Kad jemputan yang berada di tangan membuatkan Jaan mendengus kurang senang. Kad berwarna kelabu itu dicampak kasar ke atas meja.
"Err... Cik Jaan?"
Suara Latif kedengaran bersama ketukan di pintu bilik. Jaan menjeling dengan mata tajam menikam ke wajah lelaki itu.
"Masuk!" arah Jaan.
Dia memerhatikan gelagat Latif yang perlahan bergerak menghampiri mejanya. Kemudian Latif menarik kerusi dan duduk di situ. Sekali lagi pandangan Jaan dihalakan tepat ke wajah lelaki itu yang sedang tersengih-sengih.
"Apa senyum-senyum?" Marah Jaan.
Latif menggaru belakang kepala.
"Sorry..." Akhirnya Latif bersuara juga. Dia menayang barisan giginya yang sedikit besar.
"Untuk?" Jaan menduga. Dia memang sengaja memanggil Latif untuk ke biliknya. Kejadian di lif pagi tadi masih membuatkan dia sakit hati.
"Sebab aku gosip pasal kau. Sorry tau."
"Tahu pun. Mulut kau tu..." Jaan menayang penumbuk. Latif bingkas bangun dari duduk dengan tawa terlahir di bibir. "Nasib baik kau kawan aku Latif. Kalau orang lain memang dah kena." Jaan memberi amaran sebelum bersandar ke kerusi dan berpeluk tubuh.
Tawa Latif masih bersisa.
"Tapi, memang betul pun budak ofis ni semua panggil kau Cik Singa. Garang!" Latif masih ingin mengusik. Jaan membulatkan mata.
"Tadi dah minta maaf. Ni kau mengata aku lagi."
"Yalah... yalah." Latif mengangkat tangan. "Kalau tak ada apa aku keluar dulu."
"Kejap. Aku nak tanya sesuatu. Siapa yang naik lif dengan kau pagi tadi?" soal Jaan dengan kening diangkat.
Latif mengerut dahi.
"Siapa? Firas?"
"Manalah aku tahu nama dia. Sebab tu aku tanya. Lelaki yang pakai kemeja warna biru tadi. Yang bergosip dengan kau." Jaan menerangkan lebih lanjut.
Perlahan-lahan senyuman lebar terlakar di bibir Latif. Lelaki itu berpeluk tubuh dengan mata sengaja dikecilkan memandang Jaan.
"Kalau yang tu housemate aku. Nama dia Firas. Kenapa tanya?"
"Saja." Jaan mencebik.
"Iya ke saja. Macam..." Latif menduga.
"Macam apa?" Laju Jaan memotong.
"Kau nak... aum dia!" Latif mengusik siap menggengam tangan sendiri. Seperti mengaum. Tidak sampai lima saat lengannya dipukul dengan fail oleh Jaan. Latif ketawa.
"Kau ingat aku apa? Singa?"
"Memang pun."
"Latif! Dah, pergi buat kerja kau." Jaan menjeling. Dia membuat isyarat tangan agar lelaki itu keluar dari biliknya.
Latif memusingkan badan seolah-olah hendak beredar, namun seketika dia berpaling semula ke meja Jaan."Kalau nak nombor telefon dia beritahu aku. Jangan malu jangan segan. Aku sedia membantu." Latif masih mengusik dan terus berlalu keluar dari situ.
Sekali lagi Jaan mengetap bibir. Hantu punya kawan!
+++
Firas menggeliat kecil sambil menutup mulut dengan belakang tapak tangan. Mengantuk! Jam dinding yang menunjuk ke pukul 2.00 pagi dikerling sekilas. Dia baru selesai menaip coding untuk digabungkan dengan coding sistem utama esok. Sebagai ketua dia perlu memastikan setiap coding berfungsi dengan baik dan tiada error.
"Wei, tak tidur lagi?" Teguran Latif di muka pintu bilik sedikit mengejutkan Firas.
"Terkejut aku. Kau bangun kenapa?" Firas pula bertanya. Tangannya menutup suis komputer dan dia bangun berdiri.
"Dahaga," jawab Latif perlahan sambil menguap besar.
Firas mengikut Latif menuju ke dapur. Dia juga mahu minum air sebelum tidur. Firas memandang si sahabat yang rakus meneguk air masak sejuk."Macam mana Cik Singa kau hari ni?"
"Uhuk!" Latif tersedak mendengar soalan Firas yang tiba-tiba itu. Firas menggeleng sambil menghulur tisu.
"Minum tu sopan sikit," tegur Firas.
"Tak. Aku tersedak sebab soalan kau tu. Apasal tanya pasal Cik Singa?" Selepas batuknya reda baru Latif membalas.
Firas mengangkat bahu."Saja nak tanya."
"Eleh... Jawapan kau dengan Jaan tu sama je." Latif ketawa. Dia berjalan ke singki dan membasuh gelas yang diguna tadi.
"Kenapa? Dia ada tanya pasal aku ke?" soal Firas penuh minat.
Latif tidak terus menjawab. Selepas siap membasuh, dia berjalan melepasi Firas dan menuju ke biliknya. Firas mengerut dahi. Baru dia hendak bergerak ke bilik sendiri, Latif menghampiri sambil membawa secebis kertas.
"Nah!" Latif hulur kertas itu kepadanya. Firas melihat ada nombor telefon tertulis di situ.
"Nombor siapa?"
"Jaan. Kau tanya pasal dia, dia tanya pasal kau. Menyampah pula aku. Senang aku bagi nombor dia." Selamba Latif bersuara sebelum berlalu.
Sekali lagi Firas melihat nombor di tangan. Dia tersenyum lalu kertas itu dibawa masuk ke dalam bilik.
YOU ARE READING
DINDA JANGAN MARAH-MARAH (COMPLETED)
Storie d'amoreBacaan untuk habiskan masa lapang di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kisah tentang Jaan aka Cik Singa dan Firas aka Mamat Lif. Bertemu tidak dirancang, tetapi jodoh kuat menyatukan. Dalam gaduh ada sayang. Bila masing-masing...