Bab 6

269 2 0
                                    

"Assalamualaikum. Zana ke ni?" Takut-takut pula Mak Tam nak bertanya. Takut salah nombor pulak. Tak pasal-pasal kena marah nanti.

"Waalaikumussalam. Zana sini. Siapa ni ya?" Tanya Zana sambil tangan laju mengunci pintu biliknya. Dia baru sahaja selesai mengemas dapur yang sedikit bersepah. Siapa lagi kalau bukan Taufik yang buat semua ni. Pinggan yang dia makan dan cawan yang dia minum langsung tak dibasuhnya. Berlonggok dalam sinki. Tunggu orang lain basuhkan untuknya.

Memang Zana selalu merungut dek kena basuh semuanya, tetapi semuanya di dalam hati. Mana dia berani nak luahkan di bibir. Mahu kena tampar dengan ibu tiri garangnya itu.

"Zana, Mak Tam ni. Ingat lagi tak?" Mak Tam mula perkenalkan diri. Manalah pernah mereka berhubung melalui telefon. Takut tak dapat cam suara.

"Mak Tam? Ooooo, Mak Tam yang kerja dengan Dato Farid tu ya?" Zana masih ingat dengan wanita yang dia langgar tempoh hari.

"Yalah, Mak Tam yang tu lah." Ujar Mak Tam sanbil tersenyum sendiri. Nasib dia ingat lagi. Kalau tak ingat, sudah tentu juga nama Dato Farid yang akan dia sebut dulu.

"Mak Tam sihat? Kaki Mak Tam macam mana? Dah okey?" Zana tak tahu kenapa dia rasa gembira bila dapat bercakap dengan Mak Tam. Perasaan geramnya tadi kini hilang sedikit demi sedikit.

"Alhamdulillah sihat. Kaki pun dah semakin okey." Jawab Mak Tam dengan nada gembira.

"Alhamdulillah." Balas Zana pula sambil melabuhkan punggungnya di hujung katil.

"Mak Tam nak tanya ni. Zana dah dapat kerja ke?"

"Belum lagilah Mak Tam. Susah benar nak dapat kerja sekarang ni. Dah berapa hari Zana pergi cari sana sini." Hampa Zana rasakan. Tiga hari berturut-turut dia cari di merata tempat, tapi sia-sia sahaja.

"Macam ni, Dato Farid nak cari pembantu rumah buat sementara waktu. Sebab Dewi, yang jaga Puan Sri tu nak balik Indonesia esok. Mak dia sakit tenat kat sana. Yang lagi sorang, Kartini masih kat Indonesia sana. Tak balik lagi. Itu yang Dato nak cari orang. Zana nak tak kerja dekat sini. Tapi untuk sementara waktu ajelah." Jelas Mak Tam dengan panjang lebar. Biar Zana faham apa yang berlaku.

"Nak!" Zana tak tunggu lama untuk jawab. Memang itu yang dia tunggu. Peluang pekerjaaan di depan mata. Jangan dilepaskan.

"Nanti Mak Tam beritahu Dato ya."

"Mak Tam, terima kasih sangat-sangat. Mak Tam bagi berita gembira kat Zana hari ni. Eeee, rasa nak peluk cium Mak Tam aje sekarang ni." Nasiblah Mak Tam jauh dari Zana. Kalau tidak mahu lemas kena peluk dek Zana.

"Nanti jumpa baru peluk Mak Tam. Zana boleh mula bila-bila masa aje kan?" Lupa pula Mak Tam nak tanya tentang itu.

"Esok pun boleh Mak Tam. Memang Zana takda buat apa pun sekarang ni." Kalau tak mula esok, kebarangkalian dia perlu tinggal di rumah bersama Taufik amat tinggi. Makcik Lailanya sudah tentu keluar bekerja.

"Bagus gak tu. Zana datang sini esok ya. Nanti Mak Tam beritahu Dato. Sebab Dato nak jumpa Zana dulu." Mana mungkin Farid nak ambil sembarangan orang untuk jaga rumah dan mummy kesayangannya. Kenalah tengok orangnya dulu.

