Pang!
Satu tamparan kedengaran kuat dan membuatkan semua terdiam. Jaan terkesima bersama mata yang membulat besar. Perlahan-lahan kepalanya ditoleh ke sebelah. Tangan kanan Datin Syafiqa masih berada tinggi di hadapan muka Puan Rohaya.
"Datin!" Puan Rohaya menjerit lantang gara-gara terkejut.
"Mama..." Jaan juga bersuara.
"Kenapa datin tampar muka I?" Puan Rohaya memegang pipinya yang terasa pijar.
Mata Datin Syafiqa mencerlung bulat memandang si sahabat. Tangan kanan diturunkan dengan badan sengaja didekatkan kepada Puan Rohaya.
"You boleh mengata I, tapi you tak ada hak nak mengata anak dan menantu I." Marah Datin Syafiqa.
Nampak Puan Rohaya sedikit terhenyak melihat amarah wanita itu. Jaan di sebelah juga terkejut dengan tindakan ibu mentuanya. Tidak sangka yang Datin Syafiqa menyebelahi dirinya. Dalam hati dia benar-benar terharu.
"I..."
"Dahlah. You pergi balik. Kisah anak you dan menantu I adalah kisah lampau. Sekarang Jaan ni menantu I. Pilihan hati anak lelaki I. Kalau ada sesiapa yang burukkan menantu I, siaplah orang tu," sambung Datin Syafiqa dengan nada suara keras.
Puan Rohaya kelihatan terkulat-kulat apabila dimarahi begitu. Hal yang dari tadi diam mula menarik tangan mamanya pergi dari situ. Jaan mengetap bibir sambil mendekati Datin Syafiqa.
"Mama..." Panggilnya.
"Tak payah terangkan. Mama kenal anak mama. Dia tak akan pilih Jaan kalau Jaan adalah perempuan yang macam Rohaya cakap tu."
Bibir Jaan tersenyum lebar.
"Terima kasih mama."
Kini Datin Syafiqa pula menyimpul senyum. Tangan Jaan dipegang dan ditepuk lembut. Mereka beriringan masuk ke dalam rumah. Waktu itu Firas baru turun dari tingkat atas. Firas menghampiri Jaan dan Datin Syafiqa.
"Senyum aje dua wanita kesayangan ni," ujar Firas seraya keningnya diangkat tinggi.
Datin Syafiqa dan Jaan berpandangan lalu bertukar tawa. Firas berjalan dan duduk di sofa ruang tamu. Dia bersandar sambil memeluk tubuh. Pelik melihat mama dan isterinya mesra semacam.
"Ada apa-apa nak kongsi dengan Firas ke?" Dia menyoal.
"Tak ada apa. Hal orang perempuan." Datin Syafiqa menjawab selamba.
Firas terangguk-angguk. Jaan mendekati dan melabuhkan punggung di sebelah encik suami. Sengaja badannya didekatkan kepada Firas.
"Malam ni you boleh tidur dalam bilik," bisik Jaan rapat ke telinga Firas.
Pada mulanya lelaki itu mengerut dahi, tetapi selang beberapa saat barulah bibirnya tersenyum lebar. Datin Syafiqa yang melihat telatah anak dan menantunya itu turut tersenyum. Dia menepuk bahu Firas.
"Pergilah naik. Mama tengok senyuman tu pun dah lain macam," usik Datin Syafiqa.
Muka Jaan terus berona merah. Nak-nak apabila ibu mentuanya itu menjeling ke arahnya sambil berkata, "Mama pun tak sabar nak timang cucu."
"Baik, mama!" Firas menjawab laju.
Jaan mengetap bibir. Jarinya laju mengutil perut lelaki itu. Rasakan!
"Sakit dinda..."
"Tahu pun. Mulut tu." Jaan menunjuk ke mulut Firas.
Tanpa amaran lelaki itu membuka luas mulutnya dan menggigit jari telunjuk Jaan. Jaan membulatkan mata.
"Firas!"
"Kanda..." Firas membetulkan dengan muka tidak bersalah.
Sekali lagi Jaan mencubit Firas. Kali ini lebih kuat. Lelaki itu bangun dan melarikan diri ke atas. Jaan menggeleng. Dia mengerling ke sebelah dan baru perasan Datin Syafiqa sudah tiada di situ. Mukanya kembali berona merah mengingatkan pasti ibu mentuanya itu melihat aksi dia dan Firas tadi.
+++
"Kanda?"
