15🐞JALAN-JALAN

47 18 0
                                    

          NAFAS yang sesak sedaya-upaya ditenangkan. Hujan lebat di luar cukup menambah seri malam yang kesunyian.

Waktu-waktu beginilah aku rasa terlalu rindu. Rindu akan belaian kasih mereka yang aku sayang.

Rindu dengan zaman budak-budak walaupun tidak terlalu bebas dan agak kesunyian.

Rindukan cerita hikayat yang diperdengarkan sebelum lena dijemput.

Terbuai dengan dodoian abah. Oh Akim, kau sungguh cengeng.

Aku duduk bersila dengan tangan yang setia di atas riba. Sejak akhir-akhir ini, mimpi itu sentiasa hadir. Sentiasa merasakan diri ini diekori maka tidurku sukar untuk lena. Sesuatu yang tidak kena atau aku ada sakit apa-apa?

Mungkin. Mungkin aku terlalu banyak berfikir.

Langkah kakiku dibawa menuju ke dapur. Di situ, jag air yang tersimpan elok di dalam peti diambil dan dituangkan ke dalam gelas. Duduk aku labuhkan di atas birai singki yang disimen lalu air itu diteguk perlahan-lahan setelah membaca basmalah. Air yang mengalir di kerongkong tak terlalu sejuk. Lega.

Aku memandang setiap inci ruang dapur usai membasuh gelas yang digunakan. Lampu tidak dinyalakan seperti kebiasaannya bagi mengelakkan tidur Azri terganggu. Hanya cahaya dari lilin yang setia menemani.

Aku memandang Azri yang terbaring di sofa. Oh, kenapa aku baru perasan yang dia simpan janggut. Senyumku melebar. Tak pernah-pernah perangai tu muncul sebelum ni. Aneh.

Setiap derap kakiku hampir tiada bunyi. Aku berjalan dan terus berjalan. Ayat kursi yang diamalkan dibaca, kedua-dua tapak tangan ditekapkan ke pintu.

Seperti biasa, baldi disandarkan di pintu bagi menggantikan kunci rumah. Aku mahu cari sendiri apa yang dimusykilkan orang kampung.

Hujan yang tadinya lebat mula renyai-renyai seakan-akan maklum akan niatku yang ingin keluar. Rumah-rumah di sini kebanyakannya gelap. Jam sudah menginjak pukul dua pagi atau mungkin lebih. Tiada kenderaan yang lalu-lalang lagi. Anak-anak muda di kampung ini sudah maklum dan tidak berani keluar seperti sebelum ini.

Derap langkah kakiku bergema akibat kantuk yang mula menguasai diri. Selipar yang tersarung di kaki diseret perlahan-lahan sebelum digagahkan kembali. Tak elok!

Aku celikkan mata luas-luas dan tak semena-mena langkahku diekori. Derap langkah mereka laju, mengejar dan melaung agar aku berhenti.

Aku dapat mengagak bahawa mereka mungkin orang kampung yang mengawasi kawasan ini pada waktu malam maka langkahku diberhentikan mengikut arahan mereka.

Bahuku disentuh, nafasnya sesak dan aku semakin tenang.

Aku berpusing ke belakang. Bola mataku membesar. Patutnya ia boleh diagak.

Kosong!

Aku berusaha mengabaikannya dengan lafaz zikrullah di mulut. Hati pula memainkan peranan dengan menterjemahkannya beserta doa.

"Kau buat apa?" suara itu berbisik dengan nada yang beralun.

Aku masih berjalan dengan reaksi muka yang tertahan. Mata ingin mencari namun akal membataskan pergerakan.

"Asy okey?"

Sekali lagi, aku abaikan.

"Asy nak aku tolong apa ni? Cuba cakap? Aku tak faham la," rengeknya lagi.

Aku masih mengelak daripada membuka mulut. Angin laju bertiup di telingaku beserta dengan hilaian tawa yang cukup menjengkelkan.

Lampu jalan yang sedia terang di situ membuka iramanya yang tersendiri. Tertutup dan terpasang semula buat beberapa kali bagai kerlipan mata.

JANJI MISTERIWhere stories live. Discover now