"Okey Mak Tam." Zana angguk kepala walaupun dia sedar yang Mak Tam tak nampak pun dia.

Malam itu Zana dapat tidur dengan lena. Gembira bila kini dia sudah tidak dilabel penganggur. Yang Zana terlupa cuma satu sahaja. Dia perlu berjumpa dengan Dato Farid terlebih dahulu. Kalau Dato setuju, barulah dia boleh bekerja di situ. Kalau tidak, memang kena terus sambung cari kerja lain.

"Eh Zana. Buat apa kat sini? Nak jumpa Mak Tam ke?" Masuk sahaja ke dalam perkarangan rumah mewah milik Dato Farid, Zana disapa Daud. Terkejut juga dia melihat wajah gadis tersebut pagi-pagi ni.

"Iskh abang ni. Terkejut Zana. Tiba-tiba tegur Zana macam tu." Urut dada si Zana sambil sedikit kerling pada Daud. Dia langsung tak pandang kiri kanan tadi. Fokus pada pintu utama rumah dari tadi. Entah kenapa sejak pagi tadi hatinya rasa gelisah semacam.

"Sorry la. Ingatkan Zana perasan abang berdiri kat tepi kereta ni dari tadi." Ada sisa ketawa terukir di bibir Daud. Gelihati melihat wajah Zana bila terkejut.

"Apalah abang ni. Zana nak mintak kerja dekat sini. Mak Tam telefon malam tadi. Katanya Dewi nak balik Indonesia, jadi takda orang nak ganti tempat dia buat sementara waktu. Itu yang Zana cuba nasib ni." Hatinya jadi semakin gelisah. Apa semua ni? Takkanlah sebab nak jumpa dengan Dato Farid pun nak secuak begini.

"Yelah, Dewi nak balik Indonesia. Nak tengok mak dia. Oh, tu kot sebab Dato lambat sikit pergi kerja hari ni. Dia tunggu Zana rasanya. Pergilah masuk. Dato ada kat dalam. Mak Tam pun." Ujar Daud seraya memandang ke arah pintu utama.

Zana pun tak tunggu lama. Segera kaki melangkah menghampiri pintu utama rumah tersebut.

Baru sahaja dia hendak mengetuk pintu tersebut, ada seseorang membukanya dari dalam.

Seorang lelaki.

Pandangan lelaki tersebut tepat menembusi ke dalam anak mata Zana. Begitu juga dengan Zana. Seperti ada tarikan magnet antara mereka.

"Zana?"

"Ya saya. Dato Farid?" Zana pakai agak sahaja. Dia tak pasti samada lelaki di hadapannya itu adalah Dato Farid atau tidak. Kalau dulu masa dia bekerja dengan syarikat Dato pun, manalah pernah dia dekat dengannya. Tengok dari jauh itu pun boleh kira berapa kali sahaja. Memang tak ingatlah sangat rupanya.

"Ya saya. Jom masuk." Dilemparkan senyuman yang buat jantung Zana berdegup kencang. Zana sendiri tak tahu kenapa. Mungkin sebab tak pernah lelaki kacak pandang dan lempar senyuman semanis itu padanya. Boleh masuk kategori lelaki pujaan wanita ni. Aku pun ala dah terpikat ke? Iskh, buang perasaan tu Zana oi. Dia bakal jadi majikan kau.

Pintu dibuka sedikit luas untuk membenarkan Zana masuk.

Usai masuk sahaja ke dalam rumah, dilihatnya Mak Tam sedang berdiri di tepi. Memandangnya dengan wajah ceria.

"Duduk Zana." Terlupa pula Zana tentang Farid.

"Terima kasih Dato." Zana sedikit tunduk hormat padanya sebelum melabuhkan punggung di atas sofa empuk yang disusun kemas di ruang tersebut. Sempat dia kerling pada Mak Tam sebelum Mak Tam hilang entah kemana. Ke ruang dapur agaknya.


P/S: Moga dapat diterbitkan dalam tahun ni. Jadi koleksi novel Hairynn Salehuddin yg ke6. Aaminn. 

Hati Ini Milik DiaWhere stories live. Discover now