Jaan memanggil sebaik dia terjaga awal pagi itu. Mata mengerling ke arah jam dinding yang menunjukkan ke pukul 3.30 pagi. Dia bangkit sambil membetulkan rambut. Baru kakinya melangkah turun dari katil, terdengar suara Firas sedang bercakap. Jaan mengerut dahi.
"Kanda?" Dia memanggil lagi.
Jaan membetulkan baju tidurnya lalu bergerak ke beranda. Langsir yang ditiup angin bergerak-gerak menandakan sliding door itu terbuka. Suara Firas juga datangnya dari situ. Jaan melangkah hampir namun kakinya terhenti apabila terdengar butir perbualan encik suami.
"Stop it, Ra! I dah kahwin. You jangan telefon I lagi." Firas bersuara dengan nada sedikit keras.
Jaan berpeluk tubuh. Keningnya bertaut rapat mendengar nama yang disebut lelaki itu. Ra? Hatinya mula disapa perasaan kurang enak. Perlahan dia menyelak langsir dan mendekati Firas. Lelaki itu belum perasan akan kehadirannya. Tanpa membuat sebarang bunyi, Jaan memeluk badan Firas dari belakang.
"Dinda!" Lelaki itu terkejut dengan mata membulat.
Jaan senyum. Selamba dia lekapkan pipi di belakang tubuh encik suami. Tangan pula dibiarkan erat terikat di pinggang lelaki itu. Firas memusingkan badan untuk menghadap Jaan. Kini mata mereka bertatapan.
"You bercakap dengan siapa?" bisik Jaan dengan suara manja.
"Ermm..." Firas nampak serba salah.
Jaan mengerling telefon pintar lelaki itu. Dengan senyuman penuh makna dia mengambil telefon itu dan dilekap ke telinga.
"Helo," ujar Jaan kepada pemanggil.
Sunyi. Tiada balasan dari orang seberang sana. Yang kedengaran hanya bunyi deruan nafas.
"Kalau ada apa-apa boleh telefon siang esok ya. Sekarang Firas kena layan isteri dia. Jadi, tak nak ada gangguan." Jaan bercakap.
Terdengar rengusan dari orang sana.
"Mana Firas?" Barulah ada suara perempuan membalas.
Jaan tersenyum. Dia bukan wanita yang akan membiarkan wanita lain mengganggu suaminya. Memang silap besar siapa yang mencari gaduh dengannya.
"Suami I? Ada ni," jawab Jaan sambil tangan kiri sengaja menarik Firas rapat kepadanya.
Firas membiarkan. Dia tahu permainan apa yang sedang dibuat Jaan.
"Dia tak boleh bercakap sekarang. Tengah sibuk..."
Belum sempat Jaan menghabiskan ayat, pemanggil di sana terus mematikan talian. Jaan melihat skrin telefon dan dihulurkan kembali kepada Firas.
"Dah letak. Takutlah tu." Jaan mencebik.
Firas menggeleng. Tangannya menarik Jaan dan sengaja matanya menikam tepat ke wajah isterinya itu.
"Garang betul dinda I ni."
"Eh, mestilah. Perempuan mana kacau kanda I tengah pagi buta ni? Memang nak kenalah." Jaan ketawa.
"Bukan salah I. Dia yang call dulu," jelas Firas.
Jaan mengecilkan pandangan seraya membaca air muka Firas.
"Bekas teman wanita you?" duga Jaan.
Dia lihat lelaki itu mengangguk-angguk.
"Okey. Kalau bekas je tak apa. Jangan dia nak caras you sudah. Siap I kerjakan. Dengan you sekali I kerjakan." Jaan memberi amaran.
Firas ketawa.
"Dinda jangan marah-marah. Takut nanti lekas tua." Sengaja dia menyanyi rangkap lagu Dinda nyanyian kugiran Masdo. Mahu mengusik si isteri.
"You jangan buat hal. I dapat tangkap, siap!" Sekali lagi Jaan mengingatkan.
Belum sempat Firas menjawab, Jaan sudah menarik tangannya masuk ke kamar. Dari air muka cik isteri, dia tahu Jaan tidak main-main. Jangan bangunkan singa yang tengah tidur. Naya!
YOU ARE READING
DINDA JANGAN MARAH-MARAH (COMPLETED)
RomanceBacaan untuk habiskan masa lapang di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kisah tentang Jaan aka Cik Singa dan Firas aka Mamat Lif. Bertemu tidak dirancang, tetapi jodoh kuat menyatukan. Dalam gaduh ada sayang. Bila masing-masing...