"Siapa nama you?"
Jaan menelan liur. Pertanyaan yang keluar dari mulut mama Firas itu membuatkan dia sedikit berdebar. Dalam hati sedang mendongkol geram. Menyesal dia naik ke pejabat Firas ini!
"Saya Jaan. Nur Jaan," jawab Jaan perlahan.
"Dah lama kenal Firas?" Wanita itu bertanya lagi.
Cepat-cepat Jaan menggeleng. Dia mengerling Firas yang duduk bertentangan dengannya. Lelaki itu sedang memberi isyarat mulut, tetapi Jaan tidak dapat menangkap apa yang Firas cuba sampaikan. Dia kembali memandang Datin Syafiqa, mama Firas.
"Baru..."
Tidak habis Jaan bersuara, percakapannya dipotong Datin Syafiqa. Wajah wanita itu menyinga marah.
"Baru kenal? Dah sibuk mengaku tunang?" Lantang wanita itu bersuara.
Jaan menelan liur. Dia mengerling Firas meminta pertolongan.
"Mama, Jaan tak habis cakap lagi. Dia nak cakap tadi, kami baru kenal beberapa bulan. Kan?" Firas memandang Jaan. Kepala lelaki itu memberi isyarat angguk agar Jaan mengiakan.
"Err... ya aunty. Eh, datin..." Kalut Jaan mengiakan. Tidak pernah-pernah dia menjadi segagap ini.
Kali ini barulah wajah Datin Syafiqa sedikit tenang. Wanita itu bersandar pada kerusi sambil mencapai cawan minuman dan dibawa ke mulut."Habis tu, bila nak buat majlis bertunang?"
Jaan dan Firas saling berpandangan. Tidak faham soalan yang sedang diaju Datin Syafiqa.
"Ha?" Jaan mengangkat kening."Apa maksud mama?" Firas juga bertanya.
"Bila nak buat majlis bertunang betul-betul? Jangan kata kau orang main-main je?" Datin Syafiqa kembali meninggikan suara.
Jaan membesarkan mata, sementara Firas sudah menarik senyuman lebar."Datin... sebenarnya..."
"Mama jangan risau. Nanti dah confirm tarikh Firas beritahu," jawab Firas laju sekaligus memotong ayat Jaan.
Jaan menjeling lelaki itu.
"Kamu dah jumpa orang tua Jaan? Dah minta izin mereka?" Datin Syafiqa memusingkan badan menghadap anak lelakinya.
Firas menyeringai sengih.
"Yang itu balik rumah nanti kita bincang ya, mama." Cepat-cepat Firas memintas. Dia melihat jam tangan sebelum kembali bersuara.
"Dah lewat ni. Jaan kena masuk pejabat dia. Nanti bos marah."
Datin Syafiqa berpaling pula kepada Jaan yang dari tadi mendiamkan diri. Kepalanya diangguk. Datin Syafiqa bangkit dan menghulurkan tangan kepada Jaan. Pada mulanya Jaan teragak-agak, tetapi dia menyambut jua huluran wanita itu.
"Nanti kita jumpa lagi. Banyak perkara nak bincang," beritahu Datin Syafiqa. Nadanya biasa sahaja. Tidak marah, tidak juga gembira.
"Baik datin. Kalau macam tu saya minta diri dulu." Jaan tunduk menyalami tangan wanita itu sebelum dia beredar.
Selepas kelibat Jaan hilang dari pandangan, Datin Syafiqa memandang si anak bujang yang sedang tersengih-sengih. Dia kembali duduk di kerusi.
"Lebar senyum tu. Firas betul sukakan dia?" soal si ibu.
Firas ketawa kecil bersama anggukan.
"Dah lama Firas suka dia. Tapi, baru sekarang berani nak luah." Cerita Firas jujur. Ya, dia tidak pernah beritahu sesiapa perihal hal ini. Bahkan, Jaan dan Latif juga tidak tahu sebenarnya dia sudah lama menyukai Jaan.
"Tapi, mama tengok dia macam tak sukakan Firas. Atau mama yang salah pandang?" duga Datin Syafiqa.
"Mama jangan risau."
"Mama tak nak Firas terluka."
Firas senyum. Bahu mamanya dipeluk kemas sebagai tanda tidak perlu risau. Firas yakin Jaan sebenarnya sudah mula menerima dirinya. Maka, dia mahu melangkah ke tahap seterusnya. Dia tidak mahu kehilangan Jaan.
+++
"Okey, jelaskan dekat I sekarang. Apa rancangan you Firas?"
