat satu dua jam. Nanti Zana jangan lupa bawak ubat dia sekali bila hantar sarapan." Zana angguk. Patutlah Mak Tam cakap ala berbisik. Tak mahu Puan Sri dengar rupanya.
"Nanti tengahari sikit baru Mak Tam bawa Zana jumpa dengan Puan Sri. Sesi kenal-kenal ni." Mak Tam sedikit menarik tangan Zana untuk mengekorinya.
Lama juga Mak Tam beri penerangan pada Zana. Kerja apa yang dia kena buat setiap hari. Nasiblah Zana ni bukan jenis pelupa orangnya. Apa yang Mak Tam cakap, dia boleh ingat semuanya. Lagipun kebanyakkan kerja-kerja tersebut sudah biasa dia buat di rumah. Tiada masalah pun tentang itu.
Yang sedikit merisaukan Zana ialah tugasnya pada Puan Sri. Dia tak pernah ambil tugas jaga orang sakit sebelum ni. Lebih-lebih lagi seseorang yang berpangkat Puan Sri. Tapi Zana tak mahu fikir apa-apa. Yang pasti dia akan jalankan tugasnya dengan baik. Biar tiada masalah timbul kelak.
"Nanti ada orang ganti tempat Dewi buat sementara waktu." Farid beritahu pada Daud semasa di dalam kereta untuk ke pejabat.
"Perempuan tadi tu ke?" Daud kerling Farid dari cermin pandang belakang.
"Zana. Nama dia Zana." Wajah Zana terus melintas di fikirannya. Farid memang tak mudah percaya dengan orang. Lebih-lebih lagi baru pertama kali bersua muka. Tapi disebabkan Mak Tam yang minta beri kerja tersebut pada Zana, dia ikutkan sahaja. Mungkin Mak Tam nampak kebaikan gadis tersebut yang dia tidak nampak lagi.
Daud hanya berdiam diri. Tahulah dia yang Dato Farid masih tak tahu lagi tentang pelanggaran Zana dengan Mak Tam tempoh hari. Kalau tidak mesti dia tahu yang mereka sudah pun kenal antara satu sama lain.
Kereta terus meluncur laju menuju ke syarikat Maya Holdings.

YOU ARE READING
Hati Ini Milik Dia
Roman d'amourMengisahkan tentang Ruzana, gadis yang berusia 23 tahun yang kematian kedua ibu bapanya terpaksa tinggal bersama ibu dan abang tirinya. Disebabkan Zana hampir diperkosa oleh abang tirinya, dia melarikan diri dan minta untuk menetap di rumah Dato Fa...