Hidup itu seperti pasar besar, berjalanlah di sana dan ambil apa yang kamu sukai dari yang ditawarkan, tetapi ingat perhitungan ada di hadapanmu. Kamu akan membayar semua yang kamu telah ambil.
Dia cuba melawan arus tetapi tidak terdaya. Segalanya menjadi putih pada pandangan mata. Rasa sejuk menyucuk hingga ke liang roma.
Mungkin ini hanyalah satu usaha yang sia-sia. Terkapai kemudian tenggelam kembali. Hujung kakinya tak dapat menjejak ke lantai bumi. Tangan pula sudah penat mencari sesuatu untuk disambar.
Air memenuhi segala rongga.
Tekaknya mula berpasir. Tersekat-sekat cuba mencari pernafasan yang semakin menghilang.
Mungkin begini pengakhiran hidup yang selama ini tak pernah terfikir dek akal. Saat-saatnya indah apabila telah menunaikan janji kepada Zack. Farah Ain juga bebas dari penjahat-penjahat itu. Sungguh, Allah telah permudahkan urusannya buat hari ini.
Semoga mereka akan hidup bahagia tanpanya. Bayangan wajah Zack dan Farah Ain menemaninya tika itu.
"Ayah ti-tipu... Tsk.."
Senyuman nipis terukir di bibir Salman, hampir terlupa pula tentang si kecil ini.
"Jadi anak yang soleh, jangan kuat menangis. Dengar cakap doktor Aisyah, dia akan jaga adik sebab ayah tak mampu nak tunaikan janji ayah pada adik," bisik hatinya. Raut wajah kanak-kanak itu cuba disentuh.
Ayah minta maaf.
Matanya mula terpejam lemah. Darah yang mengalir dibawa air sungai jernih tanpa henti. Tiada satu bahagian tubuh pun yang terapung ke udara saat itu.
Perlahan-lahan tubuh pemuda itu ingin tenggelam ke dasar.
"Adik cimpan untuk ayah."
"Adik antuk."
"Ayah nangis te?"
Ayah tak menangis tapi ayah gembira dapat berpeluang untuk jaga adik walaupun seketika. Cukuplah tu.
Tekanan kuat yang diberikan ke dada bidangnya menyentakkan minda separuh sedar. Daya yang sama diberikan buat beberapa kali setelah gagal memberi bantuan pernafasan.
Rasa sakit itu semakin kuat sehingga dia terpaksa memuntahkan air yang menyeksa rongga pernafasan. Badannya dibantu bagi mengiring dan memuntahkan segala isi perut. Dia terbaring lemah kembali tanpa kudrat. Pandangannya yang kabur tak mampu mengesani bayangan yang sedang memeriksa segala sudut tubuhnya. Meskipun dia tak memeriksa nadi, tetapi degupan jantung sendiri dapat dirasai rentaknya. Perlahan sahaja ia berdegup.
Udara dihirup perlahan-lahan bagi bertahan. Seluruh tubuhnya terasa sakit dan lemah. Air matanya mengalir tanpa sedar.
Sedar dirinya telah berada di darat. Cahaya menerjah masuk ke retina mata tanpa penghadang. Salman menurunkan sedikit kelopak matanya. Awan senja diamati seketika. Segala bising suara di sisi langsung tidak kedengaran
Nafasnya terasa berat sekali saat itu.
Ketika tubuhnya ke udara, tak henti rasa sakit seakan-akan menyiat kulit sendiri. Mata lemah itu terkatup akhirnya setelah penat menguatkan diri.
***
DUSH
Satu tumbukan menyinggah pipi Naufal meskipun lelaki itu belum sempat menghabiskan ayat. Dada Zack berombak laju setelah melepaskan tumbukan itu. "Kau jangan nak tipu aku."
Naufal terduduk di atas katil sambil memegang pipinya yang kesakitan. "Aku tak tipu, Zack. Kau boleh tanya orang lain, memang Salman dah mati."
YOU ARE READING
Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ ✓[C] | هجرة
ActionBOOK #1 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 AWARD #1 IRIS'Z BEST ACTION 2020 AWARD #1 STAR GALAXY AWARDS - DEIMOS ACTION ROMANCE AWARD #3 THE SUPERNOVA Bismillah Pemuda bernama Salman Firash ini melalui hari-harinya sebagai seorang pengedar dadah demi...