25| Ijab kabul (edited)

1.5K 206 37
                                    

Tangan yang hangat tadi tiba-tiba terasa sejuk. Dinginnya telapak tangan seakan-akan baru keluar dari bilik kedap berhawa dingin, padahal ruangan di dalam masjid itu hanya terdapat kipas di siling dan di dinding. Pendingin hawa tidak pun dihidupkan.

"Salinan IC ada dah? Sijil kursus kahwin?"sengaja Salman bertanya kepada Zack walaupun dia tahu ayah kepada Najla telah pun memberitahu segalanya pada malam semalam; prosedur akad nikah, apa yang perlu dibawa dan cara hendak menghilangkan gugup agar ijab dan kabul disempurnakan dengan sekali lafaz.

"Ada," jawab Zack sepatah. Dia mematahkan jari jemari untuk menghilangkan debaran.

"Kau bersembang sikit dengan orang, Zack . Nampak sangat gugup kau ni," bisik Salman yang bersila disebelahnya. Walaupun tidak pernah berada di tempat Zack, Salman juga tahu sedikit sebanyak tentang perjalanan majlis akad nikah.

Zack hanya tersengih. Dia malu dengan diri sendiri saat itu. "Betul ke nampak sangat? "

"Nampaklah," geleng Salman. Tapak tangan Zack dirasainya, memang sejuk. Sama ada mahu tergelak atau kasihan, Salman pun keliru. "Kau ni beria nak kahwin. Bila nak kahwin muka macam takde darah. Relaks, okay?"

Nafas panjang dihela Zack. Dia menyimpulkan senyuman, sesekali mata dialihkan melihat orang disekelilingnya. Rambut diraup ke belakang sebelum songkok dipakaikan kembali. Masa yang berdetik terasa lama pula. Entah bila majlis ini akan bermula.

Salman yang berbaju Melayu juga tersenyum kecil melihat Ahmad berjalan ke arahnya. Dia menarik tangan kanak-kanak itu lalu dipeluk tubuhnya dari belakang. "Kenapa tak duduk diam dekat sana?" soal Salman. Aisyah di tempat muslimat memandang mereka dari jauh. Gadis itu telah berkeras menghalang Ahmad daripada melintasi orang ramai, tetapi kanak-kanak itu masih ingin mendapatkan ayahnya.

Ada juga mata-mata di situ yang melihat Salman dan Ahmad. Mereka mula beranggapan yang Aisyah mungkin isteri kepada Salman dan Ahmad ini anak mereka berdua.

"Adik osan. Bila nak balik?" balas Ahmad. Semua yang ada di situ diam-diam belaka, dia jadi takut untuk membuat bising.

"Sabarlah. Adik duduk dekat doktor ya?" Rambut Ahmad disikatnya dengan jemari.

"Hm..." Ahmad pun mengeluh. Dia tidak berganjak lagi dan masih duduk di tengah-tengah kawasan masjid. Badannya menempel pada Salman seolah-olah tak mahu ke mana-mana. Dia mendongak ke belakang hingga terlihat wajah Salman.

"Mana songkok adik?" Tubuh Ahmad dibaringkan ke atas ribanya.

Ahmad menggeleng tidak tahu. Tadi dia memang memakainya tetapi sekarang ini sudah tiada. Dia memegang kepala sendiri sambil meliarkan mata ke kiri dan kanan. "Dah hilang..."

Songkok kecil di tangan Aisyah dikerling Salman. "Tu dekat sana. Jangan tinggal merata. Kan ayah beli untuk adik? Pergi duduk dekat doktor, jangan lari-lari dalam masjid ni." Baju Ahmad dibetulkan lelaki itu. Ini baju yang diberikan Aisyah. Memang banyak pakaian yang dikumpulkan, mujurlah Salman tak perlu membeli apa-apa.

" Duduk dekat doktor, ya? Ayah sibuk ni," ujar Salman. Dia tak mahu Ahmad berlari-lari ketika orang sibuk untuk akad nikah.

Ahmad akur. Dia terpaksa kembali kepada Aisyah kerana Salman tak mahu bermain dengannya. Kanak-kanak itu berlalu ke celah-celah muslimat dan berhenti di hadapan Aisyah.

Aisyah tersenyum kecil. "Anak bertuah ni... Sini duduk dekat doktor."

Songkok di tangan gadis itu disarung kembali pada kepala Ahmad. Ahmad terduduk di sebelahnya. Sebiji holikopter bermata menjadi penghilang bosan sejak tadi diambil Ahmad. Bahagian leher Ahmad diperiksa Aisyah beberapa kali untuk memastikan kanak-kanak itu sihat sahaja.

Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ ✓[C] | هجرة Where stories live. Discover now