"Aku terima nikahnya Nur Jaan Binti Mohamad Ali dengan mas kahwin satu ratus ringgit, tunai." Firas bersuara dalam satu nada.
Tangan yang berada dalam genggaman tok kadi digoyangkan sedikit.
"Sah?" Tok kadi memandang tiga orang saksi di belakang.
"Sah..." Semuanya menjawab serentak.
"Alhamdullilah!" Tok kadi mengangkat tangan dan meraup ke wajah.
Firas turut melakukan perkara sama. Hembusan nafas lega terlahir di bibir. Tok kadi memulakan bacaan doa sehingga tamat. Kemudian, Firas bangun menyalami tangan ayah Jaan dan papanya.
"Jaga anak ayah baik-baik," pesan Encik Ali.
Firas mengangguk.
"Insya-Allah ayah. Terima kasih kerana terima saya sebagai menantu."
Encik Ali menepuk belakang Firas sebelum beredar untuk bersalaman dengan tetamu lain. Firas mendekati papanya pula.
"Jadi suami yang baik dan bertanggungjawab." Datuk Rahim bersuara sambil menarik tubuh Firas ke dalam pelukan.
"Insya-Allah pa."
"Dah. Pergi jumpa Jaan." Datuk Rahim menolak sedikit tubuh si anak agar mendekati pengantin perempuan yang sedang menunggu di pelamin.
Firas tersenyum lebar. Dia berjalan mendekati pelamin dan duduk di sebelah Jaan yang cantik mengenakan busana warna kelabu cair. Selendang warna senada yang menutup kepala Jaan membuatkan gadis itu nampak semakin cantik di mata Firas.
"Assalamualaikum," ujar Firas perlahan.
Jaan mengangkat muka dan mereka berbalas pandangan.
"Waalaikumusalam."
"You nampak cantik hari ni," puji Firas.
"You pun sama. Nampak terlebih kacak sejak dah jadi suami orang ni." Jaan pula membalas.
Mereka sama-sama ketawa. Latif selaku pengapit sebelah lelaki mendekati dan menghulurkan satu kotak berbaldu biru kepada Firas. Firas menyambut dan membukanya. Terserlah seutas gelang tangan bersalut emas putih menyapa mata.
Gelang dikeluarkan lalu Firas membawanya ke hadapan muka. Memahami isyarat tersebut, Jaan menghulurkan tangan kanan kepada encik suami. Tanpa membuang masa gelang itu disarung ke pergelangan tangan pengantin perempuan sebagai tanda membatalkan air sembahyang. Jaan tunduk dan mencium belakang tapak tangan Firas.
Selepas itu Firas membaca lafaz taklik di hadapan isteri yang baru saja dinikahinya bersaksikan pegawai-pegawai agama serta ahli keluarga mereka. Hati Jaan sedikit terusik mendengar setiap bait yang dilafazkan Firas. Dalam hati dia berdoa semoga rumahtangga yang baru dibina ini akan kekal sehingga ke akhir hayat.
"Alhamdullilah. Semuanya dah selesai," ucap Datin Syafiqa lalu tubuh Firas dan Jaan dipeluk kejap.
"Terima kasih mama."
Jaan tersenyum senang. Gembira apabila dia diterima baik oleh keluarga Firas. Walaupun keluarga lelaki itu berpangkat dan berstatus besar, namun mereka tidak langsung menyombong diri atau berlagak. Jaan bersyukur melihat ibu dan ayahnya serta mama dan papa Firas berbual mesra tanpa terlihat kekok. Tanpa sedar dia teringat akan tingkah laku keluarga Hal yang jauh berbeza.
"Dinda..." Panggilan Firas menarik perhatian Jaan.
Dia menoleh memandang ke sebelah. Bibir masing-masing tidak lekang dengan senyuman. Firas menghulurkan tangan lalu disambut Jaan. Genggaman mereka bertaut erat. Tiba-tiba terdengar ada esakan syahdu di atas pelamin itu. Firas dan Jaan serentak menoleh kepada si empunya tangisan.
YOU ARE READING
DINDA JANGAN MARAH-MARAH (COMPLETED)
RomanceBacaan untuk habiskan masa lapang di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kisah tentang Jaan aka Cik Singa dan Firas aka Mamat Lif. Bertemu tidak dirancang, tetapi jodoh kuat menyatukan. Dalam gaduh ada sayang. Bila masing-masing...