Tangan masih menepuk perlahan tubuh kecil itu walaupun mata sendiri sudah layu meminta untuk dipejamkan. Apabila kanak-kanak lelaki yang terbaring di sebelahnya sudah tidak lagi bergerak, dia yakin empunya tubuh itu sudah hanyut berlayar di alam mimpi.
Wajah kanak-kanak lelaki yang dalam anggarannya berusia dua tahun lebih itu ditatap. Mungkin juga usia kanak-kanak itu telah mencecah tiga tahun. Salman membelai wajah bersih itu, fikirannya pula masih memikirkan sesuatu.
Kanak-kanak itu tidak pun diketahui nama mahupun identiti diri. Mengapa dia bawa ke rumah flat itu?
Luka yang masih basah di betis kanak-kanak itu dilihat pula. Lukanya seakan-akan tertusuk sesuatu. Doktor pula berputus tidak mahu menjahit luka itu kerana ingin ia pulih dengan sendiri. Jadi, jagaan rapi diperlukan agar luka itu dapat sembuh dnegan cepat.
Setiap kali kanak-kanak itu melangkah pada siang tadi, pasti esakan kedengaran. Maka sepanjang pulang daripada klinik, dia tidak pun menapak malah berada dalam pelukan Salman sehingga di bawa ke rumah flat itu.
"Siapa kau sebenarnya?" soal hati Salman.
Dilihat lagi wajah di hadapannya itu berkali-kali. Seakan-akan pernah dilihat tetapi di mana? Mustahil. Dia tidak pernah bertemu secara langsung dengan mana-mana kanak-kanak sebelum ini.
Kedua-dua belah tangan didepakan mennggeliat, dia juga sudah mengantuk. Biarkan sahaja kanak-kanak itu. Jika dia punyai masa esok pandai-pandailah dia tinggalkan kanak-kanak itu di mana-mana, itu pun jika dia cukup baik. Kalau moodnya tidak baik esok, dijualkan sahaja nanti budak itu kepada mana-mana sindiket minta sedekah. Mudah.
Ketika mata cuba dilelapkan, sesuatu pula menerjah telinga. Sebenarnya sejak tadi kawan-kawannya di luar membuat bising sehingga menyukarkan sesiapa yang hendak tidur.
Salman bingkas bangun. Dia terus menerjah ke arah ruang tamu dengan perasaan geram dan amarah.
"Tak reti senyap ke?!!" tengking Salman setelah menendang meja kopi kayu ruang tamu itu.
Seluruh isi ruang tamu memandang dirinya. Daun terup berterbangan begitu juga dengan mangkuk abu rokok.
"Lek la bro," jawab seorang lelaki yang di tangannya terdapat sebotol minuman keras. Suasana pada malam itu sebenarnya suasana yang agak biasa rumah itu sajikan. Rokok-rokok yang tidak henti mengeluarkan asap, riuh pekik mereka yang entah apa-apa topik disembangkan dan 'betina' yang dibawa dari luar. Sepatutnya, Salman juga menyertai mereka tetapi entah mengapa dia lebih hiraukan kanak-kanak yang baru dijumpai pada siang tadi.
"Orang lain pun nak tidur juga. Otak tu guna sikit. Baik tak payah ada otak kalau tak reti guna," marah Salman.
"Okay-okay."
Mereka yang terduduk di atas sofa hanya berpandangan. Sudah tentulah mereka tidak berani mencabar Salman kerana Salman itu baran orangnya.
"Kalau budak dalam bilik aku tu terjaga, sorang-sorang aku bagi makan kaki," Salman memberi amaran keras sebelum berlalu pergi. Dia benar-benar memaksudkannya.
Keras keluhan yang dilepaskan Salman. Tempat seperti ini memang tidak sesuai untuk kanak-kanak tinggal. Dengan asap rokok yang mengisi peredaran udara, kanak-kanak lelaki berkenaan asyik terbatuk sejak siang tadi.
Badan direbahkan kembali ke atas katil sehingga terjagakan kanak-kanak lelaki yang sedang nyenyak tidur itu.
Salman menepuk dahi. Dia tidak berniat untuk menjagakannya daripada tidur.
"Ayah," panggil kanak-kanak lelaki itu. Mata bundarnya memandang Salman yang terbaring di sebelahnya.
"Aku bukan ayah kau," balas Salman. "Berhenti panggil aku ayah."
Bahasa mudah untuk difahami namun kanak-kanak lelaki itu masih berdegil sejak siang tadi. Dia terus memanggil Salman dengan panggilan ayah berbekalkan tempoh perkenalan mereka yang tidak sampai pun tempoh 24 jam.
"Ayah," panggil lagi kanak-kanak lelaki itu. Bajunya yang comot menandakan dia tidak menukar baju lagi mahu pun membersihkan diri sejak siang tadi, sejak Salman menjumpainya pengsan di kaki lima.
"Lantak kau la," Salman memejamkan mata. Malas hendak melayan.
"Ayah..." panggil kanak-kanak itu lagi. Air mata mula bergenang, dia takut berada di tempat itu. Suara pekikkan masih kedengaran di luar bilik.
"Ayah," tangan kecilnya mula merayap menyentuh badan Salman. Dia amat berharap agar Salman hiraukan panggilannya padahal hakikatnya dia tidak pun mengenali lelaki asing itu. Ingatannya terbatas. Tiada apa yang diingati melainkan wajah Salman yang menyapanya setelah sedar daripada pengsan dan yang membawanya ke klinik pada siang tadi.
"Kau nak apa budak?!! Aku nak tidur ni. Kalau kau nak tidur, kau tidur sekarang. Kalau tak nak tidur, aku campak kau luar tingkap kang," bengang Salman.
Rimas dengan panggilan ayah yang berterusan, Salman memegang wajah kanak-kanak itu. "Kau..."
Tetapi hasratnya untuk memarahi lagi termati apabila air mata kanak-kanak itu mula mengalirkan air mata. Teresak-esak tangisan yang mula mengisi benak. Jelas ketakutan terpancar pada wajah kanak-kanak itu. Tangisan yang takut kerana keseorangan dan tidak mempunyai sesiapa di sisi.
Tangisan yangakhirnya menyepi dan sayup di dalam pelukan Salman. Akhirnya, kanak-kanaklelaki itu tertidur kembali. Tidur bersama-sama Salman
YOU ARE READING
Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ ✓[C] | هجرة
AksiBOOK #1 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 AWARD #1 IRIS'Z BEST ACTION 2020 AWARD #1 STAR GALAXY AWARDS - DEIMOS ACTION ROMANCE AWARD #3 THE SUPERNOVA Bismillah Pemuda bernama Salman Firash ini melalui hari-harinya sebagai seorang pengedar dadah demi...