27| Mendung Beralih Cerah [TAMAT]

1.8K 227 60
                                    

Hari ni gelakan ketawa Ahmad sudah kedengaran di gegendang telinga kerana tiub pernafasan telah dicabut doktor. Paras oksigennya sudah mencecah tahap normal dan tak perlukan bantuan lagi. Kanak-kanak itu tersenyum riang melihat barang mainan yang dibawa Salman. Mungkin ini bukan barang mainan yang seperti selalu tetapi lebih kepada untuk proses pembelajaran.

Buku abjad itu dilihat Ahmad penuh minat. Setiap satu muka surat terdapat kartun haiwan yang timbul.

Rambut Ahmad diusap Salman lembut. Rasa sejuk menyucuk kulit di hujung sudut bilik. Katil Ahmad dipindahkan sedikit jauh dari kaunter jururawat kerana perkembangan kesihatannya.

"Ayah," panggil Ahmad.

"Ya," jawab Salman. "Ayah buat susu untuk adik. Jom kita minum." Sebotol susu suam disuakan kepada Ahmad.

Kanak-kanak itu memandang Salman. Dia pelik apabila ayahnya datang berseorangan. Apabila ditanya, katanya doktor Aisyah kerja hari ini. "Ayah tak kerja ke?" Meskipun dia tidak tahu pekerjaan ayahnya, tetapi selalunya Salman akan memberikan alasan 'kerja' setiap kali tidak melawatnya di rumah kebajikan.

Salman menggeleng. "Kerja ayah sekarang ni untuk jaga anak manja ayah ni sampai sihat." Lengan Ahmad dicuitnya hingga ke ceruk leher. Kanak-kanak itu tergelak diusik begitu. Dia memegang telapak tangan Salman agar tidak terus menggeletek.

Botol susu tadi mula diminum Ahmad. Dia mengiring memandang Salman kerana tak mahu Salman hilang dari pandangannya. Seketika raut wajah Ahmad berkerut apabila Salman memasukkan sesuatu ke tepi bibirnya melalui picagari. Rasa pahit ubat bercampur dengan susunya. Terus dia menggeleng tak mahu minum.

"Adik minum la susu ni sampai habis," pujuk Salman. Tadi dia telah terlebih picit, itu yang rasa pahit dapat dikesan Ahmad. Sepatutnya dia perlu biarkan ubat itu ditelan sedikit demi sedikit supaya Ahmad tidak sedar. Untuk jaga anak istimewa ini memang banyak cabaran.

Penat berbuat pelbagai pujukan, Ahmad tetap tak mahu membuka mulut apabila disuakan puting susu kepada bibirnya. "Tak cedap.. Tak nak."

"Adik nak keluar hospital tak? Kalau nak kena dengar cakap ayah," ujar Salman.

Ahmad menggeleng kecil dan menjuihkan bibirnya. Rasa pahit tadi masih ada di anak tekak. Habis susunya yang berperisa madu hilang keenakan.

"Nanti ayah bawa adik pergi zoo nak? Kita boleh tengok gajah... Adik tahu tak gajah tu besar? Nanti ada singa putih... Ada ikan jerung.."

"Tapi... Adik cakit. Mana boleh keluar," monyok Ahmad. Dia tahu semua yang disebut Salman pasti akan ditunaikan tetapi sudah lama dia terperap di hospital dan tak jenguk dunia luar. Botol susu di tangan Salman dipandang sepi.

"Sebab tu la adik kena dengar cakap ayah. Nanti dah sihat kita boleh pergi sana. Bila dah sihat adik boleh buat macam-macam." Senyum Salman.

"Adik nak bela tucen (kucing.)" Ahmad memandang Salman dengan mata hitamnya yang bersinar-sinar. Dia mahu haiwan yang berkaki empat itu.

"Kucing?" Salman berkerut.

"Adik nak panggil dia Bingo," ujar Ahmad perlahan. Dia takut Salman akan memarahinya.

"Yelah. Nanti kita cari Bingo," akur Salman. Dia pasrah hendak melayan semua permintaan Ahmad. Asalkan anak itu ingin minum susu kembali, bolehlah dia picitkan ubat ke dalam mulutnya.

Ahmad tersenyum meleret ke telinga. Dia memegang botol susu itu sambil membelek corak padanya bagi menghilangkan bosan. Susu itu diminum hingga terlihat dasar kemudian dia serahkan botol pada Salman kembali.

Perutnya telah kembung dengan susu.

"Ayah nyanyi la bangau. Adik nak dengar," pinta Ahmad.

"Bangau pulak budak ni..."

Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ ✓[C] | هجرة Where stories live. Discover now