Itu ayat pertama yang keluar dari mulut Jaan sebaik mereka bertemu selepas habis waktu kerja. Jaan berpeluk tubuh. Mereka sekadar berdiri di hadapan pintu masuk utama bangunan. Firas memasukkan kedua-dua belah tangan ke dalam poket seluarnya.
"I nak bertunang dengan you," luah Firas selamba.
Jaan membulatkan mata. Mulutnya hampir terlopong mendengar bicara lelaki itu.
"You dah gila ke Firas? Kita baru kenal, you dah ajak I bertunang? You nak prank I ke apa?" selar Jaan dengan wajah memerah.
Firas menggeleng kepala.
"I serius. I dekati you memang dengan niat nak sampai ke fasa perkahwinan. I bukan suka-suka nak baik dengan you."
Luahan Firas itu membuatkan Jaan terdiam. Anak matanya menjelajah wajah Firas mencari kebenaran dalam kata-katanya. Firas membalas pandangan Jaan.
"I dah lama suka dekat you, Jaan. Hari-hari I tengok you naik lif. Nak tegur, I tak berani. Rupa-rupanya you satu pejabat dengan Latif." Cerita Firas dengan tawa halus.
Sekali lagi Jaan terdiam. Dia terkejut mendengar luahan Firas. Lelaki itu nampak ikhlas saat menceritakan isi hatinya itu. Perlahan, Jaan menundukkan kepala. Ada satu rasa asing menyelinap masuk ke dalam hati.
"I... I tak pernah tahu you selalu perhatikan I." Jaan bersuara perlahan.
Firas ketawa.
"Memanglah. Sebab you serius sangat. Setiap kali I nampak you, muka you masam je. Patutlah Latif panggil Cik Singa," usik Firas.
Kali ini jaan juga ketawa.
"Latif tu memang."
"I ikhlas nak kawan dengan you, Jaan. Kalau you rasa I lelaki yang tepat untuk you, I harap you dapat terima lamaran I."
Selepas tawa mereka reda, Firas kembali bersuara. Jaan menghembus nafas dan perlahan dia menganggukkan kepala.
"Bagi I masa untuk fikir dulu. Boleh?" tanya Jaan.
"Untuk you semua boleh. You kan dinda I." Firas sengih.
Jaan menjeling. Dalam tidak sedar bibirnya turut membalas senyuman lelaki itu. Aneh. Kali ini perkataan 'dinda' itu membuatkan hatinya sedikit berbunga. Dia tidak marah. Bahkan dia senang mendengar lelaki itu memanggilnya sebegitu.
"Dah. Dua-dua tersengih macam kerang busuk."
Suara Latif kedengaran lantang dari sisi. Firas dan Jaan automatik mengangkat kepala. Latif sedang berjalan menghampiri mereka bersama muka cemberut.
"Sakit pula hati aku tengok kau orang berdua ni. Nak dating pergi tempat lainlah. Depan aku juga. Saja nak buat aku jealous," ujar Latif dengan nada pura-pura merajuk.
Jaan dan Firas berpandangan sebelum mereka berlaga tawa.
"Dah-dah. Jom, balik. Bye Jaan." Dengan selamba Latif menarik lengan Firas. Ala-ala berpaut lengan. Sebelah lagi tangan Latif lambaikan kepada Jaan.
"Kau jangan cemburu. Sekarang boyfriend kau ni, aku yang punya. Esok-esok dah kahwin baru dia jadi kau punya. Okey?" Latif mengenyit mata.
Jaan menggeleng dengan mata dikecilkan.
"Mengadalah kau Latif." Jaan mengangkat tangan acah-acah hendak memukul. Menggeliat badan Latif hendak mengelak.
Firas ketawa melihat telatah dua orang itu.
"Hati-hati memandu. Kalau dah sampai rumah you beritahu I," pesan Firas kepada Jaan.
Dengan muka sedikit merah, Jaan mengangguk.
Pelik! Dia begitu mudah mendengar kata lelaki itu. Adakah sebenarnya dia juga sudah menyukai Firas?
Apa yang pasti hatinya tidak lagi gundah-gelana seperti pagi tadi.
YOU ARE READING
DINDA JANGAN MARAH-MARAH (COMPLETED)
RomansaBacaan untuk habiskan masa lapang di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kisah tentang Jaan aka Cik Singa dan Firas aka Mamat Lif. Bertemu tidak dirancang, tetapi jodoh kuat menyatukan. Dalam gaduh ada sayang. Bila masing-